Khamis, 23 March 2023 | 12:26pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Semak Akta 172 secara berkala kurangkan kesan perubahan iklim

Prasyarat pembinaan keselamatan sesuatu bangunan adalah dengan kita perlu membinanya di tempat selamat terlebih dahulu. Hal ini menunjukkan pembangunan di sesuatu kawasan berisiko dilanda banjir sebenarnya menjadi bukti manusia sering mengabaikan alam.

Dahulu, nenek moyang kita juga menghadapi cabaran sama ketika membuka dan membina penempatan, tetapi mereka bertindak balas secara menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Kini disebabkan perubahan iklim global dan pelbagai faktor luaran, kadang-kadang kawasan berisiko rendah atau tanpa risiko juga dapat berubah menjadi kawasan berisiko tinggi untuk banjir. Oleh itu, dalam pembinaan struktur bangunan moden, kita perlu bertindak balas dengan alam semula jadi ini dalam kerangka prinsip logik.

Hakikatnya, seni bina perlu selalu mengarah kepada nilai mementingkan perikemanusiaan dan mencerminkan kemanusiaan, sekali bersifat responsif terhadap persekitaran. Sekiranya pembangunan dibuat di kawasan berisiko, sudah tentu seni binanya perlu terbaik.

Kita mempunyai Garis Panduan Perancangan, Bandar Berdaya Tahan Bencana di Malaysia yang berfungsi sebagai panduan kepada pihak terbabit mempertimbangkan risiko banjir pada setiap tahap proses perancangan dan reka bentuk.

Namun, ia lebih berbentuk pedoman, iaitu tidak memiliki kekuatan lebih tinggi kerana bersifat garis panduan hingga terserah kepada pihak berkenaan sama ada untuk mengikutinya atau tidak.

Justeru, Timbalan Pengarah Eksekutif Mercy Malaysia dan Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Hafiz Amirrol, menegaskan keperluan undang-undang pengurusan bencana diwujudkan, malah mesti dibuat selengkap mungkin.

Kaedah komprehensif merangkumi perkara seperti kediaman berdaya tahan, perumahan atau infrastruktur kritikal, sosioekonomi tahan lasak dan tatacara kehidupan masyarakat di lokasi berisiko banjir, sekali gus perlu mencakup semua bidang luas itu.

Harus diakui hal itu menjadikan undang-undang berkaitan pengurusan bencana sangat sukar untuk disusun, tetapi keperluannya tidak boleh dinafikan, malah sangat penting untuk kita bertindak dengan menyediakan payung sebelum hujan.

Pertingkat persediaan 

Diakui kerajaan sudah mewujudkan mekanisme pengurusan bencana meliputi pusat pemindahan dan prosedur operasi standard (SOP), tetapi jika banjir besar berlaku, masalah genting tetap berterusan. Oleh itu, persediaan masa depan perlu terus dipertingkat termasuk latihan simulasi, kajian semula SOP, peningkatan reka bentuk, koordinasi dan komunikasi, pendanaan, logistik dan kesediaan aset mencukupi.

Kerjasama masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga diperlukan untuk mengisi lompong sama ada sebelum, semasa atau selepas banjir.

Contohnya, kita akui banyak peningkatan berlaku, tetapi lebih berbentuk tindak balas kecemasan, namun ia tidak boleh berhenti pada tahap itu sahaja, sebaliknya masih banyak keperluan melampaui keadaan darurat umpamanya perniagaan terjejas dan musnah, bantuan untuk mangsa meneruskan kehidupan, pembaikan serta pembinaan sekolah dan rumah yang lebih selamat.

Di negara ini, pelan kawalan pembangunan berdasarkan Akta 172 yang mengawal dan mengatur perancangan bandar dan negeri di Semenanjung. Pelan kawalan kebangsaan ini diikuti dengan peraturan digubal pada peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala di beberapa kawasan pula mempunyai pelan perancangan khas.

Secara keseluruhannya, struktur undang-undang jelas, tetapi isu perlu diberi perhatian adalah bagaimana tingkatkan setiap kawalan dan peraturan itu dengan mengambil kira krisis iklim global.

Diakui kita sudah melihat perubahan positif apabila perancangan pembangunan pada peringkat PBT sudah mengambil kira elemen pengurangan dan pengurusan risiko bencana, tetapi ia memerlukan penambahbaikan melalui perbincangan dengan pakar dan masyarakat.

Dengan itu, ia akan membawa pembangunan yang turut mengenal pasti kawasan berisiko tinggi, kawasan pembangunan sifar dan kawasan yang boleh dibangunkan, tetapi dengan mengambil kira langkah berjaga-jaga.

Pada masa sama, Akta 172 juga perlu disemak semula secara berkala kerana kita menghadapi kesan perubahan iklim yang belum pernah berlaku sebelum ini, sekali gus menjadikan pihak perancang bandar berperanan penting dalam konteks ini.

Namun, ia bukan sekadar perancang bandar, sebaliknya perlu membabitkan pakar pelbagai bidang seperti jurutera, ahli sosioekonomi, pakar pengurangan risiko bencana dan alam sekitar.

Ahli Jawatankuasa di Royal Institute British Architects

Berita Harian X