Khamis, 8 March 2018 | 9:53pm
HIASAN dalaman Masjid An-Nur di Kampung Melayu Subang. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
HIASAN dalaman Masjid An-Nur di Kampung Melayu Subang. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
NAZIR Masjid An-Nur, Mesni Mohd Dahlan. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
NAZIR Masjid An-Nur, Mesni Mohd Dahlan. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Warisan kentong subur di Masjid An-Nur

SUBANG: Sebut nama 'kentong' ramai sebenarnya tidak tahu maksud perkataan itu yang mewakili alat ketukan tradisional yang biasa digunakan masyarakat terdahulu sebagai paluan isyarat untuk pelbagai tujuan.

Diperbuat daripada batang bambu atau batang kayu jati yang dipahat, alat yang sinonim dalam kalangan masyarakat Jawa itu aktif digunakan sebagai tanda waktu, isyarat komunikasi jarak jauh, penanda azan, atau tanda bahaya.

Walaupun ditelan zaman, alatan kentong masih dapat dilihat dan digunapakai di Masjid An-Nur di Kampung Melayu Subang, yang dianggap sebagai masjid tertua di sini, yang dibina sejak 1930.

Tradisi ketukan kentong masih dikekalkan bukan sahaja untuk menyeru kariah menunaikan solat berjemaah di masjid, malah turut mempunyai kod tertentu untuk menguar-uarkan berita kematian.

KENTONG masih digunakan di Masjid An-Nur. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
KENTONG masih digunakan di Masjid An-Nur. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Menariknya, alatan kentong di Masjid An-Nur ini diperbuat daripada kayu asal sejak masjid berkenaan didirikan dan ia langsung tidak reput, malah bunyian dikeluarkan juga kuat sehingga mampu didengari penduduk di sekitar kawasan masjid, lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Nazir Masjid An-Nur, Mesni Mohd Dahlan, berkata kentong hanya boleh diketuk oleh individu tertentu sahaja, jika tidak bunyi yang dikeluarkan alatan itu akan kedengaran sumbang.

"Pada zaman dulu, kentong digunakan setiap waktu solat kerana tidak ada alat pembesar suara untuk mengajak orang ke masjid atau memberitahu berita kematian ahli kariah.

"Hari ini di Masjid An-Nur tradisi itu tidak ditinggalkan dan kebiasaannya jemaah veteran seperti mantan bilal di sini, Kasnan Karman, setiap kali datang, akan mengetuk kentong ini.

"Uniknya cara ketukan untuk memberitahu kematian berbeza...bagi kanak-kanak ketukannya hanya tiga kali, manakala dewasa pula sembilan kali, tetapi ada ruang berhenti bagi setiap tiga kali ketukan," katanya kepada BH Agama di pejabat Masjid An-Nur, baru-baru ini.

KAFA Menengah Masjid An-Nur

MASJID An-Nur di Kampung Melayu Subang. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
MASJID An-Nur di Kampung Melayu Subang. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Mengenai fungsi institusi Masjid An-Nur, Mesni berkata, sejak 2016 pihaknya tampil dengan inisiatif menyediakan pendidikan agama peringkat menengah menerusi Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) Menengah Masjid An-Nur.

Beliau berkata, inisiatif itu bermatlamat menampung keperluan pelajar yang tidak berpeluang menyambung pengajian di sekolah menengah aliran agama dengan bayaran yuran serendah RM20 sebulan.

Mesni berkata, setakat ini 62 pelajar menyertai kelas yang berlangsung dalam dua sesi pengajian, iaitu pagi untuk pelajar Tingkatan Satu dan Dua, manakala pelajar Tingkatan Tiga dan Empat hadir pada waktu petang.

Lokasi masjid yang strategik kerana terletak berdekatan dengan sekolah memudahkan ibu bapa, dengan menjadikannya pusat transit sementara bagi anak-anak yang bukan saja selamat, malah turut membenarkan mereka berehat, mandi atau makan sementara menunggu waktu persekolahan atau kelas KAFA Menengah bermula.

ANTARA pelajar yang menyertai kelas pendidikan agama peringkat menengah menerusi Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) Menengah Masjid An-Nur. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
ANTARA pelajar yang menyertai kelas pendidikan agama peringkat menengah menerusi Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) Menengah Masjid An-Nur. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Santuni asnaf

Mesni berkata, setakat ini seramai 243 asnaf yang berdaftar dengan masjid dan mereka bukan saja menerima bantuan berbentuk wang dan makanan, tetapi turut turun padang bagi menjayakan Program Istiqamah Dalam Ibadah (ISLAH).

Katanya, program ISLAH amat dinanti-nantikan masyarakat asnaf ini kerana mereka biasanya dibawa untuk tujuan ziarah, umpamanya ke pusat tahfiz bagi mendedahkan mereka mengenai ilmu hafazan al-Quran dan juga mengunjungi lokasi menarik di sekitar Lembah Klang.

"Bagi memberi bantuan kepada golongan asnaf, pihak masjid tidak pernah berhenti untuk mengenal pasti identiti mereka ini, bahkan pada Rabu minggu keempat setiap bulan kami membuka kaunter zakat di pekarangan masjid.

"Jadi, individu yang berasakan mereka layak menerima bantuan, boleh terus mengisi borang dan ditemuduga bagi menentukan status kemampuan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mesni berkata, pihaknya mempunyai perancangan melakukan pengubahsuaian terhadap bangunan Masjid An-Nur bagi menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat.

Projek yang diusahakan secara kolaborasi dengan Perbadanan Wakaf Selangor itu bertujuan membina masjid dua tingkat bagi menambah ruang solat dan menyediakan kemudahan bersesuaian seperti perpustakaan, kelas pengajian, klinik dialisis serta koperasi.

Orang ramai yang ingin menyalurkan dana bagi tujuan pembangunan masjid boleh sumbangkan ke akaun Masjid An-Nur di 12298010002255 (Bank Islam)

FAKTA NOMBOR

Masjid An-Nur

  • Masjid tertua di Subang
  • Mampu memuatkan 3,000 jemaah serentak
  • 8 surau bernaung di bawahnya
  • 27 ahli jawatankuasa pengurusan masjid

Berita Harian X