Sabtu, 16 Disember 2023 | 9:10am

Perkukuh perundangan syariah, pastikan keadilan dirasai semua

SEJARAH banyak memaparkan kedudukan Islam dan perundangannya dalam negara kita. Ia bermula dengan kedatangan dan keagungan Islam serta perundangan ketika kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, ketika penjajahan dan pentadbiran asing hingga merdeka dan selepasnya.

Jelas dan tidak dapat disangkal lagi, sejarah membuktikan Islam adalah agama bagi tanah air ini dan perundangan Islam bukan undang-undang asing, bahkan undang-undang negara.

Ketika pentadbiran British, hal ehwal Islam dan perundangan serta 'kembarnya', iaitu adat Melayu diletakkan di bawah payung Raja-Raja Melayu dan seterusnya, selepas merdeka, Perlembagaan mengisytiharkan Islam sebagai agama bagi Tanah Melayu yang kemudian, Malaysia.

Sementara itu, hal ehwal Islam, termasuk pentadbiran Islam secara umum, undang-undang dan pentadbiran keadilan serta pendidikan Islam adalah di bawah kuasa dan bidang kuasa negeri dipayungi Raja-Raja Melayu.

Dengan kata lain, Islam tertakluk kepada kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja serta dilaksanakan kerajaan negeri dan agensi Islam pada peringkat negeri.

Namun, pada peringkat jawatankuasa kerja mengkaji draf Perlembagaan digubal Suruhanjaya Reid, satu institusi dicadangkan untuk ditubuhkan bagi memudahkan urusan menguruskan Islam yang berada umumnya pada peringkat negeri.

Justeru, dengan perkenan Majlis Raja-Raja dan usaha kerajaan pada ketika itu, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ditubuhkan dengan ditetapkan bidang atau perkara perlu dibuat bagi manfaat Islam.

Sementara itu, Perlembagaan juga menetapkan beberapa perkara berkaitan Islam, terutama perundangan Islam boleh atau hendaklah dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.

Timbul beberapa persoalan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam memahami dan mengimbangi pembahagian kuasa perundangan, mahupun kuasa pentadbiran.

Perkara sebegini menjadi sensitif dalam negara Persekutuan kerana membabitkan hak dan kepentingan serta maruah negeri membentuk Persekutuan.

Ia juga sensitif kerana membabitkan Islam, syariah (undang-undang Islam) dan syiarnya. Sensitif bermaksud perkara ini boleh mendatangkan impak dalam masyarakat, sama ada positif atau negatif dan mungkin juga termasuk sentimen politik pentadbiran serta politik kepartian juga.

Natijahnya, perkara seperti ini pastinya memberi kesan mendalam kepada keutuhan sebuah Persekutuan.

Berkaitan kedudukan Islam dan urusan atau hal ehwalnya, termasuk hal ehwal perundangan dan pentadbiran keadilan, banyak perkara menjadi isu besar.

● Pertama, dalam hal undang-undang perkara penting menjadi isu ialah keseragaman undang-undang. Sebagai negara Persekutuan, undang-undang Islam, termasuk fatwa berbeza-beza antara negeri boleh menimbulkan kesukaran dalam pelaksanaannya.

Kesukaran dapat keseragaman

Dalam konteks pentadbiran keadilan, kesukaran juga berlaku dalam hal pelaksanaan keputusan kehakiman. Walaupun sukar mendapatkan keseragaman, usaha murni banyak dilakukan agensi persekutuan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi Islam pada peringkat negeri, seperti majlis agama Islam dan jabatan agama Islam.

Usaha ini perlu diteruskan demi keharmonian undang-undang yang menjadi faktor utama mencapai keadilan dapat dilihat dan dirasai seluruh warga Malaysia.

● Kedua, dalam hal prosiding di mahkamah. Pada awal dahulu, keputusan mahkamah syariah boleh dirayu di mahkamah pada peringkat Persekutuan.

Ini diselesaikan dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan dengan menegaskan bidang kuasa mahkamah syariah. Pindaan berkesan bermula 10 Jun 1988 itu menjelaskan tahap bidang kuasa mahkamah termasuk mahkamah syariah. Terdapat beberapa kesan lain akibat pindaan 1988 ini yang perlukan penulisan lain.

● Ketiga, berkaitan undang-undang mengenai hukuman bagi kesalahan syariah. Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang kesalahan syariah seperti diperuntukkan dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Namun, hukuman boleh diletakkan DUN di bawah kuasa dan bidang kuasa mahkamah syariah tertakluk kepada undang-undang Persekutuan atau akta.

Dengan kata lain, kuasa 'autonomi' DUN dalam hal berkaitan perundangan syariah bukan mutlak. DUN masih tertakluk kepada Parlimen atau undang-undang persekutuan digubal Parlimen.

Ini jelas dalam frasa mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan: 'Kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang Persekutuan.'

Justeru, sekitar 2014 hingga 2018 terdapat usaha meminda akta berkaitan, setelah pindaan terakhir pada 1984, iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Usaha pindaan ini pastinya bertujuan memperkukuhkan undang-undang syariah dengan cara membolehkan mahkamah syariah menjatuhkan hukuman lebih berat.

● Keempat, perkembangan mutakhir dalam bidang perundangan ialah kuasa DUN untuk menggubal undang-undang bagi kesalahan berkaitan perintah agama Islam membabitkan orang Islam.

Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes di Selangor memberikan impak baharu ke atas kuasa DUN. Ringkasnya, Mahkamah Persekutuan memutuskan DUN tidak mempunyai bidang kuasa menggubal undang-undang bagi kesalahan berkaitan perintah agama Islam dan membabitkan orang Islam dalam perkara termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Pada masa ini terdapat permohonan untuk membatalkan undang-undang negeri atau kesalahan dalam enakmen negeri atas sebab DUN menggubal undang-undang dalam perkara termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Pembahagian kuasa perundangan antara kerajaan Persekutuan dengan negeri pada dasarnya nampak jelas dalam Perlembagaan tetapi ia bukan komprehensif kepada negeri.

Terdapat perkara boleh ditetapkan badan perundangan Persekutuan. Contohnya, Butiran 4(k) Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan menyatakan kuasa perundangan Persekutuan, iaitu 'penentuan hukum syarak dan undang-undang diri yang lain bagi maksud undang-undang Persekutuan,'

Apabila Parlimen menggubal undang-undang, badan perundangan ini dapat menentukan hukum syarak dan undang-undang diri bagi tujuan undang-undang digubal.

Butiran ini belum ditafsirkan mahkamah, namun ia menampilkan beberapa perkara atau menyebabkan timbul beberapa persoalan.

Antara persoalan utama ialah apakah niat peruntukan ini? Adakah niatnya supaya dalam menggubal undang-undang, Parlimen perlu menetapkan undang-undang berkenaan menepati hukum syarak dan menghormati undang-undang diri orang Islam? Apakah maksud frasa 'undang-undang diri yang lain'?

Persoalan seterusnya butiran ini adalah sejauh manakah kuasa Parlimen dalam menentukan hal berkaitan hukum syarak dan bagaimanakah Parlimen boleh menentukan hukum syarak berkenaan?

Adakah dengan cara merujuk kepada pihak berautoriti dalam hal hukum syarak seperti mufti atau orang lain berwibawa?

Beberapa persoalan lain mungkin timbul daripada butiran ini, namun apa yang jelas daripada pernyataan dalam Butiran 4(k) ini, Perlembagaan membolehkan (atau menghendaki) Parlimen menentukan hukum syarak dan undang-undang diri dalam menggubal undang-undang persekutuan atau akta.

Justeru, butiran ini perlu digembleng dengan sewajarnya bagi memberikan keadilan kepada kedudukan hukum syarak atau perundangan Islam dalam undang-undang pada peringkat Persekutuan.

Penulis adalah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Berita Harian X