Ahad, 31 March 2024 | 9:41am

Peluang, ganjaran tinggi sukarkan usaha basmi rasuah penjawat awam

GEJALA dan amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam dilihat memang tidak asing lagi di negara ini. Saban hari ada sahaja sajian berita memaparkan salah laku rasuah membabitkan penjawat awam. Segelintir penjawat awam dilaporkan menjadikan jawatan dan pangkat disandang sebagai lubuk mencari 'duit tepi' dan tanpa malu hidup dengan rasuah, selain terbabit salah guna kuasa.

Terbaharu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan membabitkan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang mencecah RM2 billion bagi tempoh tiga tahun lalu.

Pendedahan terbaharu SPRM ini membuka seribu satu persoalan orang awam berkaitan punca berlakunya jenayah rasuah walaupun kerajaan mewujudkan pelbagai inisiatif bagi mengekang budaya negatif ini daripada terus berleluasa. Sebagai penjawat awam, berita seumpama ini amat mengecewakan.

Terdapat sangat banyak laporan mengenai tangkapan dan tindakan SPRM dan lain-lain agensi penguatkuasaan terhadap perbuatan tidak berintegriti penjawat awam. Berpaksikan kepada data statistik tangkapan rasuah SPRM dikeluarkan setiap tahun, sekitar 74 penjawat awam didapati terbabit dengan aktiviti rasuah sehingga Februari lalu.

Pada 2023, seramai 437 penjawat awam ditangkap SPRM daripada 1,137 jumlah keseluruhan tangkapan dibuat. Pada 2022 pula 323 jumlah tangkapan membabitkan penjawat awam daripada 909 jumlah keseluruhan tangkapan dilakukan. Berdasarkan statistik SPRM ini, dapat dilihat trend peningkatan jumlah tangkapan membabitkan penjawat awam dari 2022 hingga 2023.

Walaupun statistik tangkapan itu kelihatan tinggi, namun ia membabitkan hanya segelintir penjawat awam sahaja yang membawa kepada peratusan kecil berbanding jumlah keseluruhan penjawat awam. Sungguhpun demikian, perlakuan tidak berintegriti segelintir penjawat awam ini mencemarkan nama perkhidmatan awam, sekali gus merosakkan imej Malaysia.

Malaysia baru sahaja memperbaiki kedudukannya dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 seperti diumumkan Transparency International Malaysia (TI- Malaysia), iaitu kenaikan sebanyak empat tangga, 61 ke 57 daripada 180 negara, serta memperbaiki skornya daripada 47 ke 50, iaitu peningkatan tiga mata selepas penurunan berturut-turut semenjak 2019.

Walaupun skor CPI naik tiga mata, skor itu masih tidak boleh dibanggakan kerana masih lagi pada tahap rendah. Menurut Presiden TI-Malaysia, Dr Muhammad Mohan walaupun pemulihan negara dalam CPI 2023 adalah berita baik, namun trend membimbangkan mungkin mempengaruhi kedudukan Malaysia pada tahun ini.

Trend peningkatan jenayah rasuah membabitkan penjawat awam kini bukan disebabkan masalah kurang pendapatan, sebaliknya kerana wujud ruang dan peluang untuk mendapatkan ganjaran lebih tinggi. Jenayah rasuah yang berlaku kini kebanyakannya dirancang, ada pakatan dan perbincangan untuk kepentingan bagi mengaut keuntungan.

Justeru tidak hairanlah kegiatan rasuah tidak dapat dikesan bertahun-tahun lamanya. Selain itu, peluang melakukan rasuah ini berlaku disebabkan kelemahan aspek kawalan dalaman organisasi itu sendiri termasuk sistem dan prosedur kerja serta kurangnya pemantauan pegawai atasan sehingga membolehkan anak buah mengambil kesempatan melakukan rasuah.

Perkukuh usaha pemantapan tatakelola

Atas faktor inilah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewujudkan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada tahun lalu, bertujuan untuk memperkemas dan memperkukuh usaha pemantapan tatakelola dalam sistem pengurusan pentadbiran kerajaan.

Jawatankuasa ini diwujudkan bagi memastikan tindakan segera, berfokus dan lebih berkesan dapat diambil dalam menangani isu kelemahan tatakelola yang boleh menyebabkan ketirisan, pembaziran serta risiko rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Arahan Perdana Menteri adalah bagi memastikan kementerian, jabatan dan agensi termasuk badan berkanun mengambil tindakan berkesan dalam menangani kelemahan tatakelola, rasuah dan integriti.

Di samping itu, sistem penggiliran tugas penjawat awam, khususnya agensi penguat kuasa boleh mengurangkan isu berkaitan rasuah. Penggiliran tugas dalam kalangan penjawat awam terutama jawatan sensitif di tempat menjadi 'lubuk rasuah' akan mengurangkan kepada penerimaan dan penawaran rasuah.

Kaedah penggiliran tugas ini juga perlu bersekali dengan penguatkuasaan tindakan punitif lebih tegas terhadap salah laku penjawat awam. Jika aspek mekanisme kawalan dalaman diperkukuh, langkah seterusnya adalah mendidik individu dalam negara ini untuk memandang jijik dan menanam sifat benci kepada perbuatan rasuah.

Dalam hal ini SPRM secara aktif mewujudkan pelbagai inisiatif bagi memberi kesedaran secara berterusan di setiap peringkat masyarakat bermula dari peringkat sekolah sehingga ke universiti. Antaranya Program Wira Anti Rasuah (WAR) disasarkan, khusus bagi pelajar sekolah rendah dan menengah, manakala Angkatan Mahasiswa Anti- Rasuah (AMAR) pula khusus untuk penuntut institusi pengajian tinggi.

Bukan itu sahaja, Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) juga dilaksanakan sebagai kursus wajib dalam mata pelajaran umum bermula tahun lalu di semua IPT. Boleh dikatakan usaha mendidik dan memberi pendedahan awal berkaitan dengan jenayah rasuah ini dilaksanakan di semua peringkat pendidikan.

Ternyata, cabaran terhebat dalam menangani pencegahan rasuah ini adalah mendapatkan sokongan dan dukungan berterusan masyarakat terutama penjawat awam dalam merealisasikan hasrat murni kerajaan membanteras jenayah berkenaan. Walaupun pelbagai inisiatif, pelan dan kempen digerakkan, gejala rasuah tetap berlegar di sekeliling kita.

Ketamakan, kekurangan integriti dan kurangnya iman akan mendorong seseorang terjebak jenayah rasuah. Justeru, apakah kesudahan jenayah rasuah di Malaysia ini. Adakah agenda nasional untuk meletakkan Malaysia di kedudukan ke-25 CPI dalam tempoh 10 tahun akan datang akan tercapai.

Hasrat ini hanya dapat direalisasikan menerusi kerjasama baik antara SPRM dengan agensi awam serta swasta bagi memartabatkan agenda negara membasmi jenayah rasuah di Malaysia.

Berita Harian X