Ahad, 19 March 2023 | 9:31am

Tanggungjawab besar menanti kepemimpinan baharu UMNO

Pemilihan UMNO 2023 pada prinsipnya berakhir semalam, walaupun ada bahagian serta sayap parti mungkin terpaksa mengadakan pemilihan ulangan berikutan timbul masalah teknikal. Apa yang penting, Belalang ucapkan tahniah kepada calon yang menang pada pemilihan kali ini yang tidak lekang daripada kontroversi khususnya keabsahan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2022 apabila jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Bagi calon yang tewas, ia bukan pengakhiran kepada karier politik masing-masing, sebaliknya masih ada platform lain boleh digunakan untuk terus menyumbang idea dan tenaga bagi mengukuhkan lagi parti.

Setiap pemimpin, calon dan ahli akar umbi UMNO perlu renungi harapan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid supaya keputusan pemilihan parti kali ini menjadi pengorak langkah 'UMNO Bangkit 2.0'. Presiden UMNO mengingatkan pemimpin dipilih menerusi keputusan dibuat perwakilan sama ada peringkat pusat, negeri dan bahagian, perlu bergerak seiring serta bekerja sebagai satu pasukan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Selepas pemilihan ini, hala tuju perjuangan UMNO pasti menjadi tumpuan khasnya dalam aspek demi agama, bangsa dan tanah air. Orang Melayu pasti menilai UMNO dalam perspektif berbeza, walaupun barisan pemimpin melalui proses transformasi. Akar umbi UMNO pula dilaporkan masih berada 'di alam keliru' apabila parti ini mampu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti dari Sabah serta Sarawak bagi membentuk Kerajaan Perpaduan. Maka, ia bakal menjadi tugasan utama pemimpin terpilih untuk menguruskan persepsi akar umbi ini.

Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama perwakilan ketika hadir pada Mesyuarat Pemilihan UMNO Bahagian Bagan Datuk, di Kompleks UMNO Bagan Datuk semalam. - Foto BERNAMA
Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama perwakilan ketika hadir pada Mesyuarat Pemilihan UMNO Bahagian Bagan Datuk, di Kompleks UMNO Bagan Datuk semalam. - Foto BERNAMA

Pemimpin yang berjaya dipilih mengisi jawatan Naib Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sama ada muka baharu atau lama, sudah tentu berdepan cabaran bagaimana hendak menyusun hala tuju UMNO bagi menyaingi pengaruh parti berteraskan Melayu yang kian meningkat, khasnya BERSATU dan PAS. Apatah lagi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) berbaki tiga atau empat bulan sahaja lagi untuk diadakan, Belalang lihat UMNO dan barisan kepemimpinan tertingginya masih terpaksa bekerja lebih masa dan kudrat jika mahu bersaing dengan parti saingannya.

Belalang tidak bersifat skeptikal terhadap UMNO, tetapi segala imej buruk yang melekat kepada parti dan pemimpinnya dilihat tidak mudah untuk ditanggal atau ditampal pula dengan citra suci yang mampu mempesona orang Melayu seperti enam dekad lalu.

Hakikat harus ditelan, akar umbi UMNO sudah menunaikan tanggungjawabnya memilih, maka pimpinan baharu UMNO yang dipilih ini bertanggungjawab untuk mencorak kembali perjuangan parti tanpa tergelincir daripada ideologi dijunjung selama ini.

Berita Harian X