Selasa, 26 March 2024 | 12:59pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese ketika sidang media bersama selepas Mesyuarat Tahunan antara Pemimpin Malaysia-Australia Kedua (ALM) di Government House, Melbourne, 4 Mac lalu. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese ketika sidang media bersama selepas Mesyuarat Tahunan antara Pemimpin Malaysia-Australia Kedua (ALM) di Government House, Melbourne, 4 Mac lalu. - Foto BERNAMA

Malaysia tunjuk contoh imbangi kuasa AS-China, tolak Sinofobia

KETIKA lawatan rasmi ke Australia baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat liputan meluas apabila beliau dengan tegas menyatakan Malaysia adalah negara bebas dan berdaulat serta tidak boleh dipaksa untuk memilih mana-mana pihak dalam persaingan Amerika Syarikat (AS)-China yang semakin meningkat.

Beliau turut menyatakan Malaysia tidak mempunyai sebarang masalah dengan Negara Tembok Besar itu, malah mengecam gelombang Sinofobia yang semakin meningkat di AS dan negara sekutu.

Naratif Sinofobia dan ancaman China ini adalah propaganda dicanang AS dalam konteks perang perdagangan dan teknologi AS-China pada hari ini.

Atas alasan keselamatan dan kepentingan negara, AS di bawah bekas Presiden Donald Trump melancarkan perang perdagangan dengan China sejak 2018. Dalam perang perdagangan ini, AS mengenakan tarif ke atas AS$550 bilion (RM2.6 trilion) produk China dengan negara itu bertindak balas apabila mengenakan tarif ke atas AS$180 bilion (RM851.1 bilion) produk AS.

Meskipun beberapa siri rundingan menyebabkan beberapa tarif tidak dikuatkuasakan dan dikurangkan, tarif ke atas AS$250 bilion (RM1.2 trilion) produk China masih berkuat kuasa hingga kini.

Bukan itu sahaja, AS turut melaksanakan decoupling atau penyahgandingan untuk memutuskan akses China terhadap komoditi, perisian dan teknologi AS. Sehingga Ogos 2022, sebanyak 650 entiti China dimasukkan ke dalam Senarai Entiti oleh Jabatan Perdagangan AS.

Pada era Presiden Joe Biden, larangan eksport ke China ini turut disertai negara sekutu apabila Jepun dan Belanda memasukkan litografi sinar ultra ungu lampau (EUV), iaitu mesin penting dalam pembuatan semikonduktor ke dalam senarai larangan eksport mereka.

Selain itu, AS turut melarang individu dan syarikat AS untuk melabur dalam syarikat China. Terbaharu, Dewan Senat meluluskan rang undang-undang (RUU) melarang operasi TikTok di AS sekiranya ByteDance, iaitu syarikat induknya di China, tidak melepaskan pegangannya dalam tempoh enam bulan.

Langkah ini dapat dilihat sebagai usaha AS untuk membantutkan rancangan 'Made in China 2025' dan seterusnya mengekang pertumbuhan dan pembangunan China.

Bagi menyaingi Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) yang dilancarkan China pada 2013, AS meluluskan Akta BUILD dengan peruntukan AS$60 bilion (RM283.7 bilion) bagi membiayai pembangunan dan infrastruktur di negara membangun.

Inisiatif ini diperkasakan apabila Biden dan pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) melancarkan Partnership for Global Infrastructure and Investment (PGII) dengan matlamat memobilisasikan AS$600 bilion (RM2.8 trilion) untuk pelaburan infrastruktur global pada 2027.

Kesatuan Eropah (EU) turut melancarkan Global Gateway pada 2021 bertujuan memobilisasikan AS$340 bilion (RM1.6 trilion) bagi membiayai rancangan infrastruktur antarabangsa.

Selain itu, AS bersama 13 negara di rantau Indo-Pasifik turut memperkenalkan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) bagi menyaingi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) didominasi China. Melalui pembiayaan kewangan dan blok perdagangan, AS berusaha mencipta blok negara memihak kepada kepentingannya dan sekutu.

Sehingga Jun 2023, China menandatangani lebih 200 perjanjian kerjasama BRI dengan lebih 150 negara dan 30 organisasi antarabangsa merentasi lima benua, sekali gus berbelanja AS$1 trilion (RM4.7 trilion).

Pengaruh ekonomi China meningkat

Peningkatan pengaruh ekonomi China melalui BRI menyebabkan AS menuduh China menggunakan diplomasi 'perangkap hutang' untuk menarik minat negara membangun supaya meminjam lebih daripada kemampuan mereka, kemudian merampas aset strategik sebagai cagaran pinjaman.

Pelabuhan Hambantota di Sri Lanka dihujahkan sebagai contoh unggul bagi diplomasi ini, tetapi kes ini dianggap mitos oleh banyak kajian, sebaliknya menjadikan naratif terbabit hanyalah penipuan.

Sebaliknya di Afrika, modal Barat adalah pemiutang terbesar membentuk hampir tiga perempat daripada jumlah hutang luar negara itu yang belum dijelaskan, sementara China hanya memegang 17 peratus daripada keseluruhan hutang luar Afrika.

Realitinya, Malaysia tidak mudah terpedaya dengan naratif ancaman China. Meskipun menghadapi cabaran dalam isu pertikaian Laut China Selatan, Malaysia memilih strategi pelindung ringan, selain melaksanakan langkah melindungi dan menegaskan kedaulatan wilayah serta hak tuntutan maritim, sekali gus mempromosikan proses pengurusan konflik diterajui ASEAN.

Melalui strategi ini, negara memilih tidak memperbesarkan faktor ancaman China sementara menekankan manfaat kerjasama ekonomi dengan negara berkenaan. Melalui strategi ini, kerajaan berjaya memperoleh komitmen pelaburan terbesar dari China berjumlah AS$170 bilion (RM803.9 bilion).

Dalam isu membabitkan projek BRI, Malaysia melaksanakan peranan agensi dan menonjolkan keupayaan untuk merunding kembali projek serta pinjaman dilihat berat sebelah tanpa menyinggung perasaan China.

Ini membolehkan Malaysia mendapatkan syarat lebih baik dalam projek ECRL dan Bandar Malaysia. Peranan agensi ini menunjukkan Malaysia tidak hanya komited memelihara autonomi daripada pengaruh kuasa besar dan memperbaiki aspek governans, bahkan mempunyai keupayaan berunding dan seni berdiplomasi dengan kuasa besar.

Dalam konteks persaingan AS-China, Malaysia sudah lama menekankan hubungan jarak sama dengan kuasa besar, iaitu satu strategi penting dalam dasar berkecualinya.

Secara ringkas, AS menggunakan naratif Sinofobia dan perangkap hutang serta melaksanakan strategi penyahgandingan untuk menyekat kemaraan dan pembangunan China.

Perlu difahami perang perdagangan dan teknologi antara AS-China bukan hanya soal ekonomi, tetapi membabitkan persaingan strategik di antara kedua-dua kuasa. Ini kerana China dilihat sebagai kuasa berupaya mengganggu-gugat kedudukan AS sebagai hegemon.

Meskipun kebangkitan China membawa cabaran tertentu, dunia tidak seharusnya terpedaya dengan naratif dan tipu muslihat AS bertujuan menghapuskan pencabar dan mengekalkan status quo.

Dunia perlu mencontohi kes Malaysia melaksana peranan agensi, mengekalkan dasar berkecuali dan tidak memperbesarkan ancaman China sementara meraih manfaat ekonomi daripada China.

Penulis adalah Pensyarah Sains Politik Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia

Berita Harian X