Isnin, 27 Mei 2024 | 9:09am
Sehingga suku pertama 2024, ekonomi negara dilapor mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada kadar 4.2 peratus. - Foto hiasan NSTP
Sehingga suku pertama 2024, ekonomi negara dilapor mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada kadar 4.2 peratus. - Foto hiasan NSTP

Pastikan kekuatan ekonomi selari kos sara hidup rakyat

PERUTUSAN Negara disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Selasa lalu memberikan mesej jelas mengenai kedudukan ekonomi negara dan rakyat ketika ini.

Sehingga suku pertama 2024, ekonomi negara dilapor mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada kadar 4.2 peratus, diiringi perkembangan dalam pasaran buruh dan perdagangan luar negeri, serta pengekalan tingkat inflasi pada kadar yang rendah.

Perkembangan ini adalah satu pencapaian membanggakan, membuktikan kekuatan asas ekonomi negara dalam menempuhi pelbagai cabaran ekonomi semasa.

Selaras dengan konsep Ekonomi MADANI, pencapaian makroekonomi berkenaan sepatutnya diterjemah kepada kedudukan ekonomi rakyat lebih baik.

Namun realitinya, pencapaian itu dilihat tidak memberikan impak besar kepada ekonomi rakyat kian dihimpit dengan bebanan sara hidup. Dalam erti kata lain, pertumbuhan ekonomi negara dan rakyat ketika ini tidak sejajar.

Petikan daripada perutusan berbunyi, "kita terperangkap dalam kitaran ekonomi berbahaya, kos tinggi, gaji rendah" mengesahkan realiti ini. Oleh itu, pujian perlu diberikan kepada kerajaan kerana berani menyuarakan hakikat berkenaan.

Berdasarkan perutusan disampaikan, antara usaha dilihat cuba ditekankan kerajaan bagi menjajarkan arah pertumbuhan ekonomi negara dan rakyat adalah melalui peningkatan pendapatan rakyat.

Jika dilihat dengan lebih mendalam, usaha ini menjurus kepada peningkatan pendapatan melalui usaha penambahbaikan dalam ekosistem sektor formal dan tidak formal.

Bagi sektor formal, ia merangkumi pekerjaan dalam sektor awam dan swasta, manakala bagi sektor tidak formal membabitkan aktiviti ekonomi tidak berdaftar dengan mana-mana pihak berkuasa, sama ada di peringkat tempatan atau nasional seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Kebiasaannya, ia membabitkan aktiviti berasaskan pertanian, perniagaan makanan dan operator perkhidmatan kecil-kecilan.

Bagi sektor awam, pengumuman Perdana Menteri pada 1 Mei lalu mengenai kenaikan tingkat gaji bermula Disember 2024 menunjukkan tindakan proaktif kerajaan dalam menambah baik taraf hidup penjawat awam.

Berbanding sektor awam, usaha diambil kerajaan bagi menambah baik pendapatan pekerja dalam sektor swasta lebih bersifat jangka sederhana dan panjang.

Hal ini kerana industri perlu disediakan sebaiknya bagi memastikan mereka boleh membayar gaji lebih tinggi disebabkan rata-rata industri di Malaysia terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Dasar Gaji Progresif

Dalam jangka sederhana, antara usaha penting boleh dilihat membabitkan komitmen kerajaan menggubal Dasar Gaji Progresif. Dengan adanya sistem ini, kemelut gaji rendah dalam kalangan graduan dan generasi muda akan dapat ditangani kerana mereka tidak perlu lagi menunggu lama sebelum layak menerima kenaikan gaji.

Peralihan kepada sistem gaji ini membolehkan mereka dibayar selaras dengan tahap kemahiran dan produktiviti masing-masing.

Pelaksanaan gaji progresif tidak semestinya dilakukan secara serentak bagi semua industri, tetapi boleh diterapkan secara berperingkat dalam industri utama yang mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya.

Dalam jangka panjang pula, tumpuan pembangunan industri baharu berpertumbuhan dan bernilai tinggi (HGHV) adalah langkah tepat. Namun begitu, negara juga perlu menumpukan kepada pembangunan industri sokongan berada dalam ekosistem industri HGHV berkaitan.

Mengambil contoh industri automatif Jepun dan Jerman, industri HGHV mereka disokong PMKS berfungsi sebagai pembekal pelbagai komponen utama kepada industri terbabit.

Melalui langkah ini, pembangunan industri HGHV akan menjadi serampang dua mata yang turut membantu mewujudkan PMKS lebih mampan dan berdaya saing.

Selain itu, langkah penstrukturan semula Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) juga penting yang bakal melahirkan lebih ramai bakat tempatan berkemahiran.

Penstrukturan semula TVET akan memperkasa pasaran buruh tempatan dengan menghasilkan graduan berpengetahuan menghadapi perkembangan pesat dalam pelbagai industri didorong teknologi kecerdasan buatan (AI).

Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilancar lebih setahun lalu pula membuka peluang kepada kepada pengusaha aktiviti ekonomi tidak formal berasaskan pertanian, perniagaan makanan dan operator perkhidmatan secara kecil-kecilan untuk dihubungkan terus kepada pasaran.

Inisiatif ini membantu menambah pendapatan isi rumah, terutama dalam golongan sasaran IPR iaitu keluarga miskin tegar dan B40, sekali gus mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

Dalam jangka panjang, IPR bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan rakyat dan membasmi kemiskinan, tetapi membantu menggalakkan pengusaha aktiviti ekonomi tidak formal untuk mendaftarkan perniagaan mereka.

Keseluruhannya, jangka masa bagi menilai keberhasilan usaha penjajaran pertumbuhan ekonomi negara dan rakyat adalah berbeza-beza, bergantung kepada kompleksiti ekosistem sektor formal dan tidak formal.

Bagi sektor formal, jangkaan keberhasilan usaha penjajaran melalui sektor awam mungkin akan dapat dilihat dalam masa terdekat disebabkan gaji penjawat awam sememangnya akan meningkat dalam masa beberapa bulan lagi.

Akan tetapi bagi sektor swasta, jangka masa lebih panjang diperlukan disebabkan ekosistem lebih meluas mengambil kira jenis aktiviti ekonomi, saiz perusahaan, tingkat kemahiran pekerja dan sebagainya.

Bagi sektor tidak formal, kemampuan IPR bagi menghasilkan impak positif bergantung terutama kepada komitmen pengusaha aktiviti ekonomi itu sendiri bagi terus membekalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada penggerak IPR untuk dipasarkan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X