Rabu, 26 Julai 2023 | 9:31am
Menguruskan isu sentimen dan 3R ini adalah tanggungjawab bersama. - Foto hiasan
Menguruskan isu sentimen dan 3R ini adalah tanggungjawab bersama. - Foto hiasan

3R nadi masa depan negara wajar dipertahankan bersama

SETIAP kali muncul pilihan raya di Malaysia, isu terikat dengan sentimen dan emosi kerap ditiup pemimpin politik ketika berkempen untuk menarik sokongan pengundi. Walaupun dikatakan semakin hari kadar celik politik meningkat, segelintir pemimpin politik masih kerap menggunakannya sebagai senjata pada waktu kempen pilihan raya.

Artikel 10 Perlembagaan jelas mempertahankan hak warganegara untuk bertutur dan mengungkap apa sahaja, tetapi ia perlu ditapis dengan rasa tanggungjawab tanpa mengatasi peraturan atau undang-undang sehingga boleh mengancam keharmonian masyarakat.

Propaganda dan provokasi berlebihan dengan menggunakan isu 3R (Raja, kaum dan agama) ini ketika kempen pilihan raya tidak boleh dibenarkan. Sehingga kini, wujud beberapa undang-undang untuk berhadapan dengan isu 3R, namun sejauh mana keberkesanannya, masih sukar diperjelaskan.

Undang-undang seperti Kanun Keseksaan (Akta 574); Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Hasutan 1948 (Akta 15) kerap dijadikan nota kaki atau rujukan, namun merebaknya isu ini sepantas kilat menyebabkan ketenteraman awam boleh tergugat.

Kompas moral seolah-olah tidak berada pada kedudukannya. Perilaku dan karakter tertentu mengguna pakai kelonggaran sedia ada sama ada untuk memperlekehkan undang-undang atau menggunakan ungkapan 'memohon maaf' untuk menyelamatkan diri.

Hakikatnya, permohonan maaf bukan penyelesaiannya. Sudah tiba masanya tindakan keras diambil untuk memastikan ia menjadi pengajaran dan rujukan.

Alam maya menjadi lokasi utama kini, termasuk penggunaan telapak seperti YouTube, Facebook, Instagram, TikTok, Twitter dan WhatsApp untuk menyalur maklumat yang adakala keterlaluan; palsu dan menyemarakkan perasaan benci, melabel dan prejudis.

Media sosial menjadi alat penyebaran maklumat utama kepada pelbagai kumpulan sasar. Walaupun elemen seperti penyebaran berita palsu sudah wujud sekian lama, apa yang berubah adalah dari segi kandungannya.

Jika dahulu ada surat layang dan khabar angin, hari ini penyampaian dan pengisiannya disesuaikan dengan landskap politik, ekonomi dan sosial semasa.

Mungkin sudah sampai masa undang-undang baharu diwujudkan untuk memastikan dalam menjamin kebebasan bersuara, berkumpul dan berorganisasi, setiap individu menamakan dirinya sebagai warga Malaysia wajar mempertahankan kebebasannya dengan penuh tanggungjawab.

Dalam kedudukan dengan sikap melampau melakukan provokasi, adakah peningkatan literasi dalam hal ehwal kenegaraan tidak dilengkapi dengan pemahaman ke atas isu sensitif, lazimnya menjadi sentimen dan pergelutan emosi pengundi.

Menguruskan isu sentimen dan 3R ini adalah tanggungjawab bersama. Ia bukan sekadar dikategorikan sebagai kesalahan jenayah, tetapi bagaimana untuk membina naratif menolak ia terbawa-bawa dalam kancah arena politik atau digunakan sebagai bahan untuk meraih sokongan, pada masa sama memberi kesan negatif terhadap hubungan antara agama dan kaum di negara ini.

Tak perlu heret istana dalam kancah politik

Payung ke atas keseluruhan struktur dan institusi kerajaan adalah Raja Melayu yang menjadi 'pelindung'. Apakah wajar Raja diheret sama dalam kancah pergelutan kuasa dan kedudukan sedangkan apabila berhadapan dengan krisis, istana dicari untuk menyelesaikan masalah kenegaraan, kepemimpinan dan politik kepartian.

Amalan kita adalah 'Raja Berperlembagaan' dan perlu dihindar daripada mengheret istana dalam penjenamaan politik.

Kesedaran mengenai peri pentingnya isu ini tidak dimomokkan memerlukan komitmen dan tanggungjawab dalam kalangan masyarakat secara menyeluruh.

Walaupun ada sebahagian masyarakat tidak selesa dan sering menunjukkan rasa benci kepada negara ini sehingga memilih untuk keluar dari Malaysia, itu adalah satu pilihan.

Namun, biarpun keluar dari negara ini, tidak mungkin kita dapat keluarkan Malaysia dari diri kita kerana 'kita adalah Malaysia dan Malaysia adalah kita'. Keunikannya adalah kemajmukan dianggap sebagai aset bukan liabiliti, dirai dalam kepelbagaian demografi dan geografi.

Isu Raja, kaum dan agama mesti dipertahankan serta diberikan perlindungan melangkaui kepentingan politik ketika pilihan raya. Pilihan raya datang dan pergi, tetapi kita tidak boleh hidup bersama dengan perasaan syak wasangka, membenci antara satu sama lain. Ia memerlukan rasa faham, hormat dan menerima, menitip rasa kepunyaan dan perkongsian ke arah politik matang berhemah lagi bermoral.

Merancang untuk menang bukan sekadar untuk berdepan pilihan raya, tetapi untuk mencapai 'kemenangan hidup bersama', muhibah, aman dan tenteram serta bahagia.

Peristiwa silam perlu dijadikan pengajaran supaya negara ini tidak tergugat angkara kerakusan sesetengah pihak ketawa melihat kita bersengketa dan bermusuh.

Politik memerlukan idea dan pemikiran baharu. Pemimpin wajar bertanggungjawab. Anasir mengancam dan membawa kepada perbalahan perlu ditolak. Ia hanya dapat dilakukan dengan saringan diri sendiri dan kawalan perundangan jelas serta pemantauan berterusan.

Isu 3R yang saban hari menjadi tumpuan adalah satu kekuatan dalam Perlembagaan bagi menjamin semua pihak dan memastikan kesepaduan, penyatupaduan dalam bingkai kerencaman.

Raja, kaum dan agama adalah nadi kepada masa depan negara ini. Nilai kesederhanaan dan jiwa menghormati perbezaan akan menggali persamaan, walaupun terpisah dek fahaman politik.

Berjiwa besar sebagai pemimpin budiman sangat dituntut, selain memiliki akal budi tinggi, berbudi ketika berbicara, berbahasa dan pekerti.

Inilah khazanah untuk kesinambungan warisan kepemimpinan tanpa sama sekali menjejas reputasi, kredibiliti dan kewibawaan masing-masing.

Politik hari ini sudah menjadi seperti candu dengan ketagihan terhadapnya menyebabkan orang politik sanggup menggunakan apa sahaja pendekatan atau isu supaya dapat mencapai kemenangan.

Namun, politik sepatutnya mampu memberi maksud dan makna kepada pencarian masa depan yang lebih baik untuk generasi hari ini dan akan datang.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X