INSTITUSI beraja atau Yang di-Pertuan Agong antara tiga komponen badan perundangan atau Parlimen seperti diperuntukkan dalam Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.
Ketika pembukaan sidang Parlimen, Yang di-Pertuan Agong pada kebiasaannya menyampaikan titah diraja. Titah diraja ini adalah asas perancangan atau hala tuju perbahasan dalam urusan Parlimen sesi berkaitan.
Isnin lalu, Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah diraja di hadapan ahli Dewan Parlimen sempena pembukaan sesi kedua sidang Parlimen ke-15.
Titah Yang di-Pertuan Agong sekarang ini dibahaskan ahli Parlimen. Perbahasan ini bagi membolehkan perancangan bermanfaat bagi kerajaan dalam menguruskan negara, seperti memperkenalkan dasar atau undang-undang baharu atau mengukuhkan dasar dan undang-undang sedia ada.
Seperti kebiasaannya titah diraja sempena pembukaan sidang Parlimen menegaskan beberapa isu utama negara. Perkara yang tidak pernah ketinggalan untuk diketengahkan ialah hal berkaitan perpaduan, pembangunan negara, kestabilan politik, ekonomi dan sosial serta hal berkaitan kedudukan kumpulan tertentu dalam negara seperti wanita dan kanak-kanak serta pendatang mahu mencari rezeki atau perlindungan di tanah air kita ini.
Titah Diraja ini juga pada kebiasaannya juga membawa perbincangan peri penting menjaga keselamatan dan kedaulatan negara. Sementara itu, hal berkaitan hubungan luar atau hubungan dengan dunia antarabangsa juga menjadi perhatian Yang di-Pertuan Agong dalam titah baginda.
Pendek kata, kemuncak atau keutamaan dalam semua perkara dinyatakan dalam titah diraja ini adalah demi kepentingan dan kemakmuran kehidupan rakyat baginda terutama mereka yang berada di tanah air ini.
Seperti dalam titah diraja sebelum ini, hal berkaitan perpaduan mendahului semua perkara. Ini kerana perpaduan adalah kunci kepada kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara.
Perpaduan kukuh akan membolehkan semua perkara berada pada landasan tepat dan mampu bergerak dengan sempurna. Perpaduan seterusnya dapat menghasilkan masyarakat kuat dan mampu mengatasi cabaran yang datang dalam pelbagai dimensi dan keadaan.
Rakyat berdaya saing adalah antara perkara menjadi fokus kepada titah baginda Yang di-Pertuan Agong pada kali ini.
Kerajaan seterusnya hendaklah membina perancangan masa depan menyeluruh mengenai kekukuhan dan keharmonian ekonomi, pembudayaan sains dan teknologi dalam kehidupan masyarakat, terutama dalam hal pendidikan digital.
Kerajaan dalam keadaan ini bertanggungjawab dalam memperkenalkan agenda berkaitan pemerkasaan pendidikan digital.
Durasi titah baginda hampir satu jam itu juga menampilkan beberapa perkara lain. Ini termasuklah hal berkaitan pendidikan digital perlu dilaksanakan dengan Pelan Jaringan Digital Negara dan Agenda Pembangunan Ekonomi Digital Negara.
Berkaitan itu, pada asasnya titah diraja ini berhasrat menyampaikan kepada kerajaan bahawa kerajaan perlu berusaha mewujudkan dalam agenda pendidikan negara satu dasar berkaitan pendidikan digital.
Perkara ini adalah bersesuaian dengan perkembangan semasa dalam dan luar negara yang begitu pesat dengan dasar pendigitalan.
Pelan, dasar berkaitan digital
Justeru, pelan dan dasar berkaitan digital ini seharusnya menjadi agenda utama dalam perbahasan Parlimen pada kali ini.
Berkaitan dengan ini, latihan digital kepada belia dapat menjadikan mereka masyarakat berdaya saing dalam menempuh cabaran trend semasa berkaitan alam siber.
Mempunyai pengetahuan digital dan semangat patriotisme tinggi menjadi ciri-ciri belia yang akan mewarisi negara. Justeru, titah Yang di-Pertuan Agong pada kali ini perlu diambil perhatian sewajarnya demi menjadikan belia Malaysia bukan sahaja bijak digital, tetapi juga mempunyai jiwa dan raga yang cintakan negaranya.
