Ahad, 11 Februari 2024 | 9:52am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Usah persoal kuasa budi bicara pengampunan Seri Paduka

KEPUTUSAN Lembaga Pengampunan meringankan atau mengurangkan hukuman dijatuhkan mahkamah ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja menjadi perbincangan awam, bahkan khalayak pelbagai latar belakang cuba menghuraikannya, termasuk adakah Lembaga Pengampunan boleh membuat keputusan itu.

Pengampunan satu-satunya cara boleh membebaskan diri seseorang apabila sudah menggunakan proses keadilan di mahkamah sepenuhnya. Dalam frasa when justice comes to an end, mercy comes to play, ia bermaksud apabila tamat proses keadilan, muncul proses belas kasihan atau pengampunan.

Dalam konteks undang-undang dan amalan di negara ini, selepas menggunakan sepenuhnya ruang mengikut pentadbiran keadilan, iaitu mahkamah, seseorang berhak membuat permohonan pengampunan atau dalam istilah undang-undang, petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, terdapat undang-undang di negara lain membenarkan permohonan pengampunan dibuat sebelum tamat mekanisme keadilan di mahkamah.

Perlu saya tegaskan, pengampunan bukan hal politik kepartian, sebaliknya membabitkan hak individu dan kepentingan awam. Berbeza dengan tanggapan umum orang biasa, iaitu orang tidak terkenal, mungkin tidak begitu sukar mendapat pengampunan. Sebenarnya ramai mendapat pengampunan dalam pelbagai bentuk.

Dalam tradisi kesultanan Melayu, bahkan berpanjangan hingga pentadbiran British, kuasa pengampunan dimiliki Raja. Bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, British menjanjikan kuasa pengampunan akan dikembalikan kepada Raja-Raja.

Namun, ia janji semata-mata kerana kuasa itu tidak dikembalikan dan tiada usaha sewajarnya menunaikan hal berkaitan. Ini juga antara faktor rasa tidak puas hati Raja-Raja terhadap pentadbiran British dalam Perjanjian Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dilaksanakan pada 1896.

Pada 1956/1957, ketika mencadangkan draf Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Perlembagaan, iaitu Suruhanjaya Reid mencadangkan peruntukan seperti berikut: The Yang di-Pertuan Besar shall have the exclusive power to grant pardon, reprieves and respites and to remit, suspend or commute any sentence passed by any court, tribunal or authority established by law where the punishment or sentence is for an offence against the federal law.

Setelah draf Perlembagaan disiapkan, peruntukan berkenaan perihal kuasa pengampunan dimasukkan pada Perkara 42.

Perkara 42 mengandungi peruntukan agak panjang dan mempunyai 13 Fasal. Antaranya, Perkara 42 menyatakan skop pengampunan, iaitu pengampunan, tunda hukum dan lega hukum; keanggotaan Lembaga Pengampunan serta sedikit mengenai tata kerja Lembaga Pengampunan.

Dua jenis pengampunan

Peraturan Penjara 2000 adalah undang-undang menjelaskan bagaimana permohonan atau petisyen pengampunan boleh dibuat. Ia digubal berasaskan Akta Penjara.

Pada Bahagian 11 Peraturan Penjara 2000, dengan tajuk Petisyen Dan Aduan Peraturan 113 menyatakan:

Petisyen

(1) Seseorang banduan boleh, jika dikehendakinya membuat petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang Dipertua Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan, mengenai perkara sabitan atau hukumannya, sekali dengan seberapa segera yang dapat dilaksanakan selepas sabitannya dan petisyen sedemikian yang kedua hendaklah dibenarkan apabila seseorang banduan sudah menyempurnakan tiga tahun dari tarikh sabitan dan sesudah itu petisyen sedemikian hendaklah diberikan pada lat tempoh dua tahun, melainkan jika terdapat apa-apa hal keadaan khas yang dianggap oleh pegawai yang menjaga perlu dibawa kepada pengetahuan Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang Dipertua Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(2) Seseorang banduan boleh, jika dikehendakinya membuat petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang Dipertua Negeri mengikut mana-mana yang berkenaan, mengenai apa-apa perkara lain pada bila-bila masa dengan syarat tiada petisyen boleh dibenarkan jika jawapan kepada petisyen sebelumnya mengenai perkara sama masih belum diterima.

Adalah jelas dalam peraturan ini mengenai masa untuk memfailkan petisyen pengampunan. Seseorang didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman boleh memfailkan petisyen pengampunan pada kali pertama seberapa segera selepas sabitan.

Maksudnya, sebaik sahaja didapati bersalah oleh mahkamah paling tinggi, seseorang boleh membuat petisyen pengampunan. Bagi kali kedua, petisyen boleh dibuat selepas menjalani tiga tahun hukuman dari tarikh sabitan.

Selepas mendapat keputusan pada petisyen pengampunan difailkan (setelah petisyen pengampunan ditolak atau selepas tidak berpuas hati dengan keputusan petisyen), seseorang boleh memfailkan lagi petisyen pengampunan setiap dua tahun, kecuali terdapat keadaan khas perlu dibawa kepada pengetahuan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam amalan kuasa Lembaga Pengampunan ini terbahagi kepada dua jenis pengampunan. Pertama, pengampunan untuk sabitan dan juga hukuman. Kedua, pengampunan hanya berkaitan hukuman, tidak termasuk pengampunan ke atas sabitan.

Bagi jenis pengampunan kedua ini, seseorang diberikan pengampunan tidak dibebaskan daripada sabitan (bersalah). Ia kekal seperti keputusan mahkamah. Maksudnya, dia adalah bersalah, tetapi hukumannya diampuni.

Perlembagaan tidak menyebut perkara pengampunan untuk sabitan atau hukuman. Ia menggunakan istilah 'pengampunan' sahaja. Namun, Peraturan 113 Peraturan Penjara 2000 memperkenalkan dua jenis pengampunan ini.

Peraturan 113 ini menyatakan: "(1) Seseorang banduan boleh, jika dikehendakinya, membuat petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong... mengenai perkara sabitan atau hukumannya".

Peraturan ini memperincikan istilah umum, iaitu perkataan 'pengampunan'. Jelas di sini, kuasa pengampunan bukan sekadar membabitkan hukuman, bahkan sabitan. Ini dikenali sebagai pengampunan penuh.

Lembaga Pengampunan melaksanakan kuasa pengampunan dengan cara memberi belas ihsan dan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara sebagai pemerintah memiliki kuasa sama dengan semakan kehakiman.

Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa Lembaga Pengampunan, selain memberikan pengampunan kepada sabitan atau pengampunan terhadap hukuman atau kedua-duanya sekali.

Perkara 42(1) ini menyatakan kuasa Lembaga Pengampunan untuk 'tunda hukum' dan 'lega hukum'. Tunda hukum, ringkasnya ialah hukuman dijatuhkan mahkamah, walau apa jenis hukuman, Lembaga Pengampunan boleh memberikan ihsan untuk melambatkan pelaksanaan hukum. Ia bukan mengampuni hukuman dari segi membatalkan hukuman, tetapi hukuman masih kekal, namun pelaksanaannya dibuat pada satu masa nanti.

Sementara itu, 'lega hukum' membawa maksud suatu hukum menjadi lega dengan cara diringankan. Walaupun perkataan peringanan hukum (commute) tidak digunakan, lembaga boleh meringankan hukuman dengan memberikan maksud penuh kepada 'lega hukum'.

Namun, perlu diberikan perhatian undang-undang berkaitan pengampunan di negara ini berkait rapat dengan kuasa prerogatif atau budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, tidak wajar keputusan pengampunan ini dipersoalkan oleh sesiapa.

Penulis adalah Profesor Madya Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Berita Harian X