Ketika membentangkan Belanjawan 2023 bertemakan Membangun Malaysia Madani, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggunakan perkataan islah, bagi memfokus segenap daya dan upaya bersungguh-sungguh ke arah penambahbaikan, pembaharuan serta perubahan kepada negara.
Ikhtiar islah atau penambahbaikan dimulakan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebaik sahaja dilantik menjadi Menteri Pendidikan Tinggi melalui 11 amanatnya sempena ucapan sulung perutusan tahun baharu 2023.
Paling menarik perhatian adalah hasrat dan azamnya yang ke-11 mengenai Pemerkasaan Mahasiswa, dengan memberi lebih banyak kuasa, kebebasan dan tanggungjawab bagi membantu kedewasaan mereka.
Sewaktu sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, beliau sekali lagi memberi jaminan aktivisme politik pelajar boleh dijayakan tanpa sebarang sekatan dan halangan.
IPT pula digesa supaya memainkan peranan dalam bekerjasama, berusaha dan mendokong kebebasan berpolitik.
Ketika ditanya mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) baru-baru ini, beliau menegaskan akta itu masih relevan dan kerajaan tidak bercadang memansuhkannya.
Namun, ada persatuan mahasiswa menuntut supaya kerajaan menunaikan janji pilihan raya umum (PRU) lalu supaya AUKU dimansuhkan.
Maka, polemik yang timbul kini, adakah AUKU perlu kekal atau dimansuhkan. Kedua, wajarkah AUKU kekal seperti sedia ada atau perlu diislah yakni ditambah baik?
Pertamanya, dari sudut tadbir urus, AUKU adalah Akta Ibu memperuntuk mengenai tadbir urus sesebuah universiti di Malaysia, dilihat masih lagi relevan khususnya bagi menguatkuasakan fungsinya dalam hal ehwal berkaitan tadbir urus universiti.
Merujuk kepada Seksyen 4A AUKU 1971, yang memberi kuasa kepada menteri untuk melantik Naib Canselor, dengan dibantu oleh jawatankuasa untuk menasihati menteri berhubung pelantikan itu.
AUKU turut menjelaskan kuasa universiti merangkumi kuasa akademik, penyelidikan, pengkomersialan, penerbitan, perpustakaan, pekerja, pelajar dan sebagainya.
Selain itu, AUKU memperuntukkan mengenai pihak berkuasa universiti mentadbir universiti seperti Lembaga Pengarah Universiti dan Senat.
Menerusi AUKU juga, majlis konvokesyen bagi meraikan kejayaan pelajar bergraduasi dapat dilaksanakan kerana ia dinyatakan secara jelas dalam Seksyen 44 (1) Bahagian VI, Jadual Pertama.
Selaras sudut pandang tadbir urus di atas, sudah tentu jika AUKU dimansuhkan, sedikit sebanyak akan menjejaskan tadbir urus universiti awam terutama ketika peralihan akta jika sekiranya berlaku.
Bahkan, jika pemansuhan akta ini berlaku, pencerakinan lanjut turut diperlukan perhatian, kerana terdapat akta lain berkaitan berkuatkuasa seperti Akta Institusi 1996 (Akta 550), Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605), dengan diikuti akta lain diselia di bawah kementerian atau agensi lain.
Hari ini, dunia sedang memfokus kepada perubahan 'High Arts, High Tech dan High Touch''.
Selaras tuntutan zaman dan perubahan dunia pantas sewajarnya AUKU, jika tidak dimansuh, perlu ditambah baik seiring dengan keperluan semasa.
AUKU lalui proses pengislahan
AUKU 1971 berusia 52 tahun ini sudah melalui proses pengislahan melalui tujuh kali pindaan iaitu pada 1971, 1975, 1983, 1996, 2009, 2012 dan 2019.
Contohnya, pada 2012, pindaan dibuat mula mengembalikan sedikit kebebasan kepada mahasiswa bagi terbabit politik di luar kampus.
Selain itu, jika sebelum itu tiada satu badan khusus untuk menangani isu aduan pelajar, dengan pindaan AUKU pada 2012, satu peruntukan tambahan berkaitan Jawatankuasa Aduan Pelajar dimasukkan bagi menambah keyakinan mahasiswa.
Ini sewajarnya menunjukkan kepentingan dan hak pelajar sentiasa boleh dimasukkan dan disesuai imbang dalam AUKU, melalui proses pindaan dan bukannya pemansuhan secara keseluruhannya.
Kemudian, pada 2019, sekali lagi pindaan penting dibuat apabila kerajaan memansuhkan Seksyen 15 (2) (c) AUKU 1971, sekali gus membolehkan pelajar universiti terbabit aktiviti parti politik di kampus.
Apa yang pasti, proses pengislahan perlu dilakukan melalui libat urus, penambahbaikan dan pindaan AUKU membabitkan mahasiswa, kakitangan akademik dan pengurusan universiti serta semua pihak berkepentingan.
Ia bagi mendapat input berkesan selain penambahbaikan dan pindaan dilaksanakan dengan tuntas, memenuhi kehendak serta tuntutan pemegang taruh, seiring dengan keperluan semasa dan perubahan era kontemporari.
Mengambil roh dan semangat islah AUKU, ia sepatutnya menjadi agenda bagi memperkasakan pelajar dengan memberi kebebasan, lebih banyak kuasa, tanggungjawab dan ruang dalam membuat keputusan.
Pemerkasaan mahasiswa ini boleh dijayakan dengan memberi kebebasan dan kuasa bersesuaian kepada gerakan mahasiswa dan 'student union'.
Kuasa itu turut membabitkan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) oleh pelajar sepenuhnya, autonomi pelaksanaan aktiviti pelajar, autonomi pengurusan kewangan dan berpolitik dalam serta di luar kampus, demi mendewasakan mereka.
Biar mereka belajar, mengerti, merasai pengalaman manis dan pahit, menikmati kejayaan, yang akhirnya menyumbang kepada proses menginsankan manusia.
Ini membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar supaya mereka berdaya saing secara 'smart dan sharp', berkemahiran 'kalis masa depan' serta membudayakan kepemimpinan mahasiswa unggul, 'tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan', selain meninggikan nilai 'karamah insaniah'.
AUKU adalah akta rumit. Memansuhkan AUKU setakat ini, bukan jalan penyelesaian. Sebaliknya melakukan islah berterusan dan bersungguh-sungguh, menambah baik mana yang sesuai adalah relevan sekali gus langkah terbaik.
Penulis adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)