Khamis, 22 Februari 2024 | 9:39am

Tambah baik undang-undang lapuk elak buka ruang amalan rasuah

SESUATU peruntukan undang-undang, pekeliling dan prosedur digubal untuk mengawal selia aspek tadbir urus serta tatakelola supaya tidak ada ruang mana-mana pihak mengambil kesempatan dan melakukan kesalahan.

Justeru, pendedahan terkini Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bahawa terdapat peruntukan lapuk dalam beberapa undang-undang sedia ada yang menjadi antara faktor membuka ruang kepada amalan rasuah terutama dalam kalangan penjawat awam, wajar diteliti dan diambil tindakan segera.

Antara contoh diketengahkan Azam ialah kontrak pemerolehan secara rundingan terus yang mana nilai RM50,000 bagi tujuan itu tidak pernah disemak sejak ditetapkan pada 1990-an, sekali gus menyebabkan ramai kontraktor mungkin memberi rasuah untuk memenangi tender.

SPRM juga sedang meneliti proses lapuk berhubung kawalan syarikat monopoli di negara ini, selain memaklumkan tiada undang-undang mampu menghalang dan menangani isu berkenaan.

Pendedahan ini menuntut kerajaan melihat dua isu penting iaitu pertama, terdapat keperluan mendesak untuk meneliti, menyemak semula dan menambah baik mana-mana undang-undang dan tatacara perolehan lapuk, tidak relevan mengikut keperluan semasa serta membuka ruang kepada amalan rasuah.

Kedua, kerajaan perlu bertindak segera memperkenalkan undang-undang baharu bagi menangani isu monopoli syarikat besar sehingga merugikan kerajaan, menyusahkan kehidupan rakyat serta turut membuka peluang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Dalam konteks ini Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali melaksanakan langkah proaktif apabila baru-baru ini memberi tempoh sebulan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk mengemukakan cadangan mana-mana peraturan dan pekeliling lapuk yang perlu disemak semula dan ditambah baik.

Langkah ini bagi memastikan peraturan dan pekeliling digunakan dalam perkhidmatan awam selari dengan kehendak semasa, selain tidak mengikat penjawat awam dalam melaksanakan tugas.

Memandangkan SPRM sudah mengenal pasti undang-undang yang lompong dan membuka ruang kepada amalan rasuah, selain KSN sendiri prihatin dan meminta merombak undang-undang lapuk, sudah tiba masanya untuk agensi kerajaan mengambil peluang melihat secara menyeluruh semua undang-undang, pekeliling dan prosedur sedia ada terutama membabitkan soal kewangan supaya dapat membuat penambahbaikan bersesuaian mengikut keperluan semasa.

Bermakna, agensi kerajaan jangan hanya fokus untuk menilai semula undang-undang disebut SPRM semata-mata, sebaliknya wajar melihat secara menyeluruh supaya ada sinergi antara semua undang-undang berkuat kuasa, terutama sebagai benteng untuk mencegah, mengawal dan menangani segala bentuk ketirisan dalam perkhidmatan kerajaan. Ia juga perlu mencakupi semua undang-undang dan prosedur di peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Manipulasi kelompangan undang-undang

Tuntasnya, negara tidak perlu lagi peraturan dan pekeliling lapuk dalam perkhidmatan awam menjadi lubuk atau platform membuka ruang rasuah serta salah guna kuasa sehingga merugikan negara selain menyukarkan pihak berkuasa mengambil tindakan penguatkuasaan.

Hal ini signifikan kerana sudah ada segelintir penjawat awam bersekongkol dengan pihak tertentu dengan memanipulasi kelompangan yang ada dalam peraturan semasa sehingga mampu hidup mewah dengan hasil rasuah.

Penyalahgunaan kuasa dan pengkhianatan terhadap rakyat dan negara seperti ini perlu dihentikan segera melalui rombakan terhadap undang-undang lapuk seperti dinyatakan.

Selain itu undang-undang berkaitan pemerolehan secara rundingan terus wajar dilihat semula kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pernah menzahirkan komitmen untuk tidak lagi membenarkan ia berlaku dalam perolehan kerajaan kerana membuka ruang lebih besar bagi penyalahgunaan kuasa.

Justeru amalan ini wajar dihentikan di semua peringkat perolehan kerajaan dan ia bukan lagi soal keperluan untuk meneliti had serta nilai sedang berkuat kuasa.

Namun pengecualian boleh diberikan dengan pertimbangan wajar, adil dan telus untuk kes tertentu yang mendesak seperti membabitkan soal kesihatan atau keselamatan rakyat dan negara.

Ironinya, usaha membanteras rasuah perlu bermula dengan penguatkuasaan undang-undang yang betul, relevan dan tegas. Undang-undang lapuk yang ada wajar disemak semula dan dibuat penambahbaikan, selain mewujudkan undang-undang baharu diperlukan mengikut keperluan semasa.

Usaha ini akan membolehkan pihak berkuasa seperti SPRM mengambil tindakan lebih mudah, lancar dan tegas. Kita tidak mahu ada lagi mana-mana pihak terlepas begitu saja daripada penyiasatan dan pendakwaan walaupun jelas melakukan pelbagai penyelewengan hanya kerana kelompangan dalam undang-undang dan peraturan sedia ada.

Semoga usaha penambahbaikan terhadap undang-undang lapuk sedia ada akan membuka laluan kepada amalan tadbir urus dan tatakelola lebih baik dalam perkhidmatan kerajaan, sekali gus membantu membanteras dan menangani rasuah di negara kita secara keseluruhannya.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum Dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia

Berita Harian X