SAINTIS sebenarnya kerjaya yang berpotensi meraih banyak pahala kerana ia bukan hanya proses pencarian ilmu, bahkan sesuatu penemuan kajian berupaya dimanfaatkan masyarakat.
Menurut Imam al-Ghazali, akal hendaklah diarah kepada pemikiran atau fitrah positif, iaitu digunakan untuk mengkaji, berfikir dan memahami sesuatu hingga menghasilkan pengetahuan sama ada berbentuk pengalaman atau ilmu itu sendiri.
Profesor di Jabatan Sains Kimia, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Azizan Ahmad, berkata sains membawa erti memperoleh maklumat menerusi proses dan kaedah sistematik hingga orang yang tidak minat sains, boleh diibaratkan tidak meminati proses mendapatkan ilmu.
“Kita perlu mendalami ilmu untuk menjadi saintis atau pakar dalam pelbagai bidang, iaitu kekurangan yang perlu diatasi antaranya dengan membudayakan sains dalam kehidupan,” katanya pada Syarahan Perjalanan Menjadi Saintis di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Kuala Lumpur.
Azizan berkata, ayat ‘Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan’ ialah ayat pertama diturunkan sebagai perintah Allah SWT kepada Nabi Muhammad, sekali gus perlu diikuti umat Islam untuk membaca sebagai syarat menuntut ilmu.
“Dalam usaha menjadi saintis, kita perlu melatih diri untuk berfikir kerana berfikir aras tinggi akan meletakkan diri kita supaya sentiasa memikirkan sesuatu yang baik demi kesejahteraan masyarakat.
“Saintis dulu suka berfikir dan menyumbang hingga ilmu berkembang. Bayangkan kalau saintis tidak lagi mahu berfikir, maka kita tidak akan mencapai kemajuan,” katanya.
Azizan berkata, bagi melatih untuk menjadi individu sering berfikir, seseorang perlu bercakap kepada diri sendiri kerana ia antara komitmen jiwa yang diperlukan dalam menyuburkannya.
“Kita perlu ‘bercakap’ pada diri bahawa ‘saya ingin mendapatkan sesuatu penemuan baharu hari ini.’
“Ia mengasah minda untuk bertindak atau dipanggil kelaziman minda. Kita menjadi kurang berfikir disebabkan kita tidak melazimkan minda untuk berfikir,” katanya.
Secara peribadi, Azizan berkata, dorongan untuk menjadi saintis adalah untuk mengumpul pahala, selain menyedari tindakan berfikir dalam kaedah kerjaya saintis ialah amalan orang soleh.
“Emak menyuruh saya menjadi orang berjaya, manakala guru di sekolah sentiasa memberikan semangat untuk terus maju.
“Saya kira dorongan ini cukup untuk menggerakkan saya untuk berjaya,” katanya.
Azizan menegaskan antara prasyarat menjadi saintis adalah memiliki sikap dan tingkah laku positif yang mempengaruhi 90 peratus daripada usaha untuk berjaya.
“Mahu berjaya memerlukan kita memiliki sikap betul. Saya selalu tegaskan hal itu kepada pelajar kerana halangan untuk berjaya ialah sikap negatif,” katanya.
Selain berkhidmat sebagai pensyarah, Azizan turut berkhidmat sebagai perunding pembangunan sumber manusia untuk pelbagai kementerian, agensi kerajaan, syarikat multinasional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Azizan turut menitipkan nasihat kepada pelajar untuk berjaya dalam pelajaran, mereka perlu berusaha keras.
“Tumpukan perhatian di dalam kelas dan selalunya memilih tempat duduk di bahagian depan,” katanya.
Azizan turut dilantik sebagai Profesor Pelawat di Universiti Osaka, Tokyo University of Agriculture and Technology, Cadi Ayyad University of Marrakech, dan Ibnu Zuhr University of Morocco, Maghribi.