Ahad, 29 November 2015 | 12:00am

Perbetulkan tanggapan, konsep sains fiksyen


FIKSYEN sains yang berunsur keanehan seperti makhluk asing dan pengembaraan ke alam lain. - Foto hiasan

GENRE fiksyen sains bertapak di ranah persuratan Malaysia semenjak dekad 1970-an lewat karya penulis seperti Mohd Ariffin Siri, Rubaidin Siwar dan Mohd Ismail Sarbini. Peneliti awal genre ini, iaitu Dr Othman Puteh menggolongkan karya mereka sebaris dengan penulis sastera remaja yang lain.

Ditambah dengan persepsi mengenai elemen keanehan seperti makhluk asing dan pengembaraan ke alam lain, penghasilan karya fiksyen sains tanah air sehingga ke hari ini masih lagi terhad dan bertumpu kepada khalayak tertentu saja.

Dalam sejarah perkembangan genre ini wujud pelbagai takrifan dan definisi dalam mengukur karya fiksyen sains sedia ada. Takrifan yang diberikan oleh penulis fiksyen sains terkemuka seperti Robert A Heinlein mahupun pengkritik fiksyen sains seperti Darko Suvin menonjolkan keutamaan unsur sains dan kognitif dalam sesebuah karya, yang membawa kepada garis pemisahan antara genre fiksyen sains dengan fantasi.


TAWANAN Komander Caucausus karya Ruzaini Yahya dan Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor.

Secara ringkas, karya yang digolongkan dalam genre fantasi mengandungi unsur keanehan luar biasa seperti sihir, hantu dan jin yang masih belum diakui secara empirikal oleh penyelidikan sains masa kini. Kekaburan mengenai takrifan dan batasan genre ini sedikit sebanyak menyulitkan penulis tempatan untuk menghasilkan karya fiksyen sains bermutu dan diterima penggemar genre ini.

Mutakhir ini, terdapat beberapa penerbit yang terbabit dalam mengimarahkan latar fiksyen sains tempatan, sama ada menerusi jenama penerbitan khusus mengenai genre ini ataupun penganjuran sayembara penulisan seperti Sayembara Penulisan Novel Fiksyen Sains dan Teknologi yang sudah dianjurkan sebanyak empat kali.

Hasil sayembara itu, 17 novel fiksyen sains baharu diterbitkan sejak tahun 2010. Dua daripadanya, iaitu Tawanan Komander Caucausus karya Ruzaini Yahya dan Di Sebalik Dinara (Dayang Noor) dipilih sebagai teks Kompenen Sastera (KOMSAS) bermula tahun ini.

Jurang sains-sastera, ikut British


THE Two Cultures oleh CP Snow.

Jurang antara sains dengan sastera dan kemanusiaan semakin jelas di negara ini, malah hal itu pernah dirakamkan dalam syarahan Rede oleh CP Snow yang berjudul The Two Cultures lebih 50 tahun lalu.

Hal ini tidak menghairankan memandangkan sistem dan model pendidikan negara pada masa ini masih lagi mengambil pedoman daripada sistem pendidikan British.

Snow yang juga ahli fizik lepasan Cambridge yang kemudian berkecimpung dalam dunia penulisan novel, mengulas perbezaan yang dirasakannya ketika berada dalam lingkungan temannya sama ada dari kalangan ahli sains dan sasterawan.

Menurut beliau, hal itu disebabkan perbezaan corak pendidikan yang diterima menurut jurusan masing-masing yang akhirnya mewujudkan jurang antara dua kelompok utama dalam masyarakat British pada waktu itu.

Jurang antara dua kelompok utama ini - meskipun beliau mengakui ada lebih daripada dua kelompok - akhirnya menyebabkan sesebuah negara atau masyarakat akan ketinggalan dalam memahami dan mengikuti arus kemodenan di kebanyakan negara pasca-Perang Dunia Kedua.

Isu yang dikupas secara terperinci dalam syarahan beliau ialah bentuk dan model pendidikan yang boleh diaplikasi untuk merapatkan jurang yang wujud dalam konteks British pada waktu itu.

Kesan negatif pengkhususan pendidikan


METAMORPHOSES of Science Fiction oleh Darko Suvin.

Beliau menyalahkan kepercayaan masyarakat Inggeris kepada pengkhususan dalam pendidikan seawal peringkat menengah hingga ke universiti, yang masih dapat dilihat dalam pendidikan kita masa kini.

Snow memberi amaran, pengkhususan atau lebih tepat lagi pemetakan (compartmentalization) dalam pendidikan ini akan memberi kesan sosial yang tidak baik, seperti kesenjangan ekonomi yang menjadi maksud sebenar syarahannya. Syarahan itu mendapat pelbagai reaksi ahli merentas kepakaran.

Sesudah 20 tahun syarahan itu disampaikan, Suvin yang menulis Metamorphoses of Science Fiction menegaskan karya fiksyen sains ialah hasil kesusasteraan yang mendidik dan menafikan kewujudan jurang kebudayaan yang digagaskan oleh Snow.

Menurut Suvin, karya fiksyen sains yang baik bukan saja menuntut penulis, pembaca, pengajar dan pengkritik karya untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan khusus berkaitan aspek sains, malahan imaginasi serta hikmah untuk menilai karya berkenaan.

Hal itu sering kali disalah fahami oleh penulis tempatan sehingga mereka memilih untuk tidak bergiat dalam menghasilkan karya fiksyen sains. Mereka menyangka perlu dididik secara khusus mengenai subjek sains yang ingin disentuh dalam karya.

Tolak karya fiksyen sains

Ia bersangkut paut dengan perspektif ketepatan fakta yang digunakan oleh segelintir pengkritik fiksyen sains terutamanya dalam kalangan ahli sains, untuk menolak kegunaan karya fiksyen sains dalam beberapa lapangan seperti pendidikan sains.

Sebenarnya, apa yang lebih penting ialah persediaan penulis sebelum menghasilkan karya fiksyen sains seperti mendapatkan maklumat dan membuat penyelidikan berkaitan bidang sains yang ingin diketengahkan dalam karya, serta peka dengan hubung kait antara bidang sains dengan kemanusiaan yang boleh menjadi persoalan yang menarik dalam karya.

Dalam kumpulan esei Sastera Remaja Ditinjau daripada Beberapa Perspektif, Othman menyatakan beberapa petua dan persediaan bagi penulis fiksyen sains yang boleh dipelajari oleh generasi masa kini.

Sekiranya dilihat kepada latar belakang penulis fiksyen sains Barat sekalipun, subjek yang diketengahkan dalam karya mereka tidak semestinya berkaitan langsung dengan bidang pengajian mereka. Isaac Asimov misalnya yang dikenali menerusi karya bertemakan robotik sebenarnya ialah profesor bidang biokimia.

Fiksyen sains berat, ringan

Penulis fiksyen sains tempatan juga perlu sedar bahawa terdapat pelbagai keragaman dan tema dalam kesusasteraan fiksyen sains yang ada. Antaranya ialah tema fiksyen sains jenis berat (hard science fiction) yang berfokus kepada kandungan sains sebagai pengisi cerita dalam bentuk latar dan alat yang ditonjolkan dalam cerita.

Selain itu, terdapat tema fiksyen sains jenis ringan (soft science fiction) yang menumpukan jalinan antara aktiviti sains dan teknologi yang diketengahkan dengan kesan yang dirasai oleh watak serta masyarakat yang melatari cerita berkenaan.

Kepelbagaian itu sedikit sebanyak membuka ruang kepada penulis tempatan untuk menghasilkan karya fiksyen sains dengan cara gaya tersendiri.

Penekanan terhadap penguasaan aspek sains dan teknologi diperhebat di negara ini sejak Wawasan 2020 digagaskan. Salah satu cabaran yang diletakkan untuk mencapai wawasan itu adalah melahirkan masyarakat saintifik dan progresif, yang menyumbang kepada tamadun saintifik serta teknologi masa depan.

Wawasan 2020 lebih fokus ekonomi


THE Island of Dr Moreau oleh HG Wells dan Brave New World oleh Aldous Huxley.

Pada peringkat permukaan, kenyataan itu seolah-olah bersetuju dengan tesis syarahan CP Snow, iaitu masa depan ketamadunan manusia bergantung kepada kemajuan sains dan teknologi sesuatu masyarakat.

Bagaimanapun, telaah lanjut menunjukkan Wawasan 2020 lebih berminat kepada manfaat ekonomi yang diperoleh daripada kemajuan sains dan teknologi berbanding keseriusan untuk membangunkan masyarakat kita yang terdidik dan mampu berfikir secara saintifik.

Kesan dasar sains dan teknologi yang sedang dilaksanakan di negara kita ini ialah 'bahan mentah' yang boleh dikupas secara kreatif oleh sasterawan dan penulis negara kita. Dalam konteks genre fiksyen sains, karya yang melihat hubung kait antara aplikasi sains dan teknologi dengan masyarakat kebanyakannya menyentuh subjek berkaitan biologi, seperti The Island of Dr Moreau oleh HG Wells serta Brave New World (Aldous Huxley).

Hal itu memberi ruang kepada penulis untuk mengetengahkan reaksi masyarakat dan nilai masyarakat terhadap aplikasi sains serta teknologi tertentu.

Selain itu, persoalan berkaitan etika, perundangan dan implikasi sosial (ELSI) boleh dihuraikan menerusi dialog serta tindakan yang diambil oleh watak tertentu terutamanya yang dipaparkan sebagai ahli sains.

Sumbangan penulis tidak disedari

Secara tidak langsung, karya kreatif dalam bentuk cerpen dan novel ini mampu mendidik masyarakat mengenai sains dan latar kerjaya ahli-ahli sains.

Walaupun canang sains dan teknologi hebat dipukul dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini, hanya sedikit pihak yang menyedari keupayaan dan ruang untuk golongan penulis untuk menyumbang ke arah pembinaan masyarakat saintifik yang dihajatkan.

Anehnya, Allahyarham Tan Sri Ghazali Shafie sudah menyedari peluang ini, lantas menyatakan dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Penulis-penulis Kelantan pada tahun 1971:

"Sekiranya usaha ini benar-benar mengalihkan kesusasteraan daripada plot-plot lapuk kepada isu hari ini maka ia adalah satu usaha yang wajar.

"Saya menyeru saudara-saudara supaya jangan mengehadkan diri kepada ekonomi saja. Saudara-saudara harus melahirkan minat kepada segala guna serta keuntungan sains dan teknologi, menggerak serta menyedarkan pembaca-pembaca kepada hakikat hari ini dan harapan kita pada masa depan.

"Terangkanlah kepada mereka bahawa sains dan teknologi bukanlah satu hal yang ajaib dan takjub. Sains hanyalah satu pemahaman bagaimana semua bentuk 'benda' dan 'tenaga' bertindak. Teknologi hanyalah pengetahuan asas yang dipindahkan kepada penggunaan yang praktik.

"Kemajuan melalui sains dan teknologi bermakna memperbaiki keadaan kita dengan cara memperolehi pengetahuan serta mempergunakan pengetahuan ini secara rasional untuk tujuan-tujuan yang berfaedah," katanya.

PROFIL

Penulis ialah pelajar sarjana Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) yang juga menulis di blog ohbuku.com.

48 dibaca
Berita Harian X