Agenda pemerkasaan ekonomi wanita dan usaha memberikan perlindungan kepada kanak-kanak juga menjadi fokus titah diraja pada kali ini.
Begitu juga dengan Dasar Perlindungan Sosial pekerja. Kerancakan ekonomi wanita akan menyumbang kepada ekonomi negara dan pada masa sama dapat menghasilkan kumpulan keluarga dan masyarakat berdaya saing.
Skim Keselamatan Sosial suri rumah disebut secara sepintas lalu. Namun, ini menunjukkan ciri-ciri yang perlu diperkasa demi kepentingan wanita, seterusnya memberikan kesan positif ke atas keluarga dan seterusnya masyarakat.
Dalam usaha menjadi negara maju, Malaysia memerlukan pekerja mahir. Justeru, titah diraja menyatakan dengan jelas mengenai hasrat mewujudkan tenaga pekerja mahir dengan latihan diperlukan ke arah mencapai cita-cita berkenaan.
Sudah banyak diperkatakan sebelum ini dalam perbincangan berkaitan pekerja mahir negara. Justeru, kerajaan perlu mengambil cabaran ini dalam menyediakan pekerja mahir supaya negara tidak lagi bergantung kepada tenaga mahir yang tinggi bayarannya dari negara asing.
Kebebasan institusi dan tadbir urus berkaitan jenayah serta penjara juga disebut dalam titah diraja ini. Berkaitan ini titah diraja juga menyentuh keselamatan negara, termasuk trend jenayah siber menjadi antara ancaman besar kepada keselamatan negara.
Baginda menyampaikan hasrat supaya kerajaan baginda dapat bersedia supaya negara selamat daripada ancaman keselamatan ini.
Dalam perkembangan semasa, negara sering dilanda musibah bencana alam. Berkaitan dengan itu, titah diraja menyarankan kerajaan mempunyai tindakan atau agenda pengurusan risiko berkesan.
Pengurusan risiko musibah bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh serta bencana alam yang lain hendaklah dijadikan perhatian kerajaan kerana rakyat terbanyak akan terkesan daripada musibah yang mendatangkan ini.
Menarik juga disebut di sini, urusan negara Persekutuan menghormati perjanjian, iaitu hal Perjanjian 1963 dinyatakan dengan menarik sekali oleh Yang di-Pertuan Agong.
Baginda merestui tindakan kerajaan memberikan kuasa autonomi seperti dalam Perjanjian 1963. Saya percaya perkara ini akan menjadi agenda kerajaan dalam perbahasan dalam Parlimen pada sidang kali ini.
Menarik sekali apabila disebut mengenai kesediaan Yang di-Pertuan Agong untuk melihat projek Lebuh Raya Pan Borneo berjaya diusahakan.
Ini adalah pertama kali kita mendengar titah sebegini boleh mendekatkan jurang integrasi antara negeri yang membentuk Persekutuan. Ini bersesuaian dengan kedudukan takhta Yang di-Pertuan Agong sebagai pancuran keadilan ke atas semua individu, kumpulan etnik atau bangsa, bahkan negeri-negeri.
Titah diraja tidak melupakan kerangka dasar enam tonggak dasar Malaysia, iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.
Terdapat beberapa perkara lain, seperti penambahbaikan infrastuktur perundangan seperti bangunan fizikal mahkamah, kepentingan menjaga data peribadi, menguruskan orang kurang upaya (OKU), pengurusan aset negara dan hubungan dengan dunia luar dinyatakan dalam titah diraja.
Kesemua perkara ini adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang hendaklah sentiasa menjadi kerajaan bertanggungjawab.
Begitu juga peringatan Yang di-Pertuan Agong kepada semua ahli perwakilan dalam Dewan Parlimen, mereka adalah bertanggungjawab dalam memastikan rakyat berasa selamat daripada segala ancaman dan rakyat mempunyai kepercayaan bahawa kerajaan mampu mengurus negara dengan baik.
Penulis adalah Profesor Madya Kulliyyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)