Selasa, 9 Januari 2024 | 11:31am
Mahasiswa perlu diberikan lebih banyak kepercayaan supaya mereka memahami dan menginsafi tanggungjawab amat besar, bukan sekadar menghadiri kuliah. - Foto hiasan
Mahasiswa perlu diberikan lebih banyak kepercayaan supaya mereka memahami dan menginsafi tanggungjawab amat besar, bukan sekadar menghadiri kuliah. - Foto hiasan

Bertindak segera ke arah lahirkan mahasiswa berdisiplin, berkualiti

BARU-BARU ini institusi pendidikan tinggi (IPT) dicabar mengemukakan idea baharu untuk melahirkan mahasiswa berdisiplin dan berkualiti tinggi. Melalui Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemimpin IPT memberi perhatian utama dalam soal menentukan dasar dan pendekatan segar bagi melonjakkan lagi sumbangan sektor pendidikan tinggi kepada negara.

Tidak dinafikan, mahasiswa akan bergelar graduan selepas menamatkan pengajian adalah unit analisis utama dalam menentukan keberkesanan pendidikan yang mereka peroleh di kampus. Hal ini disebabkan jumlah mereka yang ramai dan menjadi nadi kepada kelangsungan sesebuah universiti khususnya IPT swasta (IPTS).

Tahap kebolehpasaran graduan menjadi antara petunjuk utama kualiti dan kemenjadian pelajar. Malah, ia juga menggambarkan prestasi sesebuah IPT menjana graduan unggul dan berkualiti tinggi. Kini ciri kualiti graduan dihasilkan diukur dengan petunjuk baharu melalui gaji premium, iaitu RM4,000 sebulan.

Kemenjadian mahasiswa berdisiplin dan berkualiti tinggi sering dikaitkan dengan mutu pengajian akademik ditawarkan dan bagaimana peranan universiti menyediakan kandungan kursus yang baik serta memenuhi kehendak pasaran.

Ia bukan lagi rahsia apabila universiti perlu mendapatkan pandangan industri supaya silibus program akademik sentiasa relevan dengan keperluan pasaran semasa.

Bagaimanapun, idea utama ke arah kemenjadian mahasiswa berdisiplin dan berkualiti tinggi seperti ditegaskan Perdana Menteri mesti bertitik-tolak daripada dasar dan pendekatan tepat, holistik dan seimbang. Lebih-lebih lagi mahasiswa bukan suatu komoditi tetapi bakat penting dipupuk untuk kepentingan negara.

Kembang potensi mahasiswa

Pertama, ia perlu berpandukan kepada matlamat pendidikan sebenar, bukan sahaja menyasarkan mahasiswa atau graduan sebagai tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, tetapi seorang warganegara yang baik.

Hal ini seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan mahu memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Inilah sebenarnya acuan sendiri yang dapat menjayakan kemenjadian mahasiswa yang berdisiplin dan berkualiti tinggi.

Kedua, seseorang mahasiswa yang hendak dipupuk menjadi seorang warganegara baik mesti menguasai tiga perkara penting, iaitu ilmu, nilai dan kemahiran. Kesepaduan ilmu, nilai dan kemahiran ini akan menjana graduan unggul seperti dihasratkan.

Sebagai contoh, penguasaan mahasiswa dalam ilmu dan kemahiran tanpa nilai akan mewujudkan situasi dinamakan kecemerlangan tanpa jiwa seperti disebut Perdana Menteri.

Pengukuhan nilai integriti dalam kalangan mahasiswa bersandarkan kefahaman agama dan etika akan menjadikan mereka insan mempunyai kompas moral sekali gus dapat membezakan kebenaran dan kebatilan.

Nilai integriti bukan hanya perlu ada pada kumpulan tertentu seperti pemimpin tetapi mesti dimiliki mahasiswa selaku pemimpin negara pada masa akan datang. Ini bertepatan dengan pandangan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mahu melihat mahasiswa mempunyai 'otak dan watak'.

Ketiga, dalam usaha mencanai mahasiswa dengan ilmu, nilai dan kemahiran, ia memerlukan pendekatan holistik. Proses pendidikan tidak semestinya tertumpu kepada pendidikan formal melalui kurikulum, sebaliknya boleh dijayakan melalui pendidikan tidak formal melalui kokurikulum dalam aktiviti berpersatuan dan kelab serta pendidikan tidak formal melalui interaksi sosial dan komunikasi.

Ini bermakna pendidikan ke arah kemenjadian mahasiswa berdisiplin dan berkualiti tinggi mesti melangkaui luar bilik kuliah.

Keempat, kemenjadian mahasiswa boleh disokong dengan penerusan agenda pemerkasaan mahasiswa. Agenda ini ditandai dengan memberikan lebih banyak tanggungjawab dan kebebasan kepada mahasiswa dalam konteks kebebasan berpolitik, kebebasan bersuara dan pengurusan kewangan dipertanggungjawabkan.

Mahasiswa perlu diberikan lebih banyak kepercayaan supaya mereka memahami dan menginsafi tanggungjawab amat besar, bukan sekadar menghadiri kuliah.

Bacaan kedua dan ketiga pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dijadualkan berlangsung dalam sesi parlimen akan datang, iaitu mahu memberikan kebebasan kepada mahasiswa menguruskan kewangan, dijangka menjadi satu cabaran utama penentuan pengamalan nilai integriti dalam kalangan mereka. Ini akan menguji sejauh mana pemakaian nilai integriti mahasiswa di kampus.

Kelima, kemenjadian mahasiswa juga dibantu dengan pembentukan minda global dan celik kepelbagaian budaya untuk kepentingan negara. Dalam hal ini, mahasiswa dijana IPT mesti bersedia menjadi pemain global dan bukan terhenti bakatnya dalam negara.

Justeru, mereka harus diberi peluang mendapatkan pendedahan antarabangsa melalui program mobiliti dan persidangan di luar negara supaya berfikiran global dan bertindak lokal. Peluang sebegini wajar diperluaskan kepada lebih ramai mahasiswa supaya suara anak muda dapat dimartabatkan di seantero dunia.

Ini juga boleh mengangkat peranan mahasiswa khususnya dan pendidikan tinggi amnya menjadi kuasa tambatan hati yang sekali gus menonjolkan peranan kritikal Malaysia dalam diplomasi antarabangsa.

Secara tuntas, kemenjadian mahasiswa berdisiplin dan berkualiti tinggi seperti dibincangkan dalam Wacana Strategi KPT baru-baru ini perlu dilaksanakan melalui dasar dan pendekatan tepat, holistik dan seimbang. Ia mesti menggapai ke awan tetapi mengakar ke bumi. Kita tidak mempunyai banyak masa, kita perlu bingkas.

Penulis adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Berita Harian X