Ahad, 16 Julai 2023 | 9:30am
Kos kehidupan, sama ada kos untuk menyara kelangsungan hidup semakin meningkat akibat peningkatan harga barangan dan perkhidmatan asas, mahupun kos gaya hidup, semakin meningkat akibat corak perbelanjaan dan tahap kehidupan berubah, menjadikan rakyat derita ketika ini. - Foto hiasan
Kos kehidupan, sama ada kos untuk menyara kelangsungan hidup semakin meningkat akibat peningkatan harga barangan dan perkhidmatan asas, mahupun kos gaya hidup, semakin meningkat akibat corak perbelanjaan dan tahap kehidupan berubah, menjadikan rakyat derita ketika ini. - Foto hiasan

Kerajaan perlu pendekatan tuntas urus kenaikan kos sara hidup

TIDAK lama lagi, Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan berlangsung. Tidak dapat dinafikan, isu utama akan dimainkan, sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang adalah berkaitan soal ekonomi. Dua isu berkait adalah berkenaan isu hutang negara dan kos kehidupan.

Kos kehidupan, sama ada kos untuk menyara kelangsungan hidup semakin meningkat akibat peningkatan harga barangan dan perkhidmatan asas, mahupun kos gaya hidup, semakin meningkat akibat corak perbelanjaan dan tahap kehidupan berubah, menjadikan rakyat derita ketika ini.

Ia ditambah lagi dengan pendapatan tidak meningkat, upah dan gaji merosot, sistem perlindungan sosial tidak mencukupi, hutang isi rumah masih tinggi, kadar kemiskinan masih serius, serta peningkatan harga perkhidmatan asas dalam kehidupan, seperti pendidikan, perubatan serta perumahan.

Pasca pandemik COVID-19, masih ramai peniaga belum pulih sepenuhnya daripada 'parut ekonomi' akibat pandemik terutama penggiat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Peluang perniagaan dan pekerjaan semakin hari semakin suram.

Graduan terpaksa menyorok ijazah mereka untuk mencari pekerjaan memerlukan kelulusan SPM ataupun diploma. Ini bukan disebabkan graduan ini tidak ada kemahiran khas, tidak mahir berbahasa Inggeris atau memilih kerja, tetapi hakikatnya, penciptaan pekerjaan setaraf dengan kelayakan mereka sangat sedikit di pasaran.

Kejatuhan nilai ringgit ketika ini pula mengeruhkan lagi keadaan dengan peningkatan kos kehidupan rakyat. Baru-baru ini, Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan. Namun, bagaimana jika ia dinaikkan pada keputusan monetari akan datang?

Tidak dinafikan, kerajaan menyedari kesengsaraan rakyat ini. Pelbagai program, inisiatif dan bantuan diberikan, seperti memperkenalkan Konsep Payung Rahmah, program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan usaha menoktahkan miskin tegar.

Begitu juga di bawah Belanjawan 2023, pelbagai bentuk bantuan, terutama secara langsung dan subsidi diberikan kepada golongan memerlukan, pemotongan kadar cukai kepada golongan M40 dan banyak lagi ikhtiar diletakkan untuk meminimumkan beban sara hidup.

Pada masa hadapan, kerajaan bercadang memperkenalkan Dasar Gaji Progresif. Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan dibentangkan tidak lama lagi serta Belanjawan 2024. Yang begitu dinantikan adalah pelancaran Naratif Ekonomi Madani (NEM) pada bulan hadapan.

Dibelenggu isu kos sara hidup sejak 2006

Namun begitu, isu kenaikan kos kehidupan yang membelenggu rakyat sejak 2006, masih belum dapat diselesaikan secara tuntas. Sememangnya, keadaan menjadi semakin parah pasca pandemik.

Hakikatnya, apa pun usaha kerajaan untuk memerangi masalah kos kehidupan ini secara struktural dan komprehensif, memerlukan perbelanjaan daripada kerajaan. Namun begitu, jika kerajaan teruskan naratif menurunkan hutang negara sebagai keutamaan, bagaimana isu kos kehidupan ini dapat di atasi dengan berkesan supaya ia dapat dirasai rakyat secara keseluruhan.

Cubalah tanya sesiapa sahaja rakyat pada hari ini, adakah mereka akan kata kos kehidupan bukan satu masalah besar kepada mereka? Persoalan pokok adalah apakah patut menjadi keutamaan kerajaan ketika ini, adakah mengurangkan hutang negara ataupun mengurangkan kos kehidupan rakyat?

Satu contoh mudah, berkaitan dengan isu meningkatkan gaji penjawat awam. Apabila Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) mencadangkan peningkatan gaji penjawat awam sebanyak 35 peratus, kerajaan pula meminta mereka memahami kekangan kewangan terpaksa ditanggung kerajaan.

Persoalannya, adakah kekangan ini betul-betul 'kekangan'? Bukankah nilai hutang kita masih lagi di bawah tahap siling ditetapkan? Tahap siling ini pun, iaitu 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah nilai diletakkan sendiri kerajaan.

Had siling ini diubah beberapa kali dan ia boleh sahaja diubah pada masa hadapan. Tahap siling hutang ini juga tidak berdasarkan logik ekonomi kerana dalam ekonomi, tidak ada had siling dalam hutang kerajaan. Sebab itu negara seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun atau Singapura masih lagi antara ekonomi maju walaupun mempunyai tahap hutang jauh lebih tinggi daripada Malaysia.

Apa yang lebih penting sebenarnya adalah ke mana hutang kerajaan itu dibelanjakan. Jika ia digunakan untuk meningkatkan kapasiti ekonomi pada masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan rakyat, produktiviti pekerja, pertumbuhan dan pembangunan ekonomi secara keseluruhan, ini bukan sahaja dapat mengelakkan inflasi berlaku, malah mengawal tahap hutang negara dengan cara lebih tersusun dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Mungkin kekangan kewangan kerajaan ini berlaku akibat kesilapan kita memahami konsep hutang negara itu sendiri. Kalau kita memahami hutang kerajaan itu seperti hutang individu, memang ia menjadi satu kekangan, kerana jika seorang individu asyik berbelanja melebihi pendapatannya, dia akan mengalami masalah kewangan pada masa hadapan.

Namun begitu, ini berbeza dengan kerajaan kerana kerajaan perlu berbelanja terlebih dahulu sebelum memperoleh pendapatan. Kerajaan juga tidak perlu terburu-buru menghapuskan hutang kerana kerajaan akan wujud sampai bila-bila, bukannya seperti individu ataupun isi rumah perlu menyelesaikan hutang mereka kerana kelak, mereka akan mati.

Kesilapan kita memahami isu hutang negara ini dipanggil sebagai the fallacy of composition. Dalam asas perakaunan menyatakan jika satu pihak mengalami defisit, satu pihak lagi mengalami lebihan (surplus).

Maka jika kerajaan mengalami defisit, bukankah sektor bukan kerajaan akan mengalami lebihan? Justeru, kerajaan wajar menumpukan perhatian kepada mengurus isu kos kehidupan rakyat tanpa menggunakan isu hutang negara sebagai alasan. Rakyat inginkan penyelesaian, bukan alasan ataupun siapa patut dipersalahkan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X