Sabtu, 30 November 2019 | 7:45am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Waspada golongan Ruwaibidhah

Fenomena akhir zaman banyak sekali disebut dalam al-Quran dan hadis. Hal ini menjelaskan banyaknya cabaran terhadap keimanan kita yang melalui kehidupan semakin jauh daripada Rasulullah SAW.

Antara yang paling kerap ditemukan kebelakangan ini adalah kemunculan golongan Ruwaibidhah. Ruwaibidhah ialah kalimah bahasa Arab, iaitu rabhidah yang merujuk kepada individu lemah dan tenggelam dengan hal keduniaan.

Golongan Ruwaibidhah kerap disebut dalam hadis, malah Rasulullah SAW mengaitkan ruwaibidhah dengan zaman paling ditakuti.

Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Akan tiba pada manusia tahun penuh kebohongan. Saat itu, orang bohong dianggap jujur. Orang jujur dianggap bohong. Pengkhianat dianggap amanah. Orang amanah dianggap pengkhianat. Ketika itu, orang Ruwaibidhah berbicara.” Ada orang bertanya: “Siapa Ruwaibidhah itu?” Nabi menjawab, “Orang bodoh yang menguruskan urusan umum.” (HR Ibnu Majah)

Pensyarah Kanan, Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Dr Mohd Khairul Naim Che Nordin, berkata hadis itu menerangkan dua aspek, iaitu keadaan ketika berlaku dan individu yang berada dalam waktu berkenaan.

“Pada aspek ‘keadaan’, Nabi Muhammad SAW menyebut pada masa akan datang dunia penuh dengan penipuan dan tipu daya.

“Ini berlaku apabila orang yang berdusta lebih dipercayai, manakala mereka yang berkata benar ditolak dan didustakan.

“Ia zaman tipu daya apabila amanah dan tanggungjawab diserahkan kepada pengkhianat sebaliknya mereka yang amanah pula dikhianati,” katanya.

Mohd Khairul Naim mengingatkan Imam Ibnu Majah meletakkan hadis itu dalam Kitab al-Fitan (Fitnah) dan mewujudkan bab khusus, iaitu Zaman yang Dahsyat (Syiddah al-Zaman).

Jika ditelusuri hadis lain seumpama dengannya, kewujudan golongan Ruwaibidhah dikaitkan dengan tanda akhir zaman.

Sebagai contoh, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila amanah disia-siakan, maka tunggu datangnya kiamat.” Lalu ada bertanya, “Bagaimana amanah itu disia-siakan?” Maka, Baginda menjawab: “Apabila suatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.” (HR Bukhari)

Pensyarah Kanan, Jabatan Aqidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Dr Mohd Khairul Naim Che Nordin.
Pensyarah Kanan, Jabatan Aqidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Dr Mohd Khairul Naim Che Nordin.

Tambah Mohd Khairul Naim, hadis itu menyentuh aspek amanah dikhianati dan urusan dijalankan orang yang bukan ahlinya.

Siapakah mereka yang termasuk definisi golongan Ruwaibidhah?

Mohd Khairul Naim berkata, walaupun hadis tidak menyebut secara langsung kaitan amanah dengan pemimpin, lafaz hadis terakhir, iaitu ‘amr al-‘ammah’ merujuk kepada urusan umum atau besar. Kebiasaannya orang yang terbabit urusan sedemikian adalah dalam kalangan orang politik.

“Apatah lagi lafaz hadis lebih awal berkait amanah, maka antara ‘amanah’ paling besar ialah kemaslahatan umum.

“Namun, ia tidak menafikan keperluan kita memilih pemimpin betul pada setiap peringkat untuk setiap bidang supaya amanah dipegang dilaksanakan baik,” katanya.

Dalam hal ini Islam mempunyai kriteria menentukan dan memilih pemimpin. Misalnya perkataan ulil amr dalam surah al-Nisa’ ayat 29: “Wahai orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan uli al-amri di antara kamu,” yang ditafsirkan ulama sebagai pemimpin tertinggi dalam sesebuah negara.

Oleh kerana ia dinyatakan Allah SWT dengan arahan kewajipan untuk patuh, maka pemimpin dilantik perlu memenuhi kriteria sesuai jawatan dipegang.

“Perbahasan ini sudah pasti perlu disyarahkan panjang lebar dalam wacana fiqh. Namun secara umumnya pemilihan pemimpin perlu dilihat dalam konteks kesesuaian organisasi yang mahu dipimpinnya.

“Pemilihan tidak boleh didasarkan atas sentimen, emosi dan khabar angin sebaliknya berasaskan fakta sebenar.

“Oleh sebab maslahah dipegang besar, maka perlu dipilih pemimpin beramanah, berakhlak dan bertatasusila luhur, selain memiliki visi dan matlamat jelas serta utuh dengan prinsip perjuangan,” katanya.

Mohd Khairul Naim berkata, hadis ini umumnya mengingatkan manusia untuk berhati-hati dalam memilih pemimpin.

Orang yang tidak beramanah dan tidak mahir, tetapi tetap mahu menggalas amanah itu pasti mempunyai niat serta keinginan tertentu.

Apatah lagi, kehidupan manusia pada zaman ini semakin mencabar. Misalnya, perkembangan teknologi, khususnya media sosial turut mampu mempengaruhi persepsi manusia.

Penilaian atau perspektif manusia dibuat cukup dengan satu gambar atau beberapa minit video lalu ‘hukuman’ dijatuhkan.

“Zaman ini maklumat beredar pantas dan hampir semua orang mahu membincangkan setiap isu walaupun mereka tiada keahlian.

“Akhirnya ramai menjadi ‘pakar segera’ atau instant scholar. Apabila datang sesuatu isu, maka mereka beramai-ramai meluahkan pelbagai pandangan di media sosial meskipun ia lebih bersifat sentimen dan emosi serta bukan atas dasar ilmu,” katanya.

Imam al-Ghazali mengkategorikan manusia kepada empat kumpulan. Kumpulan pertama, golongan yang sedar mereka tahu, kumpulan ini wajar dipuji kerana keilmuannya.

Kumpulan kedua tidak menyedari mereka tahu hingga perlu disedarkan dengan keilmuan mereka. Kumpulan ketiga, golongan maklum mereka tidak tahu, sekali gus mempunyai kesedaran untuk menuntut ilmu.

Bagaimanapun, kumpulan keempat tidak sedar yang mereka tidak tahu. Kelompok itu boleh dikatakan ramai pada masa kini, iaitu mereka bukan sekadar tidak tahu dengan kejahilan sendiri, tetapi berbangga dengan kejahilan.

Mohd Khairul Naim berkata, istilah bodoh sombong sesuai dinamakan untuk kumpulan ini. Justeru, ramai mahu mengurus urusan umum tanpa sedar mereka tiada keahlian dalam urusan berkenaan. Istilah inilah disebut Nabi SAW sebagai Ruwaibidhah.

Berita Harian X