Khamis, 9 Februari 2023 | 12:25pm
Konsep MADANI.
Konsep MADANI.

Konsep MADANI elak Malaysia terjebak kitaran keruntuhan tamadun

Pertahanan antara komponen utama dalam dasar domestik, keselamatan dan luar negara. Sejak bermulanya tamadun, masyarakat menganggap kuasa keras atau hard power sebagai instrumen pertahanan negara utama.

Malaysia sebagai negara berdaulat bergantung kepada kuasa ketenteraan dalam pertahanan negara yang masih menjadi instrumen utama dan tidak boleh diabaikan, tetapi kuasa lunak (soft power) tetap berperanan dalam konteks pertahanan.

Justeru, dari semasa ke semasa pucuk pimpinan negara memperkenalkan pelbagai slogan atau konsep yang dapat berfungsi sebagai instrumen kuasa lunak untuk mempertahankan negara.

Kuasa lunak dalam bentuk slogan atau konsep dapat mempengaruhi minda dan psikologi masyarakat, sekali gus membentuk falsafah hidup tersendiri secara rohaniah serta lahiriah dalam hala tuju pembangunan dan pertahanan negara.

Harus diingat, pembangunan perlu seiring dengan pertahanan negara. Tanpa pembangunan, negara tidak berupaya wujud untuk jangka lama, bahkan boleh lenyap jika tidak memiliki pembangunan insaniah dan kebendaan.

Semua konsep dilaungkan bertujuan meningkatkan tamadun negara dan bangsa supaya negara tidak dihakis oleh anasir jahat.

Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, beliau memperkenalkan konsep Pandang ke Timur, Pensyarikatan Malaysia, Penswastaan Malaysia dan Wawasan Malaysia 2020. Ia dikumandangkan setiap hari dalam media massa dan diterapkan dalam semua agensi kerajaan supaya terlekat di sanubari dan memandu rakyat.

Ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau memperkenalkan konsep Malaysia Hadhari sebagai instrumen kuasa lunak untuk kesejahteraan negara. Prinsip seperti kerajaan adil dan amanah, penguasaan ilmu pengetahuan, pembangunan ekonomi komprehensif, kehidupan berkualiti, pembelaan hak wanita serta kumpulan minoriti, keutuhan budaya dan moral dan kekuatan pertahanan berkaitan rapat dengan pertahanan negara secara am.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengusulkan Malaysia MADANI sebagai jalan ke hadapan untuk negara dan masyarakat majmuknya. Rasional konsep ini adalah menjadi panduan dan ikhtiar secara bersepadu serta holistik sebagai dasar pentadbiran lebih manusiawi kerana bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban.

Rejuvenasi pulih imej negara 

Kerangka ini perlu menjadi pemacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi khazanah serta kearifan tempatan kerana ia digagaskan untuk mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara pada persada dunia.

Pengenalan konsep ini selaras aspirasi Anwar untuk memulihkan tenaga dan nama negara di persada antarabangsa. Sudah lama Malaysia ditimpa gelombang ketidaktentuan dengan kes salah guna kuasa, skandal dan salah laku politik. Justeru, Malaysia memerlukan rejuvenasi pemulihan imej negara dan insaniah rakyat.

Hakikatnya, Malaysia MADANI sering diutarakan Anwar sejak dahulu lagi kerana beliau amat berminat dalam falsafah madani dibincangkan ahli falsafah Islam abad ke-10, Abu Nasir al-Farabi.

Al-Farabi menjadi sarjana Islam paling awal membincangkan soal tamadun dengan memperkenalkan istilah al-madaniyah digambarkan sebagai pencapaian umat Islam di kota berasaskan akidah, syariah dan akhlak.

Di alam Melayu, konsep ini turut mendapat perhatian luas sarjana antaranya Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas yang mengarang mengenai konsep ini dalam Islam: Faham Agama dan Akhlak. Menurutnya, madaniyah merujuk kepada kehalusan insan mencapai taraf kehalusan tata susila dan kebudayaan luhur bagi seluruh masyarakat.

Justeru, al-madaniyah atau madani menjadi panduan menuju ke arah pencapaian tamadun tertinggi boleh melahirkan rakyat progresif, produktif, berakhlak, bermoral tinggi, bertanggungjawab dan sedia menghadapi cabaran.

Ia amat sesuai kepada negara berbilang kaum dengan rasa hormat menghormati, kompromi, toleransi, kerjasama dan meraikan perbezaan dapat diterapkan.

Elemen insaniah atau kemanusiaan dalam konsep madani merangkumi pengertian luas meliputi akhlak dan moral tinggi dapat diserlahkan melalui kualiti perkhidmatan dalam negara serta cara hidup rakyat. Taat kepada ajaran agama, jujur, ikhlas, amanah dalam perkhidmatan awam dan sektor swasta dapat menjana ekonomi negara, sekali gus memperkasa imej negara.

Jadi panduan berpolitik 

Akhlak baik dan moral tinggi rakyat dapat mengatasi gejala salah guna kuasa dalam negara. Negara perlu dibersihkan daripada gejala rasuah hingga akar umbi, justeru konsep MADANI mesti menjadi panduan berpolitik kepada parti dan ahli politik tanah air.

Sikap mengutamakan kepentingan diri, membina kroni, mengikis harta rakyat dan negara perlu diatasi segera supaya negara tidak runtuh, manakala segala kebajikan rakyat perlu dipelihara secara tulus.

Ibnu Khaldun dalam bukunya Muqaddimah membincangkan tamadun, gejala salah guna kuasa pemimpin, keseronokan kebendaan dan kelekaan boleh menjatuhkan tamadun, selain menyorot bagaimana tamadun penakluk kuat boleh menjadi ikutan dan amalan budaya bangsa lain.

Fenomena ini akan berulang dikenali sebagai Teori Kitaran. Untuk mengelakkan tamadun daripada merosot dan jatuh, ia perlu mencapai dan mengekalkan taraf ketamadunan tinggi. Ini boleh melambatkan kitaran atau memberhentikan kitaran daripada berlaku.

Pensyarah Kanan Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Fakulti Pengajian Pertahanan Dan Pengurusan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Berita Harian X