Jumaat, 4 Ogos 2023 | 9:47am
Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri di Masjid Putra, Putrajaya, 26 Mei lalu. - Foto BERNAMA
Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri di Masjid Putra, Putrajaya, 26 Mei lalu. - Foto BERNAMA

Wacana Islam lebih luas daripada politik, ambil alih kerajaan

PENGANJURAN Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menampilkan ramai ulama besar tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan polemik agama di media sosial sebenarnya memberikan isyarat wacana Islam di negara ini lebih luas daripada apa difahami umum.

Arus kesedaran Islam di negara ini lebih dilihat dalam kerangka politik, bahkan dalam had ditetapkan kepada parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau dalam lingo aktivisnya, antara 'harakah' dengan 'jamaah'.

Misalnya bagi penggiat PAS, parti itu ditakrifkan harakah atau gerakan Islam, manakala jamaah pula seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM) atau asalnya Islamic Representative Council (IRC) melahirkan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), bahkan Tabligh pun termasuk sekali.

Kedudukan harakah dan jamaah boleh berubah sekiranya dilihat dari perspektif pihak lain, misalnya ABIM dan IRC, malah lebih kompleks lagi jika dikaitkan sejarah menumbuhkan apa didefinisikan sebagai Islamisme.

Islamisme boleh difahami sebagai fikrah atau ideologi mengembalikan kedudukan Islam dan umatnya seperti era sebelum kejatuhan Khalifah Turki Uthmaniyah atau lebih tepat lagi zaman kegemilangan Islam terutama tiga abad pertama atau salafussoleh dengan menggunakan mekanisme aktivisme sosial dan politik.

Diakui istilah Islamisme agak kontroversi dan cenderung ditolak terutama parti Islam kerana dikaitkan agenda orientalisme atau pemikir Muslim moden, tetapi umumnya ia merujuk fenomena tindak balas umat Islam terhadap modenisme dan imperialisme Barat sekitar permulaan abad ke-20 ditandai antara lain gerakan Islah di bawah Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Redha serta Ikhwan al-Muslimun diasaskan Hassan al-Banna di Mesir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) mengiringi Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Syeikh Dr Ekrima Sabri pada Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, 18 Jun lalu. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) mengiringi Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Syeikh Dr Ekrima Sabri pada Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, 18 Jun lalu. - Foto BERNAMA

Semangat Islah atau modenis Islam dibawa aktivis dari Afrika Utara ke Arab Saudi yang ketika itu baru menjadi negara baharu dan mengalami asimilasi dengan ulama aliran Wahabi kelak mensintesiskan idea Salafi atau Salafiyah, lalu disebarkan ke seluruh dunia.

Ikhwan al-Muslimun memberi kesan besar terutama di wilayah Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) seperti Jordan serta Syria dan menjadi 'ibu' banyak parti Islam seperti Ennahda, Tunisia; Parti Keadilan dan Pembangunan Islam (PJD), Maghribi; Parti Islah, Yaman dan Gerakan Perlembagaan Islam (ICM), Kuwait.

Kedua-dua gerakan atau pemikiran ini mengalami titik persilangan ketika Ikhwan al-Muslimun ditekan di bawah rejim Presiden Gamal Abdel Nasser hingga ramai aktivisnya lari ke Arab Saudi yang ketika itu membuka pintu bukan sahaja demi kepentingan geopolitik serantau, bahkan memerlukan kepakaran profesional.

Dalam banyak keadaan Ikhwan al-Muslimun dan parti Islamis tidak bermasalah dengan golongan Salafi, tetapi hubungan itu berubah pada alaf baharu ini antara lain disebabkan gerakan al-Sahwa al-Islamiyah kritikal kepada kerajaan Arab Saudi serta Revolusi Arab apabila Salafi mula menubuhkan parti politik sendiri.

Malaysia atau Tanah Melayu lebih tepat, tidak terlepas daripada menerima kesan daripada gerakan tindak balas umat Islam kepada penjajahan kerana negara ini sendiri dijajah British, manakala tiupan semangat nasionalisme mula mencabar kuasa imperialisme pada awal abad ke-20 itu.

Bermula Kaum Muda, Hizbul Muslimin, Bahagian Agama UMNO dan PAS sebelum merdeka, kemudian muncul ABIM mengisi ruang kosong ditinggalkan PAS ketika dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 1970-an, Revolusi Iran, rampasan Masjidil Haram oleh golongan pelampau dan Perang Soviet di Afghanistan serta kepulangan pelajar Malaysia dalam bidang profesional dari luar negara membawa pulang semangat Islam, semuanya bergerak dalam kerangka politik dan aktivisme berbentuk sosioekonomi.

Kesedaran Islam melalui jalan politik

Ini menjadikan sorotan kesedaran Islam di negara ini lebih dilihat dengan politik atau kegiatan sosial, sekali gus menjadi 'padang' subur kepada PAS yang menguasainya kerana tiada alternatif dapat menyainginya.

Seolah-olah di luar politik, Islam tidak dilihat faktor signifikan atau hanya menjadi latar belakang dan bukan pemacu sebenar perubahan. Tidak hairanlah, konsep 'kembali kepada Islam', 'membangun bersama Islam' atau 'melaksanakan Islam' hanya dapat dizahirkan melalui jalan politik, iaitu memenangi pilihan raya serta menjadi kerajaan.

Hakikatnya, wacana Islam lebih luas daripada lingkungan politik, bahkan perubahan sebenar tidak dipacu parti politik atau aliran Islamis dan Salafi, sebaliknya majoriti umat Islam tidak berada dalam kedua-dua subset berkenaan kecuali secara tentatif atau sementara dan hanya disebabkan tiada alternatif terutama dalam konteks pilihan raya.

Hal ini menjawab mengapa lebih 18,000 umat Islam menghadiri Majlis Ilmu MADANI Bersama Perdana Menteri menampilkan bekas Mufti Agung Mesir, Sheikh Prof Dr Ali Juma'ah serta Pengasas dan Pengetua Dar Al Mustofa di Tarim, Habib Umar Hafidz, tetapi parti mewakili Kerajaan Perpaduan masih goyah mendapatkan undi orang Melayu-Islam.

Ini kerana arus kesedaran Islam lebih dilihat dalam kaca mata politik hingga sebarang penyelesaian disesuaikan dengan kefahaman itu, manakala pemimpin politik baik kerajaan mahupun pembangkang lebih dipengaruhi dengan idea sama ada berasaskan pandangan alam golongan Islamis atau Salafi.

Justeru, pertembungan politik di Kelantan misalnya antara Perikatan Nasional (PN) dikuasai PAS dengan calon UMNO, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam medan pilihan raya yang Islam, ditentukan siapa paling banyak dilihat melaksanakannya secara politik.

Dalam hal ini, sudah tentu PAS menguasai kempen itu berdasarkan kehadirannya mewakili 'politik Islam' sekian lama, berbanding UMNO banyak 'tercedera' dalam pergelutan politik dengan parti itu terutama di Kelantan sejak merdeka hingga dekad pertama 2000; PKR lebih dilihat dari aspek liberal dan hak asasi dan AMANAH disertai bekas pimpinan PAS dan golongan Islamis daripada IKRAM dengan lain perkataan hanya bertukar baju, tapi pandangan alam tetap sama.

Anwar mungkin menyedari realiti sebenar umat Islam di negara ini sebenarnya bukan diwakili golongan Islamis-Salafi berdasarkan kekerapan menyantuni ulama daripada tradisi ASWJ seperti Sheikh Ali Juma'ah dan Habib Umar serta ulama sinonim dengan tarikat serta tasawuf, tetapi soalnya apakah kefahaman itu dikongsi pemimpin lain, terutama AMANAH di negeri Melayu tradisi seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu?

Selagi wacana Islam sama ada dalam atau luar kempen PRN masih lagi dilihat daripada kaca mata aliran subset ini, kita bukan sahaja akan melihat PAS bersama PN akan muncul sebagai pemenang, bahkan umum juga tidak didedahkan dengan hakikat Islam lebih besar daripada ruang lingkup politik atau soal mengambil alih kerajaan.

Pada masa sama, majoriti umat Islam di negara ini sama ada mengundi berdasarkan 'siapa paling lama bercakap mengenai Islam atau kurang mudarat' atau berpendirian politik bukan alat perubahan hingga menjauhi sebarang kaitan termasuk pilihan raya.

Penulis adalah Pengarang Berita (Rencana) BH

Berita Harian X