Sabtu, 27 Januari 2024 | 1:59pm
Kontroversi kapal Melayu dalam artikel kajian The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization menjadi tular di media sosial.
Kontroversi kapal Melayu dalam artikel kajian The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization menjadi tular di media sosial.

Ikhlas perbetul fakta bukan lempar dakwaan rasis isu jong Melayu

KONTROVERSI kapal Melayu dalam artikel kajian The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization disiarkan dalam Excellence in Research for Australia (ERA) menjadi tular sejak minggu lalu apabila dicetuskan di media sosial.

Sekali membaca isu itu, saya membuat kesimpulan ia remeh atau trivial kerana sekadar persoalan ranting dan bukannya hal pokok dalam dunia akademia seperti polemik 'apakah Hang Tuah wujud atau sebaliknya' atau 'dari mana asal usulnya Melayu?' yang perbahasannya mungkin sudah selesai.

Namun sehari dua ini, beberapa kenalan pensyarah muda daripada Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) dan kenalan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menghubungi saya bertanya jika dapat memberi reaksi kepada kritikan pedas itu.

Ia memaksa saya membaca semula termasuk reaksi balas pengkritik asal, Serge Jardin terhadap jawapan pihak pengurusan UPM. Dalam reaksi itu, Jardin kekal dengan tujuan kritikan asalnya seolah-olah untuk menghukum kedua-dua pensyarah yang menulis artikel berkenaan, iaitu Dr Rozita Che Rodi dan Prof Emeritus Dr Hashim Musa.

Saya juga membaca kritikan keras ditujukan kepada jurnal menerbitkan artikel berkenaan seolah-olah sidang editornya tidak membuat penilaian dan suntingan secara cermat.

Sejujurnya, saya tidak mengenali Jardin, manakala namanya juga tidak pernah muncul dalam senarai ratusan tokoh pengkaji tamadun dan pengajian Melayu dari luar negara yang sering singgah berwacana di universiti awam (UA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Begitu juga tiga buku pernah beliau tulis seperti dilaporkan akhbar New Straits Times (NST) di platform dalam talian adalah buku popular sesuai sebagai buku panduan untuk pelancong mengunjungi Melaka, bukannya hasil kajian ilmiah.

Tiga persoalan dikemukakan

Berbalik kepada tiga persoalan dikemukakan. Pertama, gambar tersiar didakwa kapal kargo Cina Foochow, bukannya jong Melayu.

Kedua, model kapal itu mengikut Rozita terdapat di Muzium Bahari Maritim di Sunda Kelapa, Jakarta, manakala Jardin menidakkannya dengan menyatakan model itu terdapat di Royal Muzium of Greenwich, England. Jardin tidak mengetahui model kapal sama memang ada di muzium di Jakarta itu, mengikut pengesahan Rozita sendiri yang pernah berkunjung ke sana.

Ketiga ialah pertikaian berapa kali perkataan jong disebut seperti dalam Sejarah Melayu sebanyak enam kali mengikut Jardin, manakala Rozita mengemukakan bilangan lebih tepat dan jauh berganda, iaitu 83 kali dalam Hikayat Hang Tuah sahaja dan berjumlah 98 kali semuanya.

Akhirnya, kritikan agak keras ditujukan terhadap Sidang Editorial Jurnal ERA menyiarkan makalah itu, sebahagiannya sudah dijawab pengurusan UPM.

Sekali lagi saya menyuarakan pandangan sama bahawa isu ini nampaknya ilmiah tetapi sebenarnya adalah remeh atau trivial dan hanya sampingan. Saya tidak dapat membaca mengapakah ia ditularkan seolah-olah satu isu nasional besar termasuk tuduhan James Chin dari Universiti Tasmania sebagai 'percubaan menulis semula sejarah Malaysia' di bawah bumbung 'ketuanan Melayu' sesuatu yang sengaja diada-adakan, tidak berasas dan sebenarnya tuduhan melampau dan rasis.

Jika benar dan sudah dibuktikan model atau gambar itu bukan jong Melayu, sebaliknya kapal kargo Foochow dari Cina, ia sekadar perlu ditegur untuk diperbetulkan, bukannya untuk dikecam, apalagi untuk mencari publisiti murahan. Ia adalah sesuatu lumrah berlaku dalam banyak situasi seperti kesilapan tafsiran ataupun fakta dalam dunia akademia.

Sebagai contoh, saya pernah melalui dua situasi. Pertama, ketika dalam satu pembentangan seorang pelajar doktor falsafah (PhD) mengenai zaman pemerintahan Jepun. Pelajar itu membentangkan gambar Lim Bo Seng dengan pakaian tentera dan melabelkannya sebagai ketua Malayan Peoples Anti-Japanese Army (MPAJA) atau Bintang Tiga di Perak.

Sebagai guru lebih mengetahui hal itu, tugas saya hanya memperbetulkan fakta, iaitu Bo Seng ialah Ketua Kumpulan Nasional Kuomintang atau Bintang Satu di Perak, sekali gus amat berbeza dengan Bintang Tiga berfahaman komunis. Perbezaannya amat ketara sekali dan mesti diperbetulkan.

Situasi kedua berlaku dalam Parlimen sekitar 2005 atau 2006. Dalam buku teks Sejarah Tingkatan Empat mengenai zaman pemerintahan Jepun juga, ada kesilapan fakta gerakan gerila Melayu Force 136 (Wataniah) yang wujud di Pahang, tetapi tidak langsung disebut kem induknya di Hulu Perak, meskipun ia ditubuhkan sekitar enam bulan lebih awal, iaitu Disember 1944 dan satu lagi cabangnya di Kedah. Saya turut memberi bahan rujukan sekali untuk membantu penulis buku Sejarah Malaysia itu.

Teguran itu diterima baik oleh Kementerian Pendidikan (KPM), manakala fakta baharu dimasukkan dalam buku teks edisi terbaharu, tanpa kita perlu mencari kesalahan atau membuat tuduhan penyelewengan fakta terhadap sesiapa pun.

Saya merujuk kepada kedua-dua kes itu sebagai contoh bahawa dalam kajian ilmiah yang semakin rancak berkembang khususnya mengenai sejarah tamadun di alam Melayu, tentunya akan ada kesilapan fakta atau kesalahan tafsirannya di sana-sini.

Tugas kita bersama khususnya ilmuwan generasi penyelidik muda adalah berbahas, menyelidik atau berwacana untuk mencari kebenaran serta kata sepakat, di samping mengatasi segala kelemahan serta kekurangan sedia ada.

Apa ditinggalkan sarjana dan orientalis adalah daripada perspektif serta kaca mata mereka, sekali gus jauh daripada lengkap dan sempurna. Tugas kita bersamalah untuk mengatasi segala kekurangan ini, iaitu suatu kerja agak berat dan semakin mencabar.

Penulis adalah Presiden Persatuan Melayu Polinesia Sedunia dan Profesor Emeritus Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X