KEBELAKANGAN ini timbul pandangan menyatakan strategi rundingan pemulangan aset, pembayaran ganti rugi dan kompaun dapat membantu mengekang masalah salah guna kuasa terutama jika mengejar pelaku rasuah dan menuntut mereka memulangkan semula aset diperoleh secara tidak sah.
Tujuan utama strategi ini adalah membolehkan pihak berkuasa mendapatkan semula sebahagian besar aset atau wang diperoleh pelaku rasuah terutama membabitkan projek pembiayaan kerajaan sebagai ganti rugi kepada negara.
Dari satu sudut, strategi ini dapat mempercepat proses pengadilan kes dan memberikan pendidikan serta insentif kepada perasuah untuk kembali ke pangkal jalan, sekali gus tidak lagi mengulangi kesilapan ini.
Namun, strategi ini harus dilaksanakan berhati-hati dan telus untuk memastikan pelaku rasuah tidak dapat memanipulasi strategi ini bagi melarikan diri daripada hukuman.
Bagaimanapun, strategi rundingan ini dilihat memiliki kekurangan dan risiko tersendiri. Antaranya, pelaku rasuah menggunakan strategi ini untuk menghindari hukuman atau menghalalkan pendapatan daripada perbuatan rasuah dari sudut perundangan.
Selain itu, terdapat risiko pihak berkuasa mungkin mengabaikan kaedah rasuah lebih kompleks atau gagal menyiasat lanjut secara efektif demi menjayakan proses rundingan terbabit.
Bermakna, rundingan dengan pelaku rasuah untuk memulangkan aset, membayar ganti rugi dan kompaun mungkin sebahagian penyelesaian harus digunakan secara hati-hati, disertai hukuman efektif dan tegas terhadap pelaku rasuah.
Selain itu, usaha pencegahan rasuah lain dan peningkatan ketelusan dalam sistem kerajaan bersama peniaga perlu menjadi fokus utama dalam mengekang masalah rasuah dalam negara.
Strategi ini juga dilaksanakan beberapa negara. Amerika Syarikat (AS) antara paling aktif menggunakan undang-undang pemulihan aset untuk mengambil kembali aset diperoleh melalui kegiatan haram termasuk rasuah.
Mereka juga memiliki program kompaun membolehkan perasuah mengakui kesalahan mereka dan membayar denda lebih rendah daripada hukuman sepatutnya.
Begitu juga di United Kingdom (UK) dan Hong Kong. Undang-undang mereka turut membolehkan kaedah rundingan, selain memiliki program pembayaran ganti rugi memungkinkan pelaku rasuah membayar sejumlah wang sebagai ganti rugi kepada mangsa dan masyarakat.
Singapura memiliki undang-undang pemulihan aset sangat efektif dan program kompaun memungkinkan perasuah mengakui kesalahan mereka serta membayar denda lebih rendah daripada hukuman sedia ada. Selain itu, mereka juga memiliki program pembayaran kompaun kepada mangsa rasuah.
Dalam setiap negara, ia mungkin berbeza bergantung kepada undang-undang dan strategi, tetapi tujuannya tetap sama, iaitu mengatasi masalah rasuah dan 'memiliknegarakan' aset diperoleh secara tidak sah.
Di negara ini, pihak berkuasa atau agensi penguat kuasa boleh mengenakan kompaun dengan keizinan pendakwa raya dalam kes pengubahan wang haram dan rasuah serta wang kompaun dikembalikan semula kepada rakyat menerusi Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.
Ia berdasarkan Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Wang Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Kebiasaannya, kompaun membabitkan jumlah besar dan pihak berkuasa akan mendapatkan semula wang digunakan dalam kesalahan rasuah.
Tindakan kompaun juga menjimatkan masa mahkamah dalam erti kata tidak perlu melalui perbicaraan panjang kerana belum pasti hukuman dijatuhkan dan menyebabkan wang terbabit dalam rasuah tidak akan diperoleh semula.
Persepsi ada campur tangan politik
Sementara itu, rakyat pula tebal dengan persepsi keputusan mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh dalam kes berprofil tinggi sebagai ada campur tangan politik.
Tanggapan itu tidak benar kerana terdapat perbezaan signifikan antara 'dilepas dan dibebaskan' dengan 'dilepas tanpa dibebaskan'. Apabila dijatuhi hukuman 'dilepas tanpa dibebaskan', ia bermakna pada bila-bila masa pendakwa raya boleh memanggil individu itu semula untuk tindakan mahkamah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga diberi kuasa untuk menguatkuasakan pemulihan aset dicuri melalui AMLATFPUAA 2001 ini.
Namun, terdapat banyak salah faham mengenai penggunaan kompaun sebagai antara satu strategi bagi pemulihan aset negara dengan menggunakan akta berkenaan.
Dalam pemikiran orang biasa, seseorang didapati bersalah melakukan pengubahan wang haram perlu dihukum dengan hukuman penjara, denda yang tinggi serta pemulihan keseluruhan aset yang dicuri. Namun, realitinya adalah jauh lebih rumit.
Pemulihan wang haram menjadi lebih rumit disebabkan perubahan modus operandi penjenayah dan mengubah hasil pendapatan haram mereka melalui syarikat didaftar secara sah dengan wakil serta penama sebagai topeng menyembunyikan harta mereka.
Rasuah hari ini berubah daripada 'duit kopi' kepada rasuah 'di bawah meja' kemudian gratifikasi 'melangkaui meja' sehingga menjadi transaksi kewangan rentas sempadan bertambah kompleks.
Lazimnya, ia dilakukan melalui transaksi kewangan kelihatan sah sementara hasil pendapatan haram dibelanjakan atau digunakan untuk tujuan sah atau haram bagi meningkatkan lagi hasil pendapatan.
Ia juga boleh diderma kepada pertubuhan amal atau dijadikan sebagai bayaran untuk perkhidmatan atau pembelian sah ataupun bagi tujuan pembiayaan politik.
Pemilihan strategi
Pemilihan strategi bakal digunakan bergantung kepada kesesuaian, keseimbangan risiko, kebolehan untuk mengumpul bukti dan saksi bergantung kepada perjanjian rentas sempadan dan lain faktor boleh menentukan kejayaan atau kegagalan memulihkan aset.
Dalam kes mengenakan kompaun untuk pemulihan aset, AMLATFPUAA tidak perlu membuktikan tanpa keraguan bagi menawarkan pembayaran denda kompaun kepada tertuduh.
Kesalahan kompaun sama sekali tidak menyatakan tertuduh itu tidak bersalah. Ia tindakan punitif dan membayar kompaun adalah satu bentuk pengakuan kesalahan.
Strategi ini menjimatkan kos dan masa mahkamah. Namun, jika tertuduh gagal membayar kompaun, dia boleh didakwa dalam perbicaraan penuh di mahkamah.
Pada peringkat global, kadar kejayaan untuk pemulihan aset pengubahan wang haram ialah 30 peratus. Disebabkan cabaran besar untuk mendakwa dan memulihkan aset berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Malaysia menjadi terkenal berhadapan dengan salah satu skandal kewangan terbesar di dunia.
SPRM wajar diberikan pujian kerana setakat bulan lalu berjaya mencapai 70 peratus pemulihan aset atau RM28.93 bilion berkaitan pemulihan aset dan pendakwaan berkaitan kes 1MDB.
Mendepani isu ini, masyarakat patut mengelak membuat spekulasi individu terbabit dilepaskan dengan mudah.
Ini bukan isu politik sebaliknya strategi undang-undang didasari semangat untuk mendapatkan semula aset terbabit supaya boleh dipulangkan semula kepada rakyat.
Penulis adalah Presiden Badan Pemerhati Rasuah (MCW)