Selasa, 11 Julai 2017 | 7:45am

Real sambar bek kental 19 tahun

PRESIDEN Real Madrid, Florentino Perez (kanan) bersama pemain baru Real Madrid, Theo Hernandez di Stadium Santiago Bernabeu Madrid, Sepanyol.- Foto Reuters
PRESIDEN Real Madrid, Florentino Perez (kanan) bersama pemain baru Real Madrid, Theo Hernandez di Stadium Santiago Bernabeu Madrid, Sepanyol.- Foto Reuters

MADRID: Pemain baharu yang diikat Real Madrid, Theo Hernandez menegaskan kini sah menyertai 'kelab terbaik dunia' apabila kelab juara Eropah itu mendedahkan pembelian terbaru mereka.

Pemain bek kiri Perancis berusia 19 tahun itu adalah pemain pertama dalam tempoh 17 tahun yang menyertai Real dari seteru utama Atletico dan abangnya, Lucas, 21, masih bersama kelab berkenaan.

"Saya teruja dan sangat gembira untuk berada di kelab terbaik di dunia," katanya dalam satu sidang media.

"Saya berterima kasih kepada penyokong atas sokongan diberikan. Beberapa pasukan mahukan saya tetapi pilihan terbaik adalah ke Madrid untuk terus meningkat."

Atletico cuba mempertahankan pertahanan mereka itu yang mempamerkan prestasi mengagumkan ketika dipinjamkan ke Alaves tahun lalu, namun dia sudah memuktamadkan pendirian untuk berpindah ke kelab juara 12 kali Piala Eropah itu.

Ditanya jika ada kemungkinan pertembungan dengan abangnya dalam pertemuan tetangga Madrid, Theo berkata: "Ia akan menjadi normal, ia tidak akan menjadi satu peperangan." - Reuters

Berita Harian X