Selasa, 13 Februari 2024 | 11:46am
Keputusan kes Nik Elin buka ruang perkasa undang-undang syariah. - Foto BH
Keputusan kes Nik Elin buka ruang perkasa undang-undang syariah. - Foto BH

Keputusan kes Nik Elin buka ruang perkasa undang-undang syariah

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah pada 9 Februari lalu menerima reaksi berbeza.

Terdapat tohmahan melampau pihak berpegang Islam hanya berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Kumpulan ini melihat Mahkamah Sivil sebagai mahkamah tidak syarie.

Kedudukan Mahkamah Sivil akan lebih jelas jika diterjemahkan sebagai Mahkamah Awam membezakan bidang kuasanya dengan Mahkamah Syariah.

Perenggan [7] Ringkasan Penghakiman petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman sewajarnya disambut baik apabila mahkamah membuat pemerhatian berikut:

"Mahkamah Syariah di Malaysia, setakat hari ini, tidak melaksanakan hukuman hudud atau qisas, hanya takzir. Mahkamah sivil juga melaksanakan hukuman takzir. Sebegitu, tidak ada bezanya Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil kerana kedua-dua sistem syariah dan sivil melaksanakan hukuman takzir. Perbezaannya cuma hukuman takzir dilaksanakan Mahkamah Syariah bersumberkan atau mengikut undang-undang ditetapkan pemerintah di peringkat negeri dan diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala hukuman takzir dilaksanakan Mahkamah Sivil mengikut undang-undang ditetapkan pemerintah di peringkat Persekutuan diluluskan Parlimen."

Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid di Mahkamah Putrajaya, Jumaat lalu. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid di Mahkamah Putrajaya, Jumaat lalu. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Keputusan itu merungkai banyak salah faham sebelum ini mendakwa undang-undang Islam hanya berada dalam ruangan sempit iaitu undang-undang khusus bagi orang Islam.

Malangnya ada yang sanggup menuduh Mahkamah Persekutuan bermain silap mata menggunakan Perenggan [7] terbabit bagi mengendurkan kemarahan orang Islam.

Dalam keputusan ini, mahkamah dalam Penghakiman Penuhnya memberikan seluas tafsiran kategori ajaran Islam (precepts of Islam).

Ada elemen pemerkasaan undang-undang syariah selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan negeri. Bahkan mengesahkan Malaysia bukan negara sekular.

Pertama, peruntukan boleh digubal dan dihukum mengikut Butiran I Senarai Negeri termasuk Perkara 11(4) tanpa dibatasi perkara dijelaskan,

Kedua, takrifan lebih terbuka mengenai apa-apa yang mungkin boleh menjadi kesalahan dalam agama Islam dan undang-undangnya yang tidak semestinya dirujuk secara langsung kepada mana-mana butiran nyata dalam Butiran I Senarai Negeri.

Prinsip penentuan bidang kuasa

Mahkamah dalam Perenggan [121] Penghakiman Penuhnya turut menetapkan prinsip penentuan bidang kuasa, sekali gus mentakrifkan undang-undang takzir dinyatakan dalam Perenggan [7] Ringkasan Penghakiman itu iaitu:

  • Pertama, peruntukan digubal DUN adalah suatu kesalahan terhadap ajaran Islam yang secara Perlembagaan merujuk kepada salah satu daripada dua kategori luas.

  • Kedua, apa-apa perkara dirujuk secara khusus dalam Butiran I Senarai Negeri dan peruntukan lain berkaitan dalam Perlembagaan. Jika inti pati peruntukan boleh dirujuk kepada Butiran I atau mana-mana peruntukan lain berkaitan dalam Perlembagaan dan undang-undang itu hanya terpakai kepada orang menganut agama Islam, maka ia adalah satu kesalahan agama dan undang-undang itu digubal secara sah oleh DUN kerana ia jelas termasuk di bawah Senarai Negeri.

  • Ketiga, kategori luas kedua meliputi kesalahan agama semata-mata berhubungan dengan (a) akidah; (b) kesucian agama Islam atau institusinya; atau (c) semata-mata berkaitan dengan akhlak dalam Islam.

  • Keempat, jika inti pati peruntukan dicabar itu adalah suatu kesalahan agama semata-mata, mahkamah hendaklah menguji peruntukan bertentangan dengan Senarai Persekutuan.

    Jika inti pati peruntukan dicabar itu berkaitan dengan kesalahan agama semata-mata yang tidak boleh dirujuk kepada Senarai Persekutuan dan ia hanya membabitkan orang Islam di negara ini, sebagai contoh, seseorang mendakwa bahawa dia adalah Nabi, maka ia berada dalam kuasa DUN untuk menggubalnya.

  • Kelima, jika ia adalah kesalahan agama semata-mata, tetapi inti patinya termasuk dalam perkara undang-undang jenayah dalam Senarai Persekutuan atau undang-undang jenayah am membabitkan unsur ketenteraman awam, keselamatan, kesihatan, keselamatan, moral dan lain-lain, maka ia akan jatuh mengikut preclusion clause, iaitu terkeluar daripada bidang kuasa negeri.

    Contoh kesalahan ini ialah pembunuhan, kecurian, rompakan, rasuah boleh dianggap sebagai kesalahan terhadap ajaran Islam tetapi inti patinya termasuk di bawah undang-undang jenayah pemakaian umum kepada semua orang di negara ini.

    Isu kedua ditimbulkan bukanlah perkara baharu, iaitu penggunaan istilah sekular yang sekian lama diberikan dalam kes Che Omar Che Soh (1988). Namun, mahkamah dalam keputusan kes Nik Elin sebaliknya menyatakan sistem perundangan umum di Malaysia lebih cenderung kepada sekulariti tanpa sekular semata-mata.

    Frasa 'lebih cenderung kepada sekulariti' dalam kerangka undang-undang jenayah diberi tafsiran oleh mahkamah sebagai termasuk mana-mana undang-undang yang Parlimen boleh menggubal untuk mewujudkan atau menghukum kesalahan sifatnya boleh terpakai kepada mana-mana orang tanpa mengira status, bangsa atau agama mereka dan berasaskan pemeliharaan ketenteraman awam, kesihatan, keselamatan, keselamatan, moral, dan lain-lain.

    Kategori berkenaan tidak ditutup, tetapi apa yang biasa bagi mereka adalah ia bertujuan dilaksanakan terhadap semua orang atau kelas orang secara sama rata dan tidak berdasarkan sebarang tanggapan undang-undang Islam. Jelas di sini, tafsiran kedudukan Islam dalam kes Nik Elin lebih baik daripada kes Che Omar.

    Frasa 'lebih cenderung kepada sekulariti' masih boleh diuji keabsahannya berdasarkan pemerhatian dalam Perenggan [7] dan [121] penghakiman berkenaan.

    Kini kewajipan peguam untuk memuaskan hati mahkamah bagi menolak terus keabsahan sekular dalam kes Che Omar berpaksi pandangan MB Hooker tanpa menganalisis dokumen perundangan, termasuk takrifan kedaulatan dalam Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946.

    Jika diteliti hasil kajian dalam buku Kedaulatan Malaysia Governan Utama Negara (2022), ternyata masih banyak merit belum dibawa kepada pertimbangan mahkamah. Kita wajar bersikap adil apabila mengulas keputusan mahkamah.

    Keabsahan sistem perundangan negara bersifat berkecenderungan kepada sekulariti masih belum betul-betul diuji dengan jurisprudens atau kajian mengenai prinsip undang-undang.

    Penulis adalah Profesor Madya Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun, Universiti Islam Antarabangsa/Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah

  • Berita Harian X