Pandemik COVID-19 menukar landskap pelbagai bidang industri di Malaysia terutama makanan dan minuman serta peruncitan. Ketika pandemik, teknologi maklumat (IT) melalui platfom dalam talian menjadi pilihan masyarakat bagi urusan jual beli dan pengurusan pelanggan.
Bidang pendidikan turut menerima tempiasnya apabila proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah dan universiti dijalankan secara dalam talian.
Sepanjang tempoh pandemik, 47.18 peratus pelajar peringkat menengah atas di seluruh negara memilih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berdasarkan laporan Kementerian Pendidikan pada 2020.
Hanya 19 peratus daripada kira-kira 447,000 calon menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) memasuki aliran sains apabila menjejakkan kaki ke Tingkatan Empat pada tahun sama.
Pelajar yang memilih STEM pada 2020, kini bergelar mahasiswa di institut pengajian tinggi (IPT) selepas melalui pengajian matrikulasi atau diploma sepanjang pandemik berlangsung pada 2020 sehingga 2021 dan dianggarkan berada pada tahun dua atau tiga pengajian universiti.
Asas ilmu matematik, fizik dan sains yang sepatutnya diajar secara mendalam sebagai persediaan untuk pengajian kursus major seperti perubatan, kejuruteraan dan sains komputer, dilalui secara dalam talian.
Maka timbul persoalan, sejauh mana pencapaian graduan belajar dalam talian ini sepanjang pandemik. Persoalan ini antara sering dibangkitkan pihak industri yang meragui tahap graduan pasca pandemik.
Kerisauan ini berasas memandangkan industri adalah antara pemegang taruh utama kepada graduan universiti dan bakal menerima graduan sebagai pekerja pada masa hadapan.
Hakikatnya, graduan pasca COVID-19 adalah mereka yang berdikari dan berdaya tahan. Tidak ada mana-mana generasi melalui kuliah dengan hiruk-pikuk adik-beradik di rumah, ibu bapa diberhentikan kerja, ketiadaan peranti pintar, capaian internet tidak menyeluruh dan segala masalah mental dan emosi diharungi pada usia semuda 19 tahun.
Mereka adalah generasi graduan yang berjaya mengatasi kuliah secara isolasi. Bakal graduan pasca pandemik ini boleh disifatkan calon terbaik untuk majikan dan industri.
Mereka sangat mudah memahami arahan sama ada melalui lisan atau mana-mana platfom dalam talian serta mampu menyempurnakan tugasan pada waktu ditetapkan, serta lebih 'multitasking'. Mereka mampu mengumpul maklumat dan menganalisis dengan baik secara kendiri. Ini semua nilai tambah kemahiran dimiliki bakal graduan pasca COVID-19.
Namun, tidak dinafikan bakal graduan ini masih mempunyai kekurangan dan paling ketara adalah asas pendidikan STEM itu sendiri. Melihat sendiri pencapaian ilