Dalam kehidupan manusia hari ini, tekanan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengambil kira siapakah dirinya, di mana dia bekerja dan apa pekerjaan dilakukan.
Pendek kata, tekanan menjajah dan menjarah dunia serta isinya sehingga ada dalam kalangan masyarakat memendam rasa dan berduka cita dalam diam. Jika keadaan ini berlaku, tekanan boleh menjadi berpanjangan dan menyebabkan kemurungan.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2019 melaporkan setengah juta rakyat Malaysia didapati mengalami gejala kemurungan.
Pada Oktober 2022, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melaporkan, pada 2021 sebanyak 212,319 panggilan diterima Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) berbanding tahun sebelumnya dengan 44,061 panggilan.
Tingkah laku bunuh diri juga menunjukkan kadar membimbangkan dan peningkatan ketara, iaitu 81 peratus pada 2021 (1,142 kes) berbanding 631 kes pada 2020. Statistik ini menunjukkan masalah kesihatan mental antara isu kesihatan awam yang menjadi semakin penting dan membimbangkan.
Paling mengejutkan apabila Wilayah Persekutuan dikesan mempunyai penduduk tertinggi mengalami masalah kemurungan dan kebimbangan (anxiety) berdasarkan saringan dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM).
Saringan keseluruhan dijalankan pada 2022 membabitkan 336,900 individu, mendapati negeri tertinggi mengalami kemurungan ialah Wilayah Persekutuan.
Antara faktor mungkin menyebabkan masalah kemurungan di Wilayah Persekutuan ialah kos sara hidup tinggi, miskin bandar, masalah perhubungan dengan ibu bapa dan rakan sebaya.
Namun realitinya, isu ini adalah masalah global dan bukan hanya tertumpu kepada Wilayah Persekutuan. Hakikatnya, kemurungan adalah penyakit psikologi membabitkan tekanan perasaan serius kepada individu - lelaki atau wanita, kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas.
Kemurungan pengaruhi mental
Kemurungan berpanjangan mempengaruhi mental menyebabkan perasaan seseorang menjadi semakin merosot. Ia boleh menjejaskan kehidupan individu termasuk pemikiran, perasaan, tingkah laku dan kesejahteraannya.
Kajian tekanan dan psikologi sosial menunjukkan kemurungan berlarutan boleh memberikan implikasi buruk kepada kesihatan individu, hubungan kekeluargaan dan persekitaran sosial.
Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati antara empat penyebab utama masalah kesihatan mental ialah kemurungan.
Kajian menunjukkan kemurungan berlaku disebabkan tekanan pekerjaan, masalah kewangan dan masalah rumah tangga. Teori menunjukkan, kegagalan mengimbangi antara tuntutan kehidupan dan persekitaran dengan kemampuan serta keupayaan diri adalah pencetus kepada gangguan emosi dan tekanan.
Jika dibiarkan berpanjangan tanpa usaha menanganinya, kemurungan boleh menyebabkan gangguan psikologi, fisiologi dan akhirnya mencetus kepada tingkah laku di bawah sedar.
Apabila berada dalam keadaan minda di bawah sedar, individu menjadi sukar membuat pertimbangan baik dan akhirnya melakukan sesuatu tindakan di luar jangkaan seperti mencederakan diri sendiri atau orang bahkan membunuh.
Masalah kemurungan bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Ia mesti ditangani apatah lagi jika kemurungan dialami tidak disedari si pesakit.
Penggemblengan usaha semua pemegang taruh perlu dilakukan sebelum isu kemurungan menjadi semakin parah dan barah dalam masyarakat.
Setiap individu perlu diberikan kesedaran dan ilmu pengetahuan mengenai impak tekanan dan kemurungan. Kesedaran berterusan mengenai isu ini dapat menambah baik kesejahteraan emosi dan mental masyarakat.
Apabila kesejahteraan emosi dan mental tercapai, maka individu mampu berfikir dengan waras dan isu kemurungan boleh diminimumkan.
Peralihan paradigma lebih sihat dan positif melalui ilmu pengetahuan dan pendidikan mampu membantu individu untuk bangkit kembali daripada cengkaman tekanan.
Kesedaran dan kesediaan untuk berubah menjadi kunci ampuh menelusuri tekanan kehidupan hari ini dan akan datang.
Dekan, Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)