PELBAGAI telahan semakin kuat kedengaran menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu terutama dari sudut implikasi, impak dan natijah yang bakal berlaku selepas undian berakhir.
Tumpuan perbincangan dan jangkaan tertumpu kepada pengaruh dominasi politik Melayu di Semenanjung berdasarkan keputusan PRN nanti, termasuk sejauh mana undi bukan Melayu mencorakkan naratif baharu sokongan parti bertanding.
Oleh itu, PRN dilihat amat penting kerana dua sebab, pertama menentukan pola pengundian Melayu di Semenanjung kerana ini pilihan raya pertama selepas perubahan pola pengundian Melayu menyebabkan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia selama lebih kurang 60 tahun lalu.
Kedua, PRN ini juga akan menentukan kelangsungan dan ketahanan Kerajaan Perpaduan atau sebaliknya yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta parti kecil lain.
Parti utama dalam Kerajaan Perpaduan iaitu PH, tidak memiliki majoriti sendiri dan terpaksa bergantung kepada blok parti lain bagi menggenapkan majoriti menubuhkan kerajaan seperti dititah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mungkin atas faktor ini juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap semua gabungan politik membentuk Kerajaan Perpaduan dapat memperkukuhkan jalinan kerjasama, terutama bagi mendepani PRN bulan depan.
Perlu diketahui, enam negeri mengadakan PRN penduduk plural iaitu Pulau Pinang yang mana dengan penduduk dan jumlah pengundi hampir sama banyak antara orang Melayu dan Cina.
Di Kelantan dan Terengganu, penduduk serta pengundi Melayu adalah setinggi 95 peratus manakala Kedah, jumlah penduduk dan pengundi Melayu lebih kurang 76 peratus, Negeri Sembilan (56 peratus) dan Selangor setinggi 61 peratus.
Justeru, apakah isu sebenar akan membayangi PRN di enam negeri berkenaan? Apakah isu 3R, iaitu bangsa, agama dan Raja terus memonopoli suasana berkempen? Apakah ia isu sebenar atau sekadar direka untuk menghadapi pilihan raya?
Pertama, orang Melayu akan cuba disedarkan kumpulan politik tertentu bahawa selepas PRU15, kuasa politik orang Melayu di Semenanjung mula terhakis. Kumpulan ini akan menyajikan senario kononnya kerajaan Persekutuan dipimpin Anwar bergantung hidup politik kepada sokongan bukan Melayu.
Maka, mereka akan menyimpulkan Melayu tidak berkuasa kerana kepemimpinan Melayu terpaksa tunduk kepada bukan Melayu untuk mengekalkan sokongan demi kelangsungan politik mereka.
Buktikan pemimpin, parti lebih diyakini
Kedua, PRN kali ini juga akan menyaksikan parti dan pemimpin Melayu mana akan lebih diyakini. Apakah masyarakat dan pengundi Melayu di Semenanjung percaya kepada Anwar dan PKR atau Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan UMNO atau Tan Sri Muhyiddin Yassin dan BERSATU serta Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan PAS?
Ini bermakna, taruhan amat tinggi bukan sahaja kepada Anwar, Ahmad Zahid, Muhyiddin atau Abdul Hadi tetapi juga kepada masyarakat akar umbi Melayu. Secara umum, pertandingan PRN kali ini adalah sama rata antara pelbagai parti dan perikatan parti bakal bertanding.
Keputusan PRN nanti pasti menentukan beberapa perkara. Pertama, adakah PKR dan Anwar diterima Melayu untuk menjadi pusat sokongan Melayu Semenanjung?
Kedua, PRN akan menentukan nasib BN dan UMNO bersama kepemimpinan Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid dilihat diterima ahli UMNO jika berdasarkan perhimpunan agung parti sebelum, namun adakah Timbalan Perdana Menteri itu akan mendapat sambutan akar umbi UMNO dan masyarakat Melayu umumnya? Sejauh mana UMNO mampu bangkit sebagai parti utama Melayu Semenanjung seperti sebelum kejatuhannya pada 2018?
Ketiga, apakah nasib dan masa depan BERSATU dan keempat, apakah PAS boleh melangkah keluar daripada kepompong sebagai parti Melayu dan jaguh negeri Pantai Timur?
Taruhan pada PRN cukup tinggi bagi Anwar, Ahmad Zahid, Muhyiddin dan Abdul Hadi. Maka, apakah umpan terbaik bagi memancing undi Melayu Semenanjung?
Empat nama besar Melayu Semenanjung dan empat campuran parti ini penting kerana percaturan dan perlawanan sememangnya antara empat parti gergasi Melayu Semenanjung dan parti lain adalah pelengkap seperti Parti Amanah Negara (AMANAH), MCA dan MIC.
Sementara itu, dua isu utama iaitu bangsa dan agama tidak dapat dielak untuk dijadikan naratif kempen pada PRN nanti. Dua isu ini amat malar segar kerana landskap politik Malaysia disusun sedemikian rupa.
Umumnya penduduk dan pengundi Melayu akan diseru mengundi PN kerana hujah ialah Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan PH ditegakkan bukan Melayu, iaitu DAP khasnya.
Kelegaan sementara mungkin timbul daripada hakikat Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dan PKR disokong juga BN-UMNO. Dengan kehadiran BN-UMNO, maka sokongan Melayu melebihi kekuatan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.
Namun, kerjasama PKR dan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan boleh dilihat sebagai suatu pakatan perlu kerana UMNO pernah dikaitkan dengan kenyataan 'No Anwar, No DAP'. Separuh daripada PH itu DAP. Ini adalah hubungan ibarat 'bagai telur di hujung tanduk'.
Di negeri majoriti Melayu, isu bangsa masih relevan tetapi mungkin pihak bertanding akan lebih berhati-hati kerana ada kawasan pilihan raya mempunyai pengundi bercampur.
Penulis adalah Felo, Akademi Sains Malaysia merangkap Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara