Selasa, 12 March 2024 | 9:24am
Pemberian hak kewarganegaraan dilakukan penuh bijaksana, teliti - Foto hiasan
Pemberian hak kewarganegaraan dilakukan penuh bijaksana, teliti - Foto hiasan

Pemberian hak kewarganegaraan dilakukan penuh bijaksana, teliti

PEMBERIAN hak kewarganegaraan kepada anak dilahirkan wanita Malaysia bersuamikan warga negara asing di luar negara melalui proses cermat dan teliti kerana ia bukan sahaja memerlukan persetujuan dua pertiga Ahli Parlimen, bahkan perlu diperkenankan Majlis Raja-Raja serta kerajaan Sabah dan Sarawak.

Tidak hairanlah walaupun Kabinet bersetuju untuk meminda Perkara 14 (1)(b) itu dibuat pada 18 Februari tahun lalu lagi, tempoh setahun diperlukan untuk memperincikan bentuk dan mekanisme sebenar cadangan pindaan berkenaan.

Justeru, pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Mesyuarat Kabinet memutuskan pindaan ke atas Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan bagi isu kewarganegaraan itu berserta beberapa pindaan lain, akan dibawa ke Parlimen pada bulan ini selepas diperkenankan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-265 pada 22 Februari tahun ini dan dipersetujui kedua-dua kerajaan negeri terbabit.

Dua jawatankuasa khas ditubuhkan kerajaan ter- utama membuat kajian terperinci termasuk penyelidikan ke atas amalan dilakukan negara lain seperti Amerika Syarikat (AS), Australia dan Singapura.

Kedua-dua jawatankuasa khas ini dipengerusikan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi pada peringkat kementerian berkenaan, manakala peringkat Kabinet pula dipengerusikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sudah mengambil kira semua pendapat dalam melakukan tugasan ini.

Ia juga mengadakan beberapa sesi libat urus dengan masyarakat sivil terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ahli Parlimen, ahli akademik, pengamal undang-undang dan parti politik bagi mendapatkan input berkaitan untuk dipertimbangkan.

Paling penting, input daripada Majlis Raja-Raja selaku penimbang taruh terbesar dengan Raja-Raja Melayu dengan segala kebijaksanaan mengambil kira semua faktor perlu diberikan pertimbangan oleh kerajaan dalam membuat pindaan besar ke atas Perlembagaan Persekutuan ini.

Oleh itu, agak sukar difahami apabila beberapa NGO masih menggunakan alasan hak asasi manusia untuk menolak sebahagian cadangan pindaan tanpa membuat penelitian penuh ke atas cadangan berkenaan.

Apatah lagi jika Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), yang anggotanya dilantik Yang di-Pertuan Agong atas syor Perdana Menteri dengan antara fungsi dan kuasanya adalah 'untuk menasihati dan membantu kerajaan dalam merumuskan perundangan dan arahan dan tatacara pentadbiran' turut mempertikaikannya.

Cadangan pindaan beri kesan

Dalam kenyataannya baru-baru ini, SUHAKAM menyatakan kebimbangan mengenai cadangan pindaan dikatakan akan memberi kesan kepada kanak-kanak dilahirkan luar nikah kepada lelaki warganegara Malaysia, kanak-kanak tanpa kewarganegaraan yang dijadikan anak angkat oleh warganegara Malaysia dan bayi terdampar (foundlings).

Ia juga menyatakan perkara penting mengenai peruntukan dan hak kewarganegaraan mestilah tidak dibiarkan kepada budi bicara Menteri Dalam Negeri kerana didakwa akan memburukkan keadaan.

Perkara sama dinyatakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh di Parlimen pada 5 Mac lalu. Beliau berkata, sekiranya cadangan itu diterima, seorang foundling tidak akan layak kepada kewarganegaraan secara automatik dan perlu melalui proses pendaftaran diketahui secara umum adalah proses birokratik memakan masa lama, yang tidak menjamin kewarganegaraan foundling berkenaan.

