Ahad, 30 April 2023 | 10:10am

Budaya politik 'hemoi' tentukan gabungan parti tawan Kedah

SAYA mengikuti dan mengkaji politik Kedah sejak dua dekad lalu khususnya sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008 apabila buat kali pertama kerajaan negeri itu bertukar tangan kepada pembangkang, iaitu Pakatan Rakyat (PR) dengan PAS mengepalai jentera negeri Jelapang Padi berkenaan.

Kedah sebelum itu dikuasai Barisan Nasional (BN) sejak merdeka, sekali gus menjadikan 2008 sebagai garis permulaan untuk ia dikenali sebagai negeri politik 'bandul berhayun'.

Apakah dimaksudkan bandul berhayun atau dalam bahasa Inggeris, pendulum swing?

Bandul bermaksud pemberat kepada jam mekanikal. Apabila ia bergerak atau berhayun, jam pun berjalan mengikut masa berubah-ubah. Dalam istilah politik, bandul berhayun bermaksud perubahan kuasa sentiasa berlaku. Oleh itu, negeri bandul berhayun maksudnya kerajaannya sering berubah-ubah dan tidak tetap.

Sejak 2008, penduduk Kedah menggunakan kuasa melalui pilihan raya untuk mengubah kerajaan negeri. Ini juga menyebabkan tiada siapa dapat mengagak selera penduduk atau pengundinya kerana sikap membuat keputusan banyak ditentukan keadaan ketika pilihan raya berkenaan untuk mencorakkan politik dan pentadbiran di Kedah.

Misalnya pada 2008, PR menang dan mentadbir Kedah, tetapi pada PRU13 (2013), pengundi Kedah bersuara dan kembali memilih BN. Pada PRU14 2018, pengundi kembali memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) hingga dijatuhkan dalam peristiwa 'Tebuk Atap' Langkah Sheraton pada 2020 apabila negeri itu ditadbir Perikatan Nasional (PN) pimpinan PAS hingga kini.

Meskipun pada PRU15 tahun lalu, PN menunjukkan pencapaian luar biasa apabila menguasai 14 daripada 15 kerusi Parlimen, kerajaan negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubarkan.

Maka jelas, kerajaan Kedah masa ini belum mempunyai mandat rakyat sebenar melalui PRU. Namun, kalau kita ingin mengambil kira pencapaian cemerlang PN ketika PRU15 dan realiti 'bandul berhayun' politik Kedah, giliran mendapat kuasa sebenarnya terletak kepada kerajaan selain PN di Kedah iaitu Kerajaan Perpaduan pimpinan BN-PH yang menjadi kuasa utama yang ingin mengubah dinamik negeri.

Apakah keunikan politik Kedah menjadikan bandul berhayun sebagai realiti? Kita fahami faktor personaliti, parti politik dan isu politik berperanan besar dalam politik Kedah.

Namun, faktor personaliti kini semakin kurang relevan sekiranya kita mengambil kira faktor PRU15 apabila kekalahan menimpa Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu mewakili Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) di Langkawi dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz di Jerlun.

Turut kalah ialah Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN) di Padang Terap; Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN) di Baling dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH) di Kulim-Bandar Bahru.

Maka, hipotesis mengatakan faktor personaliti sebagai penentu dilihat tidak relevan. Ini menyebabkan faktor Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar juga kurang relevan.

'Perang mulut' dengan keluarga diraja

Ada melihat insiden perbalahan Sanusi dengan pemimpin utama negara dan 'perang mulut' dengan keluarga diraja di media sosial sebagai taktik mempopularkan diri, tetapi ia boleh memakan diri, terutama kepada pimpinan PAS dan PN sendiri.

Selain itu, ada melihat beliau sebagai liabiliti yang memperlihatkan diri lebih besar daripada parti ketika elemen personaliti semakin kurang relevan dalam politik Kedah.

Faktor kedua ialah parti politik. Tidak dinafikan PAS menjadi kuasa kuat di Kedah sejak beberapa PRU lalu. Namun, mengambil kira perspektif 'bandul berhayun', tiada jaminan ia akan berterusan kerana parti itu berhadapan dengan rakan sekutu, BERSATU yang semakin lemah setelah beberapa pemimpin utama terkena pertuduhan rasuah dan akaun parti disita.

Malah, PAS juga harus bertembung dengan kuasa politik bergabung di peringkat nasional, iaitu BN-PH. Sokongan diberikan kepada PAS dan PN pada PRU15 kerana penduduk Kedah berasakan PN akan membentuk kerajaan Persekutuan.

Namun, kerajaan Persekutuan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan menjadikan dinamik politik berubah dan membolehkan kekuatan Persekutuan digembleng untuk menguasai politik Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka mungkin diadakan pada Julai nanti.

Faktor ketiga ialah isu politik juga banyak berkait rapat dengan ekonomi dan kaum serta agama. Pada PRU15, isu kaum dan agama banyak dimainkan di Kedah turut dilihat memenangkan calon PN.

Permainan isu agama dan kaum dilihat semakin ditolak selepas kerajaan Persekutuan melaksanakan agenda Malaysia MADANI melalui dasar Rahmah. Malah, tiada bukti menunjukkan kerajaan pimpinan Anwar mengesampingkan kaum dan agama.

Memorandum persefahaman penubuhan Kerajaan Perpaduan antara parti politik dengan jelas akan terus membela dan menegakkan agama Islam, hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu serta institusi Raja-Raja Melayu.

Keakraban hubungan antara Yang di-Pertuan Agong dengan Perdana Menteri, menjadikan keabsahan jelas Kerajaan Perpaduan akan terus membela Melayu-Islam sebagai agenda utama negara.

Faktor ekonomi juga banyak memberi kelebihan kepada kerajaan Persekutuan. Malah, kemasukan pelaburan asing ke Kedah banyak diusahakan kerajaan Persekutuan berbanding kerajaan negeri.

Tidak banyak pencapaian kerajaan Kedah boleh ditonjolkan bagi meyakinkan pengundi memilih PN. Namun, kerajaan negeri mesra kerajaan Persekutuan adalah sangat diingini di Kedah.

Ini memberi kelebihan kepada BN-PH untuk mengambil alih kerajaan Kedah selepas kerajaan negeri pimpinan Sanusi kini dilihat memusuhi kerajaan Persekutuan.

Faktor terakhir yang tidak boleh dikesampingkan ialah faktor budaya politik 'hemoi'. 'Hemoi' dalam dialek Kedah bermaksud tidak malu, tidak kekok, peramah dan pandai mengambil hati.

Dalam usaha memilih calon PRU Kedah nanti, pemimpin dan calon pandai berhemoi, mendekati penduduk, adalah penting dalam menentukan kemenangan sesuatu calon berkenaan.

Malah, bagi BN-PH mengumumkan calon Menteri Besar dan calon ADUN lebih awal juga penting bagi mereka boleh berhemoi dengan pengundi mereka. Jelas, teori resam bandul berhayun diambil kira dan dinamik politik berubah, kita mungkin akan melihat satu perubahan kepada politik Kedah pada PRN nanti.

Penulis adalah Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X