Rabu, 10 Mei 2023 | 12:08pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Dua prasyarat jayakan program basmi kemiskinan

Usaha negara membasmi kemiskinan secara inklusif sudah bermula sejak 1971 melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan terus diberikan penekanan setiap kali Rancangan Malaysia, bahkan sampai ke tahap melancarkan jihad memeranginya. Memang ada 'perkembangan positif' setiap kali anggota pentadbiran berkongsi kejayaan termasuk jumlah miskin tegar berkurangan kepada 129,395 isi rumah setakat 30 September tahun lalu berbanding 260,000 dicatatkan pada 31 Oktober 2021.

Statistik jumlah miskin tegar sentiasa berkurangan itu bagaimanapun tidak sepadan dengan realiti disaksikan hingga masih ada paparan kemiskinan di media massa dan media sosial. Malah bukan sekali dua kita dikejutkan dengan berita kes mencuri barang keperluan hidup disebabkan desakan hidup, sekali gus timbulkan tanda tanya mengapakah gejala ini masih gagal dibasmi, padahal Malaysia mempunyai pelbagai sumber kekayaan, termasuk minyak.

Terbaru, Perdana Menteri sendiri mempersoalkan keberkesanan program membasmi kemiskinan yang tidak menatijahkan hasil seperti dihasratkan walaupun negara sudah membelanjakan RM22 bilion secara keseluruhan. Hakikatnya, jumlah itu hanya membabitkan program berkenaan sedangkan nilai sebenar perbelanjaan pembangunan yang sepatutnya meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat jauh lebih besar.

Pastinya, tidak sukar untuk rakyat membuat tekaan punca kegagalan program membasmi kemiskinan kerana pendedahan ketirisan perbelanjaan akibat salah guna kuasa, rasuah dan pembaziran sering didedahkan setiap kali Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan.

Kenyataan Perdana Menteri itu mesti dijadikan titik mula kepada pelaksanaan program membasmi kemiskinan secara telus dan amanah apatah lagi Hasil Dapatan Tinjauan Pendapatan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 yang sepatutnya diterbitkan Mac lalu, akan mendedahkan statistik kemiskinan terutama kadar kemiskinan hingga ke peringkat daerah pentadbiran, sekali gus membawa kepada kemas kini Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Prasyarat telus dan beramanah itu perlu diikuti dengan tindakan bersepadu, berstrategik serta holistik, bukan sahaja merentasi kementerian dan agensi kerajaan, bahkan perlu membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat swasta sebagai tanggungjawab bersama, selain menggunakan ekonomi wakaf yang belum dimanfaatkan secara optimum.

Perlu disedari kemiskinan tidak boleh diselesaikan hanya dengan memberi bantuan kewangan dan subsidi secara berterusan. Lebih daripada itu, kerajaan mesti mempunyai tekad dan pelan jangka panjang untuk membawa rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan.

Berita Harian X