Sabtu, 30 March 2024 | 10:41am

Pentaksiran murid berdasar gred, peratusan lebih mesra, realistik

Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) diperkenalkan selepas peperiksaan awam utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dimansuhkan. Tujuannya adalah untuk menentukan tahap pemahaman murid pada akhir pembelajaran mereka.

PBD, dahulunya dikenali sebagai Pentaksiran Sekolah (PS), merujuk kepada penilaian berterusan sesi pengajaran dan pembelajaran untuk mendapatkan maklumat mengenai perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid dalam pembelajaran.

PS tergolong dalam kategori pentaksiran formatif kerana ia bertujuan mentaksir kemajuan murid dari semasa ke semasa dan bermatlamat memperbaiki kelemahan mereka dalam pelbagai aspek. PBD bukan bertujuan membandingkan tahap penguasaan antara murid, sebaliknya bertujuan melihat perkembangan kemajuan mereka dalam pembelajaran dan membantu guru meningkatkan pengajaran.

Semua mata pelajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) termasuk dalam PBD, dilaksanakan secara berterusan di sekolah rendah dari Tahun Satu hingga Tahun Enam dan di sekolah menengah dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.

Pelbagai kaedah pentaksiran dilaksanakan dalam mentaksir seseorang murid, termasuklah penulisan, lisan dan pemerhatian, projek, kuiz, pembentangan dan aktiviti pembelajaran lain berdasarkan standard prestasi dan pertimbangan profesional guru.

Bagi setiap mata pelajaran, pencapaian murid dirujuk dalam enam tahap penguasaan. Pada tahap penguasaan ini, pengetahuan, kemahiran dan nilai ditetapkan dalam kurikulum diambil kira. Hal ini membabitkan Tahap Penguasaan (TP) 1 hinggalah 6 dengan deskripsi masing-masing.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini mengumumkan pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) untuk semua mata pelajaran murid di sekolah akan ditukar kepada peratus dan gred bermula pada sesi persekolahan ini.

Berbanding sebelumnya, skor UASA untuk setiap mata pelajaran ditunjukkan dalam bentuk TP. Namun begitu, pelaporan PBD masih menggunakan TP, tetapi dalam pelaporan UASA ia dikeluarkan dalam bentuk peratus dan gred. Justeru, terdapat beberapa manfaat laporan menggunakan peratusan dan gred berbanding penilaian tahap daripada aspek menyampaikan maklumat tepat.

Peratusan dan gred memberikan ukuran prestasi murid lebih tepat. Hal ini kerana peratusan memberikan nilai berangka khusus menunjukkan tahap penguasaan atau pencapaian, membolehkan perbezaan lebih baik antara tahap prestasi murid. Secara teknikal, tahap adalah data jenis ordinal, manakala peratus pula data jenis inferens.

Kelebihan laporan data jenis inferens

Banyak kelebihan laporan menggunakan data jenis inferens berbanding data jenis ordinal. Data inferens biasanya membabitkan pengukuran kuantitatif, memberikan nilai berangka tepat membolehkan analisis statistik lebih terperinci.

Sifat kuantitatif ini membolehkan penyelidik menggunakan pelbagai teknik statistik untuk meneroka hubungan, menguji hipotesis, dan membuat kesimpulan bermakna. Data jenis ordinal tidak boleh dianalisis menggunakan statistik inferens membabitkan pengiraan min dan sisihan piawai.

Data inferens turut memberikan tahap ketepatan lebih tinggi berbanding data ordinal. Pengukuran kuantitatif memberikan perbezaan lebih baik antara tahap berbeza pembolehubah dikaji, membolehkan analisis dan tafsiran data lebih berbeza.

Sekiranya pihak berkepentingan ingin menganalisis pencapaian merentas demografi seperti jantina, lokasi sekolah dan sebagainya, data inferens lebih sesuai digunakan untuk dianalisis secara komprehensif.

Gred dan peratusan membolehkan pecahan prestasi lebih terperinci, membolehkan pendidik, guru dan ibu bapa mengenal pasti bahagian kekuatan serta dengan lebih tepat.

Butiran ini boleh memudahkan intervensi disasarkan dan strategi sokongan menangani keperluan pembelajaran khusus. Data ini boleh diterjemahkan ke dalam bentuk graf dan carta bagi mendapatkan gambaran visual lebih jelas mengenai pencapaian seseorang murid.

Selain itu, ibu bapa tidak akan keliru dengan laporan TP kerana mereka sudah terbiasa dengan laporan pencapaian anak berasaskan peratusan dan gred yang lebih mudah difahami, diterima secara meluas merentasi sistem dan institusi pendidikan di seluruh dunia.

Peratusan dan gred menyediakan kaedah piawai untuk menyampaikan pencapaian murid, menjadikannya lebih mudah bagi pihak berkepentingan untuk mentafsir dan membandingkan data prestasi merentas konteks yang berbeza.

Gred dan peratusan berfungsi sebagai alat motivasi untuk murid. Metrik prestasi jelas membolehkan murid melihat kemajuan mereka dari semasa ke semasa, menetapkan matlamat realistik dan berusaha untuk penambahbaikan.

Ketelusan gred dan peratusan ini boleh memupuk rasa akauntabiliti serta menggalakkan murid lebih berasa bertanggungjawab dengan pembelajaran mereka.

Gred dan peratusan juga kaedah ringkas serta standard untuk menyampaikan prestasi murid kepada ibu bapa, pentadbir dan pihak berkepentingan lain, memastikan semua pihak mempunyai pemahaman bersama kekuatan murid dan aspek perlu diperbaiki.

Ini memudahkan pemahaman antara institusi pendidikan dan perbandingan antara pencapaian murid dari negara berbeza. Malah pentaksiran antarabangsa seperti The Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment (PISA) menggunakan markah dan peratusan dalam laporan mereka.

Keputusan KPM untuk laporan UASA dikeluarkan dalam bentuk peratus dan gred menunjukkan KPM sentiasa mendengar keluhan rakyat. Keputusan ini keputusan wajar demi kepentingan murid sebagai modal insan negara pada masa akan datang.

Walaupun laporan UASA dikeluarkan dalam bentuk peratus dan gred, diharapkan ia tidak mewujudkan perbandingan antara murid, sebaliknya lebih terarah kepada bagaimana potensi seseorang murid itu dapat diserlahkan dan dioptimumkan seperti mana dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Penulis adalah Pensyarah di Sekolah Pendidikan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita Harian X