Dalam meraikan golongan pekerja, masyarakat sering terlupa terhadap sumbangan golongan berkerja dalam sektor penjagaan kesihatan yang boleh dianggap sebagai wira tak didendang.
Sebahagian besarnya tidak bergaji, iaitu penjaga tidak formal atau tidak mendapatkan upah memadai dan faedah skim pekerja sekiranya berkhidmat dalam sektor ekonomi penjagaan seperti jururawat, pengasuh serta penjaga terlatih.
Kelompok ini biasanya bekerja tanpa mengenal waktu, tiada syif bertugas dan tiada cuti boleh dipohon, malah tidak boleh untuk 'berasa lelah mahupun jatuh sakit.'
Mereka sering dipinggirkan daripada menerima bantuan, bahkan perlu menelan masalah sendirian demi meneruskan perjuangan hidup seharian walaupun berdepan risiko kesihatan dan diketepikan secara sosial.
Kebanyakan mereka mengabdikan diri dalam tempoh panjang untuk menjaga anak atau ahli keluarga memerlukan perhatian khusus tanpa bayaran atau pasrah dengan upah sangat kecil oleh ahli keluarga lain berbanding beban berat perlu ditanggung.
Ada suami atau isteri berhenti bekerja untuk menjaga anak, manakala ramai mengorbankan usia muda demi menjaga orang tua. Ada kakak atau abang berhenti persekolahan kerana ingin menjaga ibu bapa uzur.
Pekerjaan sukar, tetapi mulia itu biasanya dipikul antara suami atau isteri untuk mengurus rumah dan keluarga sementara pasangannya mencari rezeki. Dalam keluarga lain, mereka menjaga anak orang kurang upaya (OKU) atau ibu bapa uzur, adik-beradik atau pasangan mengasuh ahli keluarga terlantar dan kadang-kadang dipikul jiran yang bersimpati.
Adakalanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan persendirian mengambil inisiatif menjaga golongan memerlukan ini.
Penjagaan hampir sepanjang masa
Penjagaan diberikan hampir sepanjang masa merangkumi penjagaan diri seperti memberi makan, memandikan dan memakaikan baju, selain penjagaan kesihatan seperti mengatur ubat-ubatan dan menyediakan pengangkutan ke pusat kesihatan.
Bantuan lain seperti kewangan, penyeliaan, asuhan, pendidikan dan khidmat penjagaan lain turut termasuk dalam skop tugasan penjaga tidak formal ini.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 mendapati 5.1 peratus orang dewasa di negara ini memberikan penjagaan tidak formal, kebanyakannya dalam kalangan wanita.
Data di peringkat global dikeluarkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 2018 menunjukkan golongan wanita memikul tanggungjawab penjagaan ini 3.2 kali ganda lebih kerap berbanding lelaki.
Di Korea Selatan, India dan China, wanita menghabiskan masa masing-masing sekitar 34.1, 33.2 serta 31.9 jam seminggu, hampir sama masa pekerjaan sepenuh masa (40 jam seminggu) di kebanyakan negara, menurut laporan Whose Time to Care?
Walaupun sering kali tugas itu dipikul atas sebab kasih sayang dan rasa ihsan, sumbangan terbabit perlu dihargai dan diiktiraf kerana ia signifikan dalam memastikan kewujudan masyarakat sejahtera apabila individu memerlukan bantuan disantuni melalui penjagaan dan pengawasan sepatutnya.
Justeru, golongan ini perlu diberikan bantuan penerusan hidup sejahtera atas kesanggupan mengorbankan keselesaan demi menjalankan tanggungjawab dari sudut sokongan emosi, kewangan dan akses mudah menerima bantuan seperti peralatan perubatan serta latihan bagi menambahkan keupayaan menjaga pesakit.
Inisiatif sebegini mampu meringankan tekanan penjaga tidak formal, sekali gus meningkatkan kualiti hidup dan individu dijagai.
Penghargaan dalam bentuk pelepasan cukai, elaun kewangan, perkhidmatan kaunseling, latihan penjagaan dan ziarah ke rumah penjaga mampu meringankan beban, sekali gus menjadikan mereka tidak rasa bersendirian dan terpinggir dalam usaha menyantuni orang tersayang.
Sokongan ahli keluarga, komuniti dan dikuatkan dengan langkah pengukuhan polisi dan dasar kerajaan mampu menjadikan Malaysia sebagai masyarakat penyayang serta harmoni agar hak individu diambil berat, dianggap penting dan dilindungi.
Pada peringkat global, banyak negara semakin memberikan sokongan untuk penjagaan tidak formal yang dianggap sebahagian sistem penjagaan kesihatan. Di negara maju, penggunaan penjagaan tidak formal digalakkan untuk mengurangkan kos perkhidmatan penjagaan profesional formal termasuk perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Hakikatnya, banyak ruang penambahbaikan boleh dilakukan di segenap peringkat bagi menjadikan penyediaan penjagaan tidak formal sebagai pekerjaan kurang membebankan termasuk pengiktirafan diberikan atas komitmen mereka, sekali gus memastikan mereka mendapatkan akses terhadap hak bersesuaian seperti pekerja formal.
Diana adalah Pakar Perunding Perawatan Paliatif di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, manakala Basmin adalah Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).