Pada 28 Julai 2022, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan dengan semua 209 ahli parlimen hadir menyokong usul berkenaan.
RUU bertujuan mengelak pertukaran kerajaan dengan sewenang-wenangnya hanya akibat kerenah beberapa ahli Parlimen bertukar parti itu sebenarnya ditagih rakyat yang sudah tidak tahan dengan percaturan politik menukar kerajaan sehingga urusan pentadbiran negara terabai.
Akan tetapi, perkembangan politik terbaru menunjukkan masih ada ahli Parlimen gagal menghayati semangat pindaan Perlembagaan itu kerana ada kalangan mereka dikaitkan dengan gerakan menukar atau menjatuhkan kerajaan menerusi kod ungkapan seperti 'Langkah Sheraton 2.0', 'Angka 116' dan ' Angka 126.
Maksud 'Langkah Sheraton' merujuk kepada peristiwa bagaimana kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020 angkara beberapa ahli Parlimen pakatan itu melompat parti.
Angka 116 dan 126 pula membawa maksud wujud entiti tertentu dalam kes ini membabitkan pimpinan Perikatan Nasional (PN) mendakwa sudah memperoleh 116 atau 126 ahli Parlimen yang dianggap jumlah memadai untuk menubuh kerajaan Persekutuan baharu menggantikan Kerajaan Perpaduan.
Namun setakat ini, semua 148 ahli Parlimen membentuk Kerajaan Perpaduan dilaporkan tetap menyokong kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Dalam hal ini, kredibiliti strategi 'angka 148' nampak lebih kukuh berbanding '116' atau '126' kerana ia adalah status quo asas pembentukan kerajaan Persekutuan terdiri daripada PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sarawak (GRS) dan parti lain.
Soalnya, bagaimana keabsahan angka 116 dan 126 dicongak, kesahihannya memerlukan pembabitan ahli Parlimen BN dan GPS secara menyeluruh atau sebahagiannya menarik balik sokongan terhadap Anwar.
Jika diandaikan semua Ahli Parlimen GRS, Parti Warisan (WARISAN) dan parti kecil lain menyokong PN, maka angka 116 tidak juga tercapai dan sebab itu mencukupkan angka terbabit masih memerlukan pembabitan Ahli Parlimen BN dan GPS.
Tidak menjadi isu jika BN atau GPS sebagai sebuah parti menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan kerana ia tidak melanggar kehendak akta antilompat parti, cuma untuk melihat perkara ini berlaku sebenarnya amat sukar kerana kepemimpinan tertinggi sama ada BN atau GPS begitu selesa dengan status quo politik kerajaan Persekutuan hari ini.
Dalam hal ini, sanggupkah Ahli Parlimen BN berkorban walaupun tiada halangan kepada mereka bertanding semula kerana kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah melalui kekuatan BN sahaja.
Kekuatan BN akan berganda
Jika berlaku pilihan raya kecil (PRK), besar kemungkinan kekuatan BN mereka tinggalkan itu akan berganda kerana sudah hampir pasti BN bekerjasama dengan PH untuk merebut kembali kerusi parlimen terbabit.
Atas dasar ini, barangkali 'cakap-cakap' mungkin berlaku pertukaran kerajaan Persekutuan hanya perang gerak saraf menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN). Hakikatnya, bukan mudah untuk merealisasikan strategi memperoleh 'angka 116' malah lagi mustahil jika dikaitkan dengan strategi 'Angka 126' kerana kekangan akta antilompat parti yang memerlukan ahli Parlimen melakukan pengorbanan agak besar dan berisiko tinggi.
Boleh diandaikan, matlamat mewujudkan persepsi kerajaan Persekutuan mungkin bertukar adalah untuk menanam tanggapan umum tiada persefahaman parti politik dalam Kerajaan Perpaduan terutama membabitkan PH dan BN.
Ini kerana kerjasama PH dan BN pada PRN akan memberi kekuatan kepada Kerajaan Perpaduan, tambahan pula kebelakangan ini timbul pergeseran dalaman antara UMNO dan DAP dalam hal menarik sokongan undi Melayu serta antara UMNO dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak.
Sebab itu juga amat tidak mengejutkan apabila secara tiba-tiba Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyokong Proklamasi Orang Melayu diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang selama ini kental dan tebal semangat anti-PAS terutama Abdul Hadi.
Walaupun kelihatan begitu canggung pertemuan Hadi dengan Dr Mahathir kerana sejarah perseteruan politik antara mereka selama ini, hakikatnya undi Melayu adalah penentu pada PRN nanti terutama sekali di negeri ditadbir PH iaitu Selangor dan Negeri Sembilan.
Strategi mendakwa sudah mempunyai sokongan 116 atau 126 ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan dianggap sebagai taktik 'hering merah' (red herring) demi mengucar-kacirkan Kerajaan Perpaduan supaya kelihatan lemah menjelang PRN tidak lama lagi.
Kerajaan Perpaduan yang lemah akan memberi kesan negatif terhadap kerjasama PH dan BN menjelang PRN. Ini kerana dari segi statistik, PRN 2018 dan PRU 2022 di enam negeri bakal menghadapi PRN, gabungan jumlah undi PH dan BN adalah jauh lebih baik berbanding gabungan BERSATU dan PAS terutama sekali di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor dan Kedah.
Nampak gayanya, umpan hering merah ini sudah agak berjaya menanam persepsi Kerajaan Perpaduan tidak akan kekal lama dan gambaran seperti ini memberi manfaat kepada gabungan BERSATU dan PAS serta Dr Mahathir demi menarik undi Melayu.
Akan tetapi gabungan PH dan BN juga mempunyai peluang terbaik untuk melenyapkan desas-desus pertukaran kerajaan jika mengekalkan tiga negeri tadbiran PH ketika ini serta menambah kerusi di tiga negeri tadbiran PAS pada PRN nanti.
Walaupun gandingan PH dan BN gagal merampas negeri tadbiran PAS, tetapi pertambahan kerusi di tiga negeri ini sudah cukup memberi tafsiran pengundi sebenarnya menerima kehadiran kerajaan Persekutuan dan seterusnya mematikan apa juga 'hering merah' selepas ini.
Penulis adalah Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR)