Selasa, 18 April 2023 | 9:36am
Gambar hiasan/Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Ahmad Jefferi Abdullah (tengah) pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis Heroin, Syabu, Pil Ectasy dan Erimin 5 sekitar Kuala Langat dan Klang Selatan di Ibu Pejabat Polis Kotinjen Selangor, Shah Alam. - Foto FAIZ ANUAR
Gambar hiasan/Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Ahmad Jefferi Abdullah (tengah) pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis Heroin, Syabu, Pil Ectasy dan Erimin 5 sekitar Kuala Langat dan Klang Selatan di Ibu Pejabat Polis Kotinjen Selangor, Shah Alam. - Foto FAIZ ANUAR

Subjek pencegahan dadah dapat terap kesedaran generasi muda

Oleh Dr Amer Fawwaz Mohamad Yasid

[email protected]

Penyeludupan heroin bernilai RM789.56 juta dari Pelabuhan Klang ke Brisbane, Australia yang dirampas pihak berkuasa negara itu mengejutkan ramai, termasuk dalam kalangan pasukan keselamatan sendiri.

Timbul persoalan bagaimana dadah dalam jumlah sebesar 336 kilogram itu boleh melepasi pemeriksaan keselamatan di pelabuhan yang menjadi antara pintu masuk utama laluan maritim serta laluan perdagangan jalan laut Malaysia? Sindiket penyeludupan dadah bagaimanakah yang terbabit dalam menjalankan modus operandi berkenaan.

Kita berharap persoalan itu terjawab selepas satu pasukan siasatan khas diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyiasat kes penyeludupan dadah yang disifatkan mengaibkan jika terbukti sah melalui Pelabuhan Klang.

Kes itu adalah rentetan daripada sekian banyak aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah yang menjadi ancaman terhadap keselamatan negara sejak diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara pada 1983.

Malaysia memang dikenali sebagai antara negara hab transit penyeludupan dadah oleh sindiket antarabangsa kerana beberapa faktor yang menjadi antara pilihan. Pertama, kedudukan geografi Malaysia berdekatan kawasan Segi Tiga Emas yang menjadi pusat pengeluaran dadah utama di rantau Asia Tenggara.

Segi Tiga Emas ialah kawasan utama pengeluaran dadah jenis heroin pada era 1970-an, berkeluasan 240,000 kilometer persegi yang terletak dalam Myanmar, Thailand, Laos dan sebahagian kecil kawasan Tanah Tinggi Yunnan di China.

Bagaimanapun, trend pengeluaran dadah jenis heroin berubah sejak awal 2000 apabila kawasan Segi Tiga Emas menjadi kawasan utama pengeluaran dadah sintetik jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Perubahan trend pengeluaran itu menyebabkan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah jenis sintetik berleluasa di Thailand, Laos, Malaysia, Singapura serta Indonesia.

Faktor kedua, keporosan sempadan Malaysia kerana kita mempunyai sempadan darat serta maritim begitu luas hingga agak mustahil untuk pasukan keselamatan seperti Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia (PGA), Rejimen Sempadan Tentera Darat Malaysia (RS), Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta pasukan keselamatan lain untuk menjaga setiap inci daripada dicerobohi sindiket.

Tambahan pula, kewujudan lorong tikus di sekitar kawasan sempadan darat Malaysia-Thailand turut menjadi cabaran kepada anggota pasukan keselamatan untuk membanteras pencerobohan sindiket penyeludupan dadah.

Faktor ketiga, kemajuan sistem jaringan perhubungan seperti jalan udara, darat dan laut di Malaysia. Pembangunan dikecapi sejak awal 1990-an mewujudkan sistem jaringan perhubungan lebuh raya moden seperti Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang mendekatkan jarak perjalanan dari Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga Johor Bahru dalam tempuh lapan hingga sembilan jam menggunakan kenderaan bermotor.

Buka ruang, peluang kepada sindiket

Keadaan ini memberikan ruang kepada sindiket penyeludupan dadah antarabangsa untuk membawa bekalan dadah menggunakan kenderaan diubah suai seperti kereta pacuan empat roda dan lori perdagangan melalui lebuh raya sebelum menghantar bekalan dadah ke negara seterusnya.

Sistem jaringan perhubungan udara sistematik
seperti lapangan terbang antarabangsa di Pulau
Pinang dan Kuala Lumpur serta pelabuhan utama, turut menjadi faktor memudahkan penyeludupan bekalan dadah dari luar negara ke Malaysia.

Ketiga-tiga faktor itu menjadi masalah utama menyebabkan mengapa Malaysia dijadikan lokasi hab transit penyeludupan dadah antarabangsa. Kerajaan sememangnya berusaha sebaik mungkin dalam menjalankan aktiviti pembanterasan kegiatan penyeludupan dadah melalui agensi penguatkuasaan antidadah seperti Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (JSJN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi penguatkuasaan antidadah lain.

Kerajaan perlu memaksimumkan penggunaan teknologi untuk mengatasi faktor keporosan sempadan, terutama kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) atau dron yang berupaya melakukan pemantauan dan pemetaan dilengkapi teknologi rakaman gambar dan video, bahkan terma dan kamera berbilang spektrum beresolusi tinggi secara 360 darjah, selain perisian canggih untuk menganalisis data.

Usaha membanteras penyeludupan dadah juga perlu membabitkan operasi bersepadu merentasi agensi penguatkuasaan juga diperlukan supaya sindiket tidak mengambil kesempatan di sebalik kemajuan jaringan perhubungan darat di negara ini, selain meningkatkan tahap integriti dan kemahiran anggota penguat kuasa.

Tahap integriti sangat penting kerana gejala rasuah dalam mana-mana agensi sekiranya tidak dibasmi boleh menjadi 'pintu masuk' kepada aktiviti penyeludupan dadah apabila ada yang 'tutup mata' terhadap modus operandi mereka.

Sebenarnya, tugas pencegahan dadah tidak boleh diletakkan semata-mata pada tanggungjawab agensi penguatkuasaan antidadah, sebaliknya setiap rakyat perlu bersama-sama membantu pihak berkuasa bagi mengatasi masalah penyeludupan dadah.

Penerapan nilai dan aspek pencegahan dadah perlu diterapkan dengan lebih intensif di peringkat awal melalui pengenalan subjek atau kursus berkaitan pencegahan dadah dari sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi (IPT).

Malah, jika Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) boleh mewajibkan pelajar di semua universiti awam (UA) dan swasta untuk mengambil kursus mata pelajaran umum seperti Pengenalan Kepada Asas Keusahawanan, mengapa tidak diwajibkan kepada pelajar dengan subjek Pencegahan Dadah di Malaysia? Keadaan ini sedikit sebanyak mampu menerapkan kesedaran kepada generasi muda terhadap bahaya dadah serta ancaman terhadap keselamatan nasional.

Hakikatnya, kesedaran masyarakat terhadap bahaya dadah sebagai ancaman terhadap keselamatan negara dilihat masih rendah hingga ia perlu dibuat secara menyeluruh dan berterusan melalui pelbagai bentuk program konvensional dan inovatif daripada ceramah, seminar serta sesi townhall hingga kempen yang lebih kreatif.

Sekiranya wujud kesedaran dalam diri setiap
rakyat terhadap bahaya dadah, tidak mustahil nama Malaysia sebagai antara negara diperkatakan
sebagai hab transit sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dapat dibersihkan, sekali gus
menjadikan Malaysia sebagai negara contoh dalam usaha besar membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di peringkat antarabangsa.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Berita Harian X