Ahad, 30 April 2023 | 9:00am

Usah sampai kerajaan dilihat 'flip flop'

BUKAN kali pertama Perdana Menteri terpaksa 'mengundurkan' tindakan atau kenyataan dibuat pemimpin kerajaannya seperti dalam isu kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI).

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim tegaskan pelantikan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai pengerusi badan berkanun dikaji kembali meskipun sudah diumumkan Timbalan Perdana Menteri.

Belalang akui setiap ketua menteri dan menteri ada bidang kuasa, tetapi sebarang isu berkaitan secara langsung dengan kesejahteraan rakyat serta pentadbiran beramanah dan berintegriti perlu ditangani dengan berhemat.

Belalang hairan bukankah hal itu kerap diulang Perdana Menteri, bahkan turut dijadikan teras strategik dalam gagasan Malaysia MADANI yang mustahil masih ada pemimpin tidak faham hingga boleh mewujudkan persepsi 'flip flop' sebegini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (kanan) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Sayuthi Bakar menunjukkan surat kelulusan laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek Tambakan Laut Pulau Pulau Pinang Selatan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS). - NSTP/Mikail Ong
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (kanan) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Sayuthi Bakar menunjukkan surat kelulusan laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek Tambakan Laut Pulau Pulau Pinang Selatan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS). - NSTP/Mikail Ong

Dalam isu PSI dibantah banyak pihak, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sepatutnya sudah jangka reaksi negatif bukan sahaja kepada kerajaan negeri, bahkan tempiasnya kepada Kerajaan Perpaduan. Ia bukan sahaja kemaslahatan penduduk dan kelestarian alam sekitar, bahkan implikasi politik kerana negeri itu bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jauh berbeza dengan PRU14 yang dianggap Kon Yeow sebagai petunjuk sokongan projek itu.

Projek Tambakan Laut Selatan Pulau (A) Pulau Pinang (PSI). - Foto PSI
Projek Tambakan Laut Selatan Pulau (A) Pulau Pinang (PSI). - Foto PSI


Pantau anak, murid risiko terdedah cuaca panas

Ramai rakan dan kenalan Belalang mengadu panas betul sepanjang bercuti sempena Aidilfitri seminggu ini terutama yang balik ke Pantai Timur, Selatan dan Utara tanah air. Lebih membimbangkan, sudah ada kes kanak-kanak meninggal dunia disyaki akibat strok haba dan dehidrasi.

Pesan Belalang, semua pihak perlu ambil langkah berhati-hati terutama terhadap kesihatan golongan berisiko seperti kanak-kanak dan warga emas. Walaupun ramai teruja dengan sambutan Syawal dan acara rumah terbuka, usah abaikan langkah keselamatan yang sudah banyak dikongsi termasuk di akhbar ini.

Dengan sesi persekolahan akan dibuka lusa, Belalang yakin semua pentadbir sekolah akan patuh arahan Kementerian Pendidikan (KPM) supaya aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan jika cuaca terlalu panas atau dihentikan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

Cuma Belalang minta pihak sekolah beri perhatian juga kepada pergerakan murid sebelum dan selepas waktu persekolahan kerana mereka akan terdedah kepada risiko strok haba, dehidrasi serta jerebu.

Berita Harian X