Ramkarpal turut mempersoalkan apakah ia langkah regressif atau polisi itu akan menambah kadar orang tak bernegara di Malaysia.

Faktanya, anak luar nikah dan anak angkat memang selamanya berada di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan menyebut 'Kerajaan Persekutuan boleh, dalam apa-apa hal keadaan khas yang difikirkannya patut, menyebabkan mana-mana orang yang di bawah umur 21 tahun didaftarkan sebagai warganegara'.

Begitu juga dengan anak terdampar seperti dijelaskan Menteri Dalam Negeri bahawa pada 2023, seramai 85 peratus daripada 11,500 permohonan kewarganegaraan diputuskan adalah daripada anak angkat, anak luar nikah dan anak terdampar.

Ini membuktikan kerajaan tidak pernah menafikan hak kewarganegaraan kepada mereka. Sejak 2014 hingga 2023, daripada 59,000 permohonan dibuat di bawah pendaftaran melalui Perkara 15A pula, 35,000 sudah diproses dan peratusan berjaya ialah 98 peratus berbanding permohonan di bawah Perkara 19B secara kuat kuasa undang-undang, iaitu 142 sahaja.

Elemen permohonan melalui pendaftaran diperlukan bagi mengelakkan penipuan. KDN sendiri mengesahkan selama ini banyak berlaku kejadian menipu dokumen dan identiti.

Misalnya, ada warganegara Malaysia terjumpa anak terdampar kemudian mendaftarkan anak ini sebagai anak sendiri dengan cara menipu dokumen sijil lahir melalui sindiket dan klinik swasta. Apabila umur anak ini mencecah 12 tahun, kes penipuan ini dikesan apabila permohonan MyKad dibuat dengan menggunakan sijil lahir palsu tiada dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Kita juga mempunyai 3.5 juta warganegara asing. Jika kelahiran 'anak terdampar' terjadi dan memang sedang terjadi, anak ini akan mendapat kewarganegaraan secara automatik di bawah Perkara 19B.

Mereka akan boleh menikmati segala jenis subsidi, boleh menggunakan perkhidmatan percuma di hospital dan sebagainya sedangkan ini tidak adil kerana segala kemudahan ini datang daripada duit pembayar cukai dalam kalangan warganegara Malaysia.

Oleh itu, menjadi hasrat kerajaan untuk mengubah keadaan ini untuk kebaikan pada hari depan. Anak terdampar tidak dinafikan hak dan masih boleh mendapat kewarganegaraan melalui jalan pendaftaran, sebaliknya memerlukan elemen permohonan, siasatan dan tapisan untuk mengelakkan fraud, penyembunyian identiti dan pemalsuan dokumen.

Pemberian kuasa kepada Menteri Dalam Negeri tidak perlu menjadi keributan kerana selama ini diberi kuasa budi bicara meluluskan kewarganegaraan yakni, permohonan melalui pendaftaran di bawah Perkara 15A.

Cuba bandingkan angka kecil 142 permohonan di bawah kuat kuasa undang-undang berbanding 59,000 permohonan di bawah kuasa budi bicara menteri dan lihat pula ketinggian peratusan berjaya serta kecepatan memproses hanya dalam masa setahun sekarang.

Hakikatnya, Majlis Raja-Raja serta kerajaan Sabah dan Sarawak meneliti dan memberi persetujuan sepenuhnya kepada keseluruhan cadangan pindaan ini. Ini semua adalah proses KDN disempurnakan dengan cermat.

Apakah pihak mempertikaikan pindaan itu beranggapan semua proses terbabit remeh? Majlis Raja-Raja mempunyai kebijaksanaan, ada elemen kawalan diperlukan bagi memastikan kewarganegaraan tidak diberikan dengan mudah. Ini dijadikan panduan oleh KDN dan perlu diberikan sokongan penuh setiap golongan rakyat, terutama Ahli Parlimen.

Penulis adalah Felo Utama di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X