Selasa, 18 Julai 2023 | 12:58pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pemberian elaun tanda majikan prihatin keperluan pelatih industri

Polemik mengenai pembayaran elaun kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) menjalani latihan industri atau praktikal ternyata menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bermula dengan tindakan seorang penuntut IPT membuat hantaran di media sosial meluahkan kebimbangannya untuk menjalani latihan industri sama ada berhak atau tidak mendapat elaun, akhirnya Putrajaya membuat keputusan drastik.

Sebelum ini, ada cadangan jumlah elaun pelajar latihan industri sekitar RM600 hingga RM800 bagi kawasan luar bandar, dan RM800 hingga RM1,000 untuk kawasan bandar.

Isu berbangkit adalah jika elaun latihan praktikal tidak diberikan, pelajar akan berasa tertekan dan berada dalam dilema di antara tuntutan bergraduasi dan hak meneruskan kelangsungan hidup di luar kampus.

Memandangkan pemberian elaun ini akan meningkatkan kos buruh sesebuah syarikat, kewajipan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai peneraju pelaksanaan dasar ini adalah permulaan wajar.

Diharapkan pelaksanaan pemberian elaun perantisan GLC ini dapat diteladani syarikat swasta lain yang bersaiz besar, kecil dan sederhana.

Pemberian elaun perantisan dalam kalangan GLC akan menarik minat lebih ramai pelajar menjalani latihan industri di syarikat berkenaan. Maka GLC terbabit perlu membuat tapisan memilih pelajar berpotensi menjalani latihan berdasarkan kuota ditetapkan.

Ada pelajar melihat latihan industri bukan sekadar syarat untuk bergraduasi, tetapi lebih daripada itu. Latihan industri juga dilihat sebagai suatu platform perancangan kerjaya.

Pelajar sedang menjalani latihan praktikal pasti mengharapkan mereka dapat diserap masuk sebagai pekerja sepenuh masa di dalam organisasi tempat mereka menjalani latihan industri selepas tamat pengajian.

Ini kerana mereka sudah meletakkan 'sebelah kaki' ke dalam pasaran kerja sebenar. Latihan industri adalah jambatan menyerlahkan potensi diri sebelum majikan menyerap pelajar untuk terus bekerja.

GLC perlu peka

Oleh demikian, tempat latihan industri adalah penting dan bukan sekadar 'tangkap muat'. Namun begitu, syarikat kukuh dan besar seperti GLC serta syarikat multinasional (MNC) kebanyakannya terletak di kawasan bandar atau pinggir bandar.

Maka elaun latihan industri diberikan kepada penuntut sedikit sebanyak membolehkan mereka bertahan untuk menampung kos hidup di bandar, lebih-lebih lagi Lembah Klang dan tanda sifat ihsan sebagai majikan.

GLC perlu peka ada pelajar perlu berhijrah ke bandar dan terpaksa menyewa bilik sepanjang menjalani latihan industri. Lantaran itu, wang diperoleh daripada pinjaman pendidikan atau biasiswa hanya dapat bertahan dalam tempoh singkat.

Maka elaun perantisan daripada syarikat amat perlu untuk pelajar menampung kos hidup seperti perjalanan, penginapan, makan, teknologi maklumat dan komunikasi, serta kos luar jangka.

Namun, jumlah minimum elaun RM800 ini sebenarnya boleh dianggap sekadar 'cukup makan' bagi menjamin kelangsungan hidup penuntut tinggal di bandar serta tidak tinggal bersama keluarga.

Bagi kawasan Lembah Klang, ada segelintir pelajar memerlukan sekitar RM30 hingga RM50 sehari untuk perbelanjaan makan dan pengangkutan harian.

Aktiviti harian mereka juga seperti orang bekerja walaupun mereka bukan pekerja. Kos menjalani latihan industri di luar kampus jauh berbeza dengan kos menghadiri kuliah. Maka pelajar latihan industri perlu bijak menguruskan wang di tangan.

Pemberian elaun ini diharapkan dapat memberi sedikit kelegaan dan meringankan beban pelajar untuk menjalani latihan industri terutama di kawasan bandar.

Ini dapat mengelakkan pelajar mengharuni dua tekanan, iaitu tekanan kerja ketika di tempat latihan ditambah dengan tekanan kos sara hidup tinggi terutamanya pelajar kurang berkemampuan.

Dalam hal ini, elaun perantisan diterima penuntut ini boleh membantu mereka fokus kepada menjalani latihan industri tanpa perlu mengikat perut atau merempat mencari tempat menginap.

Apa yang penting, jumlah elaun perantisan minimum kepada pelajar latihan industri pada kadar RM800 sebulan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan selaras dengan konsep Malaysia MADANI.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya

Berita Harian X