TIDAK semena-mena, politik di Melaka kembali menarik perhatian umum selepas Ketua Menteri Melaka ke-13, Datuk Seri Sulaiman Md Ali meletakkan jawatan atas alasan 'kesihatan'.
Berita peletakan jawatan Sulaiman itu diakui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu lalu. Namun, berita peletakan jawatan Sulaiman sebagai Ketua Menteri itu dikatakan tidak mengejutkan.
Orang Melaka dikatakan sudah mendengar jawatan itu akan diisi Datuk Ab Rauf Yusoh, selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka.
Meskipun Ab Rauf adalah pemimpin paling kanan parti pada peringkat negeri dan baru menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada November 2021, beliau tidak terpilih untuk diangkat menjadi Ketua Menteri ke-13.
Sebaliknya Sulaiman yang juga ADUN Lendu daripada UMNO dan penyandang jawatan itu masih dipilih untuk mengisi dan terus menyandang jawatan nombor satu negeri itu.
Meskipun pelantikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka tidak bertentangan dengan undang-undang atau peraturan parti, namun pelantikan beliau dilihat berlawanan arus moral politik yang sepatutnya memberi laluan kepada pemimpin paling kanan dalam hierarki UMNO negeri.
Pelantikan Sulaiman ketika itu dipercayai dipengaruhi iklim politik Persekutuan ketika itu dipimpin bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Situasi ini memberi kelebihan dan asas kuat kepada Sulaiman terus mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Menteri ke-12 selepas PRN.
Namun cuaca politik tidak sentiasa cerah, apabila beliau dilihat hilang tempat bergantung selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas Kerajaan Perpaduan terbentuk.
Perkembangan politik semasa UMNO juga semakin tidak memihak kepada Sulaiman selepas pemilihan parti yang menyaksikan kepemimpinan tertinggi UMNO hampir semuanya dikuasai sepenuhnya 'kem Ahmad Zahid'.
Justeru, kedua-dua peristiwa ini titik permulaan penting kepada proses pembersihan pemimpin parti tidak selari dengan aspirasi Ahmad Zahid, sekali gus menyaksikan ramai pemimpin berkaliber dalam UMNO 'terkorban' atau 'dikorbankan'.
Tidak menghairankan apabila penggantian Sulaiman itu dilihat sebagai sebahagian proses pembersihan dalaman UMNO pasca pemilihan parti itu sekali gus memaparkan secara terbuka kemelut dalaman UMNO.
Hal ini dapat dilihat apabila Datuk Muhammad Jailani Khamis yang juga EXCO kerajaan negeri mengkritik secara terbuka tindakan UMNO menggulingkan Sulaiman daripada jawatannya.
Namun pelantikan Ketua Menteri baharu bukanlah pengakhiran kepada kemelut politik UMNO Melaka, sebaliknya ia mungkin menjadi rentetan berterusan perpecahan politik antara kumpulan menyokong Ab Rauf dan mereka yang masih setia menyokong kepemimpinan Sulaiman.
Selain bertujuan untuk melantik pemimpin berkongsi aspirasi sama dengan Ahmad Zahid, pemilihan Ab Rauf juga membuka laluan kepada proses pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka seperti dirancang Ahmad Zahid.
UMNO dominasi kerusi di Melaka
Soalnya, adakah pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka dengan mengorbankan Sulaiman satu strategi tepat ketika UMNO-BN mempunyai 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini, mendominasi kedudukan dua pertiga.
Jika dilihat kepada strategi di Melaka ini, formula Kerajaan Perpaduan antara BN-PH sepatutnya sesuai dilaksanakan di negeri memerlukan kerjasama politik UMNO dengan parti lain seperti Perak dan Pahang untuk membentuk kerajaan negeri.
Namun melihat peralihan kepemimpinan kerajaan Melaka ini, ia dibimbangi boleh mengundang padah kepada prestasi UMNO-BN terutama untuk menghadapi PRN negeri tidak lama lagi.
Tindakan terbaru ini seperti memperlihatkan cengkaman politik Ahmad Zahid terhadap UMNO termasuk di Melaka bagi memastikan kedudukannya sebagai Presiden tidak terancam.
Dapat dilihat Presiden UMNO itu juga sedang menyusun barisan 'orangnya' untuk mengisi jawatan utama dalam parti dan kerajaan.
Walaupun ada pihak menganggap apa yang berlaku ini adalah peralihan biasa pucuk pemimpin apabila kepemimpinan tertinggi parti berubah, ia sedikit sebanyak tetap menimbulkan persepsi negatif kepada UMNO.
Ia boleh memberi kesan terhadap prestasi dan imej UMNO untuk pulih serta bangkit menghadapi PRN di enam negeri, selain menjadi modal percuma kepada pembangkang untuk menyerang dan melemahkan UMNO sebelum berlangsung pilihan raya.
Penggantian Sulaiman dilihat tidak mempunyai sebab kukuh, maka rakyat khususnya akar umbi UMNO sedang menilai tindakan politik sedang dilakukan Ahmad Zahid.
Tidak mustahil bagi mereka, peralihan kuasa dalam kepimpinan kerajaan Melaka bukan sekadar pertukaran ataupun penggantian biasa pemimpin, tetapi pengguguran Sulaiman itu dianggap tidak berasas atau bukan satu keperluan mendesak dilakukan ketika ini.
Jasa beliau kepada UMNO-BN Melaka juga tidak boleh dibalas dengan wang ringgit kerana menerusi kerja kuat beliau, UMNO-BN mampu dipulihkan semula apabila mencapai kemenangan majoriti dua pertiga pada PRN Melaka selepas tewas untuk kali pertama pada 2018.
'Pengunduran' Sulaiman juga dilihat boleh mencetuskan lagi tsunami politik orang Melayu yang 'bengang' dengan 'Langkah Melaka' ini, sekali gus bakal memberi kelebihan kepada pesaing politik UMNO, iaitu Perikatan Nasional (PN) yang berusaha meningkatkan momentum sokongan politik pengundi Melayu menjelang enam PRN akan datang.
Soalnya, bagaimana UMNO akan menguruskan persepsi negatif dan pandangan serong Melayu menerusi tindak-tanduk terbaru mereka ini kerana medan perjuangan akan kembali terbuka di enam negeri tidak lama lagi.
Pada masa sama, Ab Rauf pula harus diberi peluang dan sokongan untuk mentadbir Melaka selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri yang baharu. Pada masa sama, beliau juga harus membuktikan kemampuannya untuk mentadbir Melaka dan membawa pembaharuan seperti diharapkan 'bosnya'.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM)
Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH