Isnin, 27 March 2023 | 12:23pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Perkukuh urus tadbir wakaf tarik golongan hartawan, korporat

Kewangan sosial Islam mempunyai tiga komponen utama, iaitu zakat, wakaf dan sedekah. Sumbangan zakat adalah paling signifikan, iaitu kutipan di seluruh negara melebihi RM3 bilion setiap tahun dengan jumlah terbesar dicatatkan Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Melalui dana zakat dikumpul, pelbagai aktiviti pembangunan asnaf fakir dan miskin dilaksanakan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Dalam konteks pengurusan, kita sudah berjaya mengatasi isu kutipan sedikit, tetapi penekanan sekarang adalah membuat pengagihan lebih berkesan.

Namun, pengurusan wakaf masih berada di takuk lama dan belum ada peningkatan ketara kecuali beberapa inisiatif baharu seperti di Pulau Pinang, Selangor dan Johor. Majoriti tanah dan aset wakaf masih dibangunkan secara tradisional seperti membina masjid, rumah anak yatim dan pusat tahfiz.

Projek ini bukanlah tidak penting kepada masyarakat tetapi demi kelestarian dan kelangsungan harta serta projek wakaf, ia perlu disokong aktiviti berbentuk ekonomi produktif yang boleh membawa pendapatan dan pulangan.

Justeru, saranan Perdana Menteri supaya ada pembabitan lebih aktif pihak korporat menyemarakkan pembangunan hartanah wakaf tepat pada masanya. Sebelum ini, usaha lebih tertumpu menggemblengkan dana wakaf tunai daripada masyarakat awam.

Selepas beberapa tahun bertungkus lumus ke arah ini, usaha itu didapati menghasilkan impak lambat kerana sumbangan tunai diterima kecil. Dana wakaf tunai dikutip jauh lebih sedikit berbanding pelbagai keperluan untuk pendidikan, kesihatan, pembangunan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar.

Dana wakaf tidak mencukupi 

Contohnya, dana wakaf disumbangkan kepada universiti awam (UA) hanya sekitar RM2 juta setahun, sekali gus tidak cukup menyelesaikan masalah yuran pelajar tidak berkemampuan, menyediakan fasiliti pembelajaran baik dan membiayai penyelidikan untuk meneroka ilmu serta teknologi baharu.

Profil penyumbang wakaf tunai rata-rata dalam kalangan golongan M40 dan ke bawah, sedangkan penyertaan golongan hartawan dan korporat masih kecil. Soalnya, mengapa kedua-dua kelompok ini masih belum terbuka?

Elok kita menyorot sejarah bagaimana wakaf dimajukan pada zaman Uthmaniyyah. Biasanya aktiviti wakaf dilaksanakan di kota dikenali kuliyye atau imaret yang mempunyai pelbagai kemudahan seperti sekolah, perpustakaan, hospital, tandas awam dan saliran pembetungan.

Aktiviti kemasyarakatan berpusat di masjid dengan interaksi antara pedagang singgah di kota dengan ulama mengajar secara percuma. Makanan disediakan kepada pengunjung kota yang menginap di rumah persinggahan dengan biaya wakaf.

Bazar atau kedai dibina di sekitar masjid disewakan untuk membiayai aktiviti wakaf di kota itu. Aktiviti wakaf mendapat sokongan sangat kuat daripada pembesar Uthmaniyyah dan pedagang berjaya.

Satu budaya bagi kumpulan ini adalah membiayai projek wakaf bagi berkongsi kekayaan dimiliki dengan masyarakat umum. Khalifah Uthmaniyyah memanfaatkan budaya wakaf dalam kalangan pembesar dan pedagang untuk mewujudkan pendidikan percuma kepada rakyat di semua peringkat.

Melalui kawalan minimum, pembesar dan pedagang dibenarkan menguruskan projek wakaf masing-masing demi mencapai kemakmuran hidup secara kolektif.

Berbalik kepada isu kurangnya pembabitan hartawan dan korporat di negara ini, beberapa penambahbaikan kepada ekosistem wakaf perlu disegerakan supaya golongan terbabit dapat bersama menyemarakkan wakaf.

Kerjasama antara MAIN selaku pemegang amanah tunggal aset wakaf dengan pihak korporat perlu dipergiatkan lagi. MAIN perlu meningkatkan tahap pengurusan dan kecekapan tadbir urus masing-masing kerana buat masa ini wujud satu jurang antara tahap profesionalisme di pihak itu dengan korporat hingga pelaksanaan projek tergendala.

Contohnya, kepantasan dalam membuat keputusan perlu ditingkatkan dan kerenah birokrasi perlu dikurangkan untuk menggalakkan lebih banyak projek wakaf bersifat penjanaan ekonomi dapat dilaksanakan.

Selain itu, isu kepercayaan adalah perkara utama menarik golongan hartawan dan korporat agar menyumbang kepada projek wakaf. Sistem urus tadbir perlu diperkukuh seperti melantik ahli jawatankuasa bukan sahaja pakar dalam bidang wakaf, bahkan mempunyai tahap integriti tinggi.

Pelaksanaan setiap projek wakaf perlu dilaporkan secara telus. Maklumat kewangan berkaitan jumlah kutipan dan pengagihan dikongsi serta dihebahkan kepada umum supaya penyumbang akan lebih mengetahui impak sumbangan berikan dan meningkatkan keyakinan kepada institusi berkaitan wakaf, sekali gus menyemarakkan tradisi itu.

Komitmen dinyatakan kerajaan melalui pengumuman Wakaf Madani diharap dapat menjadi batu loncatan untuk mengubah landskap kemajuan sektor wakaf di negara ini hingga sasaran wakaf menyumbang 20 peratus pengembangan kewangan sosial Islam dapat dicapai menjelang 2030.

Pengarah Pusat Pengurusan Akademik, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X