Isnin, 12 Februari 2024 | 9:58am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Tambah baik dasar keterjaminan makanan tangani krisis bekalan

Di sebalik pengukuhan dan kerjasama strategik giat dijalankan kerajaan dalam mempromosikan minyak kelapa sawit secara global, isu keterjaminan makanan berkait dengan bahan makanan utama rakyat Malaysia seperti beras, buah-buahan, sayur-sayuran, ternakan dan hasil laut masih kurang diberi perhatian.

Isu kekurangan bekalan makanan seperti dilaporkan media massa baru-baru ini termasuk BH menunjukkan negara masih berdepan isu keterjaminan makanan. Kita perlu sedar isu keterjaminan makanan wujud apabila rakyat tidak mempunyai akses fizikal dan ekonomi kepada makanan selamat serta berkhasiat mencukupi selain memenuhi keperluan diet untuk kehidupan aktif lagi sihat.

Kini didapati harga sayur-sayuran dan buah-buahan di pasaran meningkat antara 50 sen hingga RM4 sekilogram (kg). Penjual menyatakan kenaikan harga ini berikutan kekurangan pengeluaran sehingga tidak dapat menampung permintaan tinggi.

Jabatan Perangkaan menggunakan petunjuk kadar sara diri (SSR) untuk melihat keupayaan sesuatu pengeluaran bahan makanan bagi sesebuah negara mencukupi bagi memenuhi keperluan domestik.

Didapati trend penurunan SSR untuk tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan mempunyai nilai penggunaan per kapita tinggi di Malaysia seperti limau nipis (2021:82.4 peratus, 2022:75.9 peratus), sawi (2021:97 peratus, 2022:95.9 peratus), pisang (2021:102.6 peratus, 2022:99.3 peratus), nanas (2021:104.3 peratus, 2022:102.5 peratus), betik (2021:146.9 peratus, 2022:142.3 peratus) dan tembikai (2021:139.5 peratus, 2022:131.9 peratus).

Bukan sahaja hasil tanaman menunjukkan penurunan SSR tetapi hasil ternakan dan hasil laut seperti daging lembu (2021:18.9 peratus, 2022:14.7 peratus), ikan tenggiri (2021:100.7 peratus, 2022:78.2 peratus) dan udang (2021:100.4 peratus, 2022:96.5 peratus) juga mempamerkan trend penurunan.

Apabila berlaku penurunan SSR, pengeluaran domestik tidak dapat menampung permintaan domestik dan ia mengakibatkan kenaikan harga di pasaran, seterusnya memberi impak kepada rakyat.

Walaupun Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperkenalkan dua dasar iaitu Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2021-2025 dan Dasar Agro-Makanan Negara 2021-2030, namun untuk tahun kedua (2022) pelaksanaan dua dasar, statistik menunjukkan ketidakstabilan SSR Malaysia.

Jika status SSR ini menunjukkan ketidakstabilan dalam jangka panjang ia akan memberi impak kepada permintaan domestik dan seterusnya menyebabkan rakyat kekurangan zat serta makanan.

Tambah baik dasar kejertaminan makanan

Justeru, terdapat tiga strategi penting boleh digunakan untuk menambah baik dasar keterjaminan negara, meningkatkan SSR dan seterusnya mengurangkan isu keterjaminan makanan Malaysia.

  • Pertama adalah meningkatkan penanaman dan ternakan bersasar untuk produk tanaman, ternakan dan hasil laut mempunyai nilai purata penggunaan per kapita tinggi, seperti limau nipis, daging lembu dan ikan tenggiri.

    Dalam hal ini, MARDI menjalankan usaha yang baik meningkatkan tanaman bawang merah mempunyai nilai purata penggunaan 17kg setahun. Namun peningkatan tanaman dan ternakan produk bersasar lain seperti limau nipis, sawi, pisang dan nanas juga perlu dilakukan untuk menampung permintaan domestik.

  • Kedua, sistem pelarasan tanaman dan pengaktifan tanah ladang perlu dilakukan. Dengan wujudnya sistem ini, petani akan lebih fokus dan teratur menyusun tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran untuk setiap musim. Maka, tanah hasilan petani tidak akan terbiar untuk musim tertentu dan sentiasa aktif dalam penanaman.

    Taiwan menjalankan sistem ini, dipanggil Adjusting the Cropping System and Revitalizing Farmland. Petani mereka diwajibkan memenuhkan tanaman untuk satu tahun musim penanaman dan mereka hanya dibenarkan mengosongkan tanah tanaman mereka selama satu musim tanaman untuk tempoh setahun.

    Dengan wujudnya sistem ini pada 2011, Taiwan mendapati pengurangan sebanyak 41 peratus untuk tanah terbiar tanpa tanaman pada 2015.

  • Ketiga adalah memberi penekanan kepada pembinaan kapasiti untuk penyimpanan hasil tanaman dan ternakan supaya ia dapat menampung permintaan domestik. Pelan pembinaan kapasiti silo untuk bijirin telahpun dilaksanakan China dan Taiwan.

    China mengguna pakai konsep 'menyembunyikan bijirin dalam tanah dan menyembunyikan bijirin dalam teknologi'. Yakni, mereka menekankan kepentingan pembinaan kapasiti simpanan tanaman dan bukan hanya menumpukan pada sasaran pengeluaran bijirin. Dengan itu tiada permasalahan dari segi penyimpanan hasil tanaman atau kekurangan pengeluaran sewaktu musim banjir.

    Taiwan mengguna pakai silo bersuhu rendah untuk menyimpan bijirin menunjukkan peningkatan simpanan bijirin sebanyak 7.8 peratus setahun.

    Kesimpulannya, untuk menangani isu keterjaminan makanan di Malaysia, kerajaan harus mengkaji semula dasar keterjaminan makanan semasa dan mempertimbangkan peningkatan tanaman serta pengeluaran untuk produk bersasar mempunyai nilai purata penggunaan per kapita tinggi, mewujudkan sistem pelarasan tanaman dan pengaktifan tanah ladang dan memberi penekanan kepada pembinaan kapasiti untuk penyimpanan hasil tanaman dan ternakan.

    Sebagai tambahan kepada tiga strategi utama, penting untuk melihat faktor pertumbuhan populasi rakyat Malaysia. Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah penduduk Malaysia pada 2023 ialah 33.4 juta, jika dibandingkan dengan 2022 ialah 32.7 juta.

    Kajian menunjukkan pertumbuhan populasi memberikan impak kepada keterjaminan makanan Malaysia. Salah satu faktor menyebabkan pertumbuhan populasi rakyat Malaysia adalah disebabkan peningkatan bilangan bukan warganegara sebanyak 20 peratus pada 2023, berbanding tahun sebelumnya.

    Maka, dalam menangani isu keterjaminan makanan, menyekat pertumbuhan populasi adalah satu langkah tidak wajar, tetapi rakyat perlu mengubah cara penghasilan dan pengambilan makanan. Diet berasaskan tumbuhan dapat mewujudkan populasi lebih sihat dan membantu menangani perubahan iklim serta persekitaran.

    Oleh itu, kerajaan juga perlu mengambil kira aspek pertumbuhan populasi akan meningkatkan permintaan domestik. Justeru, peningkatan SSR adalah penting bagi mencapai permintaan domestik dan seterusnya menangani isu keterjaminan makanan Malaysia. Kerajaan dan institusi berkaitan perlu berganding bahu menyelesaikan isu ini.

    Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya

  • Berita Harian X