Selasa, 4 Jun 2024 | 8:28am

Tingkat kecekapan sistem giliran haji mampu tutup ruang penipuan

SETIAP kali menjelang musim haji akan kedengaran isu penipuan membabitkan perolehan visa haji sesetengah pihak terutama agensi menguruskan umrah terhadap jemaah yang ingin menunaikan rukun Islam kelima ini.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai kira-kira 300 jemaah dari Malaysia dilaporkan terkandas di Makkah akibat penyalahgunaan visa pelancongan bagi tujuan menunaikan ibadah haji membabitkan kos puluhan ribu ringgit, bahkan ada yang mencecah ratusan ribu ringgit dikendalikan agensi pelancongan dan umrah.

Ketika ini pun, jika membaca laporan akhbar berkaitan ibadah haji, pihak berkuasa Arab Saudi giat dan aktif mengesan serta menahan jemaah dari seluruh dunia yang berada di Tanah Suci diketahui mahu menunaikan haji menerusi 'pintu belakang' tanpa visa sah.

Namun dalam konteks Malaysia, apa yang menarik perhatian adalah perkara ini iaitu manipulasi dalam ibadah haji sukar diatasi tanpa mengenal pasti punca utama mengapa perkara ini sering berlaku dan berulang.

Difahamkan, kini terdapat lima negara mempunyai senarai menunggu jemaah haji tertinggi di dunia iaitu China, United Kingdom (UK), Singapura, Indonesia dan Malaysia. Yang lebih menarik, Malaysia mengungguli kedudukan pertama mempunyai tempoh menunggu paling lama di dunia sehingga mencecah hampir 138 tahun.

Fakta ini disokong kenyataan Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman pada 2023 bahawa tempoh giliran menunggu umat Islam di Malaysia untuk menunaikan haji kini mencecah 148 tahun.

Indonesia yang mempunyai jumlah populasi lebih kurang 227 juta penduduk hanya mempunyai tempoh menunggu sekitar 48 tahun. Ini bermakna tempoh menunggu giliran haji di Malaysia adalah hampir 23 kali ganda lebih lama dengan nisbah penduduk Muslim yang jauh lebih kecil berbanding Indonesia.

Tidak dinafikan perkara ini mungkin disumbangkan kecekapan pihak pengelola ibadah haji di Malaysia iaitu TH dan kerajaan dalam menguruskan hal ehwal ibadah haji sehingga memungkinkan sebilangan besar masyarakat Muslim mendaftar giliran haji.

Bahkan, perlu diakui bahawa kesedaran tinggi dalam kalangan umat Islam ingin menunaikan haji pada awal usia juga mendorong kepada pendaftaran menunaikan haji melebihi kapasiti.

Boleh dikatakan ramai ibu bapa yang mula mendaftarkan anak mereka untuk menunaikan haji walaupun masih bawah umur atas alasan mengelakkan mereka menunggu lama untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Namun, perkara ini harus diteliti semula bagi meningkatkan kecekapan pengurusan giliran haji dan menutup ruang pihak tidak bertanggungjawab daripada mengambil kesempatan terhadap jemaah yang tidak sabar menunggu giliran menunaikan haji dengan mengambil jalan pintas mengerjakan 'haji koboi' tanpa mengikut saluran rasmi dan sah sehingga mengabaikan aspek keselamatan dan kebajikan diri sendiri.

Pertimbang kuota haji rayuan

Antara langkah boleh diambil pihak berkaitan adalah mempertimbangkan semula kuota haji rayuan melalui 'saluran perdana' diluluskan kepada mahram dan pengiring dihadkan kepada yang benar-benar layak bagi memberi ruang kepada jemaah haji kali pertama.

Kerajaan Arab Saudi kini membenarkan jemaah wanita mengerjakan haji tanpa mahram dan pihak TH juga mempunyai ramai petugas di lapangan sangat berpengalaman mengendalikan kebajikan jemaah haji di Tanah Suci.

Di samping itu, pemberian subsidi haji bersasar kepada B40 dan M40 bagi menunaikan ibadah haji perlu dikaji semula sama ada ia selari dengan konsep 'istita'ah' digariskan Islam.

Menurut satu laporan akhbar, penawaran subsidi atau bantuan kewangan haji 2024 oleh TH menelan kos RM350.1 juta meliputi 63 peratus daripada kos haji untuk B40, manakala 42 peratus bagi M40, selain bantuan kewangan tambahan RM1,000 kepada jemaah haji B40.

Perkara ini pernah disuarakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff menyarankan supaya kerajaan melalui TH perlu bermuzakarah dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam menetapkan kaedah penyelesaian terbaik berhubung ibadah haji di Tanah Suci.

Pihak TH turut dicadangkan memasukkan Fiqh Aulawiyyat (Fiqh Keutamaan) dalam silibus Kursus Asas Haji bagi memberikan pendedahan awal mengenai memahami keutamaan dalam tindakan dan ibadah seterusnya memberi pencerahan erti sebenar konsep 'istita'ah' merangkumi kemampuan harta, kesihatan, keselamatan dan lain-lain.

Jika mengambil langkah ini, diharapkan masalah penipuan visa haji dapat dikurangkan, seterusnya memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah haji terpelihara serta pengurusan giliran haji dapat dilakukan dengan lebih efisien serta adil, seterusnya melindungi jemaah daripada menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.

Ia juga dapat meneruskan momentum kecemerlangan TH sebagai pengelola haji mendapat pengiktirafan dunia dengan memastikan mekanisme pemilihan dan penawaran haji relevan dengan peredaran masa selari dengan penambahan jumlah penduduk Malaysia saban tahun.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Islamisasi merangkap Pensyarah Kanan Jabatan Undang-Undang Islam Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Berita Harian X