Isnin, 15 April 2024 | 8:55am
Mekanismenya sudah ada, kini hanya menunggu masa pelaksanaan subsidi bersasar. - Foto hiasan
Mekanismenya sudah ada, kini hanya menunggu masa pelaksanaan subsidi bersasar. - Foto hiasan

Subsidi bersasar bukti kecekalan, tekad Anwar laksana reformasi

SESUNGGUHNYA pengenalan dan pelaksanaan reformasi memerlukan pemimpin yang benar-benar berjiwa cekal dan sanggup menghadapi apa sahaja rintangan kerana tanpa tekad politik yang kuat, usaha ini mudah dihanyutkan pengekalan status quo jauh lebih mudah.

Ahli falsafah Itali, Niccolò Machiavelli dalam buku terkenalnya bertajuk The Prince menulis pada 1513 menyatakan: "There is nothing more difficult to take in hand, more perilous to conduct, or more uncertain in its success, than to take the lead in the introduction of a new order of things".

Selaku pengamat politik, nyata sekali kebenaran apa diperkatakan Machiavelli ini. Memperkenalkan reformasi sememangnya sukar, berisiko dan tidak dapat dipastikan kejayaannya kerana reformis akan ditentang oleh mereka yang mendapat manfaat daripada tatacara lama.

Sokongan ke atas reformasi pula tidak diberi dengan sepenuh hati oleh mereka yang bakal mendapat manfaat daripada tatacara baharu kerana ketakutan terhadap penentang dan kerana kesukaran untuk mempercayai benda baharu sebelum mereka benar-benar menikmatinya.

Pengenalan subsidi bersasar contohnya adalah satu perkara yang sudah lama diperkatakan beberapa Perdana Menteri sebelum ini, tetapi tidak ada yang benar-benar berani melaksanakannya kerana ia bukan satu langkah populis, malah boleh menjadi risiko kepada sesiapa yang memulakannya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sejak 2014 lagi menyebut mengenai hasrat kerajaan waktu itu untuk membangunkan satu mekanisme baharu pemberian subsidi bersasar bagi menambah baik kedudukan kewangan awam serta mengurangkan ketirisan dan penyeludupan.

Bagaimanapun, di sebalik pernyataan hasrat ini tidak banyak beliau lakukan untuk melaksana kan pemberian subsidi bersasar hinggakan dalam tempoh akhir pemerintahannya beliau masih lagi mengulang-ulang perkara sama, iaitu hasrat untuk melaksanakannya.

Dalam era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan hasrat untuk melaksanakan subsidi petrol bersasar, Dr Mahathir kemudian menjelaskan ia masih berada pada peringkat pengumpulan data.

Sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, tidak ada apa-apa inisiatif subsidi bersasar diperkatakan beliau dan hanya selepas kuasa beliau selaku Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan pengenalannya kepada kerajaan.

Bercakap pada 30 Julai 2022, Muhyiddin berkata, Skim Subsidi Bersasar jika dilaksana mampu memberi penjimatan RM20 bilion setahun kerana hanya golongan sasar, iaitu mereka dalam kumpulan B40 dan B60 sahaja akan berhak menerima subsidi.

Kata Muhyiddin, faedah itu semua diterima golongan berada, selain warga asing, yang mana kajian mendapati 50 atau 51 peratus daripada subsidi ini digunakan mereka dalam kategori orang berada, manakala kumpulan B40 tidak sampai 20 peratus.

Sebelumnya, menjawab pertanyaan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 18 Julai 2022, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata cadangan subsidi bersasar masih belum boleh dilaksana kerana belum ada mekanisme khusus untuk memastikan tiada rakyat tercicir dan tertinggal.

Sehingga ke tarikh Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022, pencarian mekanisme paling sesuai dalam merangka subsidi bersasar demi rakyat tidak berhasil dan hasrat membentangkan kaedah pelaksanaannya di Parlimen tinggal impian.

Gerakan berpandu Deklarasi Permatang Pauh

Anwar sebaliknya menggagaskan gerakan reformasi melalui Deklarasi Permatang Pauh dipandu kepada gesaan al-Quran dalam Surah Hud ayat 88 bermaksud "... tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami".

Antara inti pati utama Deklarasi Permatang Pauh ini ialah untuk menegakkan keadilan kepada semua serta membersihkan institusi dan proses undang-undang daripada dicemari penyalahgunaan kuasa dan rasuah serta memperjuangkan keadilan ekonomi melalui pengagihan saksama.

Mengetuai gerakan reformasi bukanlah satu perkara mudah, terutama apabila berhadapan dengan penguasa sanggup menggunakan apa sahaja bagi mengekalkan status quo.

Hanya pada 24 November 2022 barulah Anwar dinobat sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan. Selaku Perdana Menteri ke-10, walaupun kuasa sudah berada di dalam tangan, sekali lagi tanggungjawab Anwar untuk melaksanakan gagasan reformasi berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Walaupun begitu, sehingga kini beliau masih cekal melaksanakannya. Dalam isu subsidi bersasar, Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023 menegaskan Kerangka Ekonomi MADANI memerlukan sebuah islah, termasuk melaksanakan subsidi bersasar secara berfasa mulai 2024, dilaksanakan sungguhpun sukar.

Kerajaan sebenarnya boleh meneruskan dasar popular dengan meneruskan subsidi menyeluruh, namun ini akan menyebabkan negara terpaksa berhutang sedangkan hutang dan liabiliti negara sudah mencecah RM1.5 trilion atau 81 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Namun, tekad untuk menyasarkan subsidi kepada golongan yang betul-betul memerlukan bantuan benar-benar direalisasikan menerusi majlis peluncuran Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai pangkalan data komprehensif pada 2 Januari lalu.

Melalui maklumat diperoleh daripada 455 agensi sektor awam serta data dikemaskini rakyat, PADU akan berfungsi untuk menambah baik pengurusan bantuan dan subsidi secara bersasar, termasuk pelaksanaan subsidi ke atas petrol, diesel, elektrik dan tol. PADU akan dijadikan sebagai sumber rujukan berpusat dan bertujuan menentukan kumpulan sasar yang benar-benar layak menerima bantuan dan subsidi serta mengurangkan inclusion and exclusion error, sekali gus meminimumkan keciciran dan ketidaktepatan kumpulan sasar.

Di sebalik tentangan, apabila tempoh pendaftaran PADU berakhir pada 30 Mac lalu, seramai 11.55 juta atau 52.6 peratus warganegara berusia 18 tahun ke atas berjaya mendaftar dan mengemas kini profil diri menjadikan 17.65 juta (58.7 peratus) keseluruhan profil berjaya dikemas kini.

Mekanismenya sudah ada, kini hanya menunggu masa pelaksanaan subsidi bersasar. Usahlah dihiraukan golongan mempertikaikan usaha melaksanakan subsidi bersasar ini.

Penulis adalah penganalisis sosiopolitik tempatan


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X