Rabu, 22 Mei 2024 | 10:10am
Dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman, Datuk Abdul Rashid Asari dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman, Datuk Abdul Rashid Asari dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

7 YB BERSATU kena ikrar sokongan terkini jika mahu kekalkan status

'Lompat-melompat' dan mengalih sokongan dalam kalangan wakil rakyat adalah fenomena biasa dalam amalan politik Malaysia selepas merdeka. Antara peristiwa berpaling tadah pernah menggegarkan politik negara ialah dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS iaitu Wan Said Mohd Noor dan Abdul Kader Mohamed mengisytiharkan keluar parti untuk menyertai UMNO menyebabkan kerajaan Terengganu tumbang pada 30 Oktober 1961.

Peristiwa Turn About turut berlaku pada 1968 di Kelantan apabila lima ADUN PAS iaitu Abdul Rahman Salleh, Yusoff Abdul Latiff, Saiful Idris, Abdullah Yusof dan Omar Mohammad mengalih sokongan kepada UMNO tetapi gagal menggugat kerajaan Kelantan.

Pada 2009, empat ADUN Pakatan Rakyat (PR) di Perak, Datuk Nasarudin Hashim, Datuk Jamaluddin Mohd Radzi, Datuk Mohd Osman Mohd Jailu, dan Datuk Hee Yit Foong mengumumkan menyokong Barisan Nasional (BN) sekali gus menumbangkan kerajaan PR berusia 11 bulan di Perak.

Pada 2020, 11 Ahli Parlimen PKR diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertindak keluar daripada parti membentuk blok bebas menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Semua peristiwa berpaling tadah ini tidak mengejutkan kerana sudah berlaku sebelum Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) melarang ahli Parlimen bertukar parti dikuatkuasakan pada 5 Oktober 2022.

Namun, apa yang lebih menggemparkan arena politik negara apabila enam wakil rakyat BERSATU mengumumkan menyokong Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2023 meskipun selepas pindaan akta ini dikuatkuasakan dan Perkara 10.4 Perlembagaan BERSATU diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 1 April lalu.

Mereka adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari menjadi wakil rakyat BERSATU membuat keputusan menyokong Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Berdasarkan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan dan pindaan Perkara 10 Perlembagaan BERSATU diluluskan ROS, jelas semua wakil rakyat terbabit hilang status mereka sebagai Ahli Parlimen dan ADUN, sekali gus wujud kekosongan membolehkan pelaksanaan pilihan raya kecil (PRK).

Justeru, Speaker Dewan Rakyat seharusnya tidak berlengah melaksanakan tugas selaras dengan Perkara 54 Fasal 1 Perlembagaan menyerahkan notis memaklumkan kekosongan kerusi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan PRK dalam tempoh 60 hari.

Enggan kosongkan kerusi

Bagaimanapun, enam Ahli Parlimen terbabit bertegas menyatakan tidak akan mengosongkan kerusi selagi mahkamah tidak mengarahkan tindakan sedemikian kerana mereka yakin masih berstatus wakil rakyat berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes empat Ahli Parlimen BERSATU di Sabah pada 2023.

Pada 2023, BERSATU membuat semakan kehakiman terhadap Speaker dan empat Ahli Parlimen iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) tetapi Mahkamah Tinggi pada November lalu menolak permohonan berkenaan kerana bertentangan Perkara 63 Perlembagaan melindungi prosiding Majlis Parlimen mahupun Jawatankuasa daripada dipertikaikan dalam mana-mana mahkamah.

Keputusan Speaker dan Mahkamah Tinggi membabitkan empat Ahli Parlimen ini mempunyai fakta dan merit, jelas berbeza daripada situasi dialami tujuh wakil rakyat BERSATU di Semenanjung.

Tiga fakta kes terbabit memperkukuh hujah bahawa kekosongan tidak berlaku di empat kerusi di Sabah iaitu keputusan mereka keluar BERSATU Sabah dilakukan secara en bloc, menjadi ahli langsung dan bertanding atas tiket parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Persoalannya, adakah tujuh wakil rakyat BERSATU di Semenanjung keluar parti secara en bloc atau menjadi ahli langsung dan bertanding menggunakan tiket gabungan parti politik lain pada PRU-15 lalu. Semakan maklumat dan fakta terhadap tujuh wakil rakyat berkenaan membuktikan tidak ada satu tindakan mereka sama seperti empat Ahli Parlimen di Sabah sebelum ini.

Bagi menyelamatkan kerusi dimiliki parti, BERSATU pada 17 Mei lalu menghantar surat kepada semua wakil rakyatnya untuk menyatakan sokongan kepada parti dan perlu dijawab dalam tempoh 14 hari. Jika surat berkenaan gagal dijawab dalam tempoh ditetapkan, maka keahlian mereka akan terhenti dan kedudukan sebagai wakil rakyat tergugur serta-merta.

Tindakan BERSATU ini tidak bercanggah perlembagaannya dan usaha tujuh wakil rakyat terbabit mencabar keputusan berkenaan di mahkamah adalah langkah sia-sia kerana bertentangan Seksyen 18 (C) Akta Pertubuhan 1966 iaitu sebarang keputusan parti adalah muktamad dan parti tidak boleh dicabar di mahkamah.

Oleh demikian, tujuh wakil rakyat BERSATU terbabit mempunyai beberapa pilihan sekiranya masih mahu mengekalkan kedudukan dan menikmati keistimewaan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN sehingga berakhirnya penggal perkhidmatan mereka.

Pertama, mereka perlu menjawab surat dikirim parti untuk menjelaskan dan menyatakan sokongan mereka yang terkini. Kedua, menamatkan perbalahan dan perang mulut berlarutan dengan kepimpinan parti kerana kemenangan mereka pada PRU-15 atas kapasiti parti, bukannya perjuangan individu.

Ketiga, elakkan bertindak bertentangan dengan prinsip parti seperti berceramah atas pentas seteru politik dalam mana-mana PRK mahupun program di luar musim kempen pilihan raya dan keempat, usah mentafsir undang-undang dan perlembagaan parti mengikut selera politik masing-masing demi menghalalkan tindakan politik peribadi.

Di samping itu, Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar tidak perlu melayan tujuh wakil rakyat parasit politik daripada BERSATU yang tidak menguntungkan kerajaan hari ini bahkan boleh mencalarkan imej kerajaan kerana 'membela katak politik' yang tidak mempunyai pendirian tetap.

Kerajaan Perpaduan hari ini amat stabil untuk mengemudi negara kerana memiliki 146 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan perlu bersedia untuk menyertai PRK pada bila-bila masa untuk mengisi kekosongan enam Parlimen dan satu DUN.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X