Isnin, 8 Mei 2023 | 8:57am
Kenderaan penumpang dianggarkan secara purata mengeluarkan 4.6 tan karbon dioksida setahun. - Foto NSTP
Kenderaan penumpang dianggarkan secara purata mengeluarkan 4.6 tan karbon dioksida setahun. - Foto NSTP

Strategi tangani isu pemanasan global perlu dilaksana serentak

JUMLAH kenderaan bermotor terus meningkat dengan tahun lalu, 33.08 juta kenderaan bermotor berdaftar direkodkan, sekali gus melebihi bilangan penduduk di negara ini.

Dengan mengambil kira penjelasan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bahawa kira-kira 11.37 juta kenderaan daripada jumlah itu adalah tidak aktif, ia bermakna lebih 21 juta berada di atas jalan raya.

Bagaimanapun, harus diingat pendaftaran kenderaan baharu setiap hari menambah bilangan itu. Dalam tiga bulan pertama tahun ini sahaja, lebih 192,000 kenderaan berdaftar, manakala sumber industri permotoran meramalkan jualan kenderaan baharu mencecah 720,000 unit menjelang akhir tahun ini.

Realitinya, peningkatan jumlah kenderaan itu bukan sahaja menyebabkan kesesakan lalu lintas yang sangat mencabar sistem pengangkutan dan kehidupan rakyat di negara ini, bahkan memberi kesan sampingan lain tidak kurang kritikal.

Antaranya, pencemaran udara dan pemanasan global yang berkaitan dengan gelombang haba sedang kita alami kini. Satu kajian Institut Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Grantham United Kingdom (UK) menunjukkan gelombang haba mempunyai kebarangkalian satu daripada 10 akan berlaku hampir tiga kali lebih kerap.

Punca utama pemanasan global ialah peningkatan karbon dioksida di atmosfera yang kebanyakannya disebabkan aktiviti manusia seperti penggunaan kenderaan bermotor.

Dengan 33 juta penduduk, Malaysia mempunyai pelepasan karbon dioksida per kapita tinggi, iaitu pada 7.7 tan, sekali gus jauh lebih tinggi daripada Thailand yang merekodkan 3.7 tan dan Indonesia (2.3 tan) berdasarkan data setakat 2019.

Dianggarkan pengangkutan jalan raya menyumbang 21 peratus daripada jumlah pelepasan karbon dioksida di negara ini pada 2016. Dengan pertambahan kenderaan di jalan raya, pelepasan karbon dioksida di negara ini dijangka terus meningkat.

Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (AS), kenderaan penumpang dianggarkan secara purata mengeluarkan 4.6 tan karbon dioksida setahun. Dengan 21 juta kenderaan aktif, pelepasan karbon dioksida di negara ini mungkin mencecah hampir 100 juta tan setahun.

Tahun lalu, Malaysia meningkatkan sasaran tanpa syarat untuk mengurangkan intensiti karbon berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang 2030 berbanding paras 2005. Peningkatan berterusan bilangan kenderaan petrol dan diesel akan membantutkan pencapaian sasaran ini.

Kaji kaedah kurangkan bilangan kenderaan

Kerajaan dan pakar sedang mengkaji pelbagai langkah untuk mengawal peningkatan bilangan kenderaan di jalan raya di negara ini dengan langkah mengehadkan pendaftaran kenderaan baharu antara kaedah mengurangkan bilangan kereta.

Sebenarnya, langkah mengehadkan pendaftaran kereta baharu boleh dibuat melalui peraturan atau dasar kerajaan yang memerlukan pengeluar kereta mengehadkan bilangan kereta mereka jual atau bilangan kereta boleh dimiliki seseorang.

Walaupun ini mungkin kelihatan sebagai penyelesaian berpotensi, terdapat kesan sampingan perlu dipertimbangkan. Langkah mengehadkan bilangan kereta baharu dijual setiap tahun boleh menjejaskan sektor automotif, sekali gus membantutkan pertumbuhan ekonomi.

Pengguna mungkin berasa lebih sukar untuk membeli kereta jika pendaftaran kereta baharu terhad. Ini juga boleh membawa kepada pasaran gelap kereta dan amalan menyalahi undang-undang.

Oleh itu, langkah mengehadkan pendaftaran kenderaan baharu bukan satu-satunya penyelesaian untuk mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya, sebaliknya polisi akhir hayat kenderaan adalah satu penyelesaian alternatif boleh dipertimbangkan.

Kerajaan boleh menggalakkan orang ramai untuk beralih kepada kenderaan lebih baharu dan lebih jimat bahan api, sekali gus rendah pelepasan melalui program insentif pelupusan kenderaan lama. Ia mungkin bukan penyelesaian popular dalam kalangan pengguna menghargai kebebasan dan kemudahan memiliki kereta.

Cukai kesesakan ialah satu lagi penyelesaian dengan mengenakan bayaran kepada kereta masuk ke kawasan sesak pada waktu puncak untuk membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, mengawal pencemaran udara serta pelepasan karbon dioksida. Kaedah ini telah dilaksanakan di banyak bandar raya, termasuk London dan Singapura.

Penyelesaian lain juga boleh dipertimbangkan seperti peraturan berkongsi kenderaan, menetapkan bilangan minimum penumpang dalam kenderaan atau mengehadkan pergerakan kenderaan berdasarkan nombor pendaftaran seperti di Manila.

Bagaimanapun, pelaburan dalam pengangkutan awam cekap adalah prasyarat untuk inisiatif itu. Namun, pelaksanaan langkah ini mungkin menghadapi beberapa kesukaran seperti penerimaan awam.

Oleh itu, bagi mencapai hasil lebih berjaya, program kesedaran dan advokasi perlu dijalankan bukan sahaja oleh kerajaan, bahkan pihak industri dan komuniti. Pengguna yang memahami rasional keperluan langkah ini lebih mudah menyokong dan mendukungnya.

Hakikatnya, langkah mengehadkan pendaftaran kenderaan baharu mungkin bukan satu-satunya pendekatan dalam penyelesaian, tetapi kita memerlukan pelaksanaan beberapa strategi secara serentak.

Gabungan strategi secara serentak ini membolehkan Malaysia mencapai keputusan lebih baik dalam mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya, menambah baik kesesakan lalu lintas dan kualiti udara, sekali gus mempromosikan pengangkutan mampan.

Omar adalah Profesor di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), manakala Mohd Azman adalah Pengarah Automotive Development Centre UTM


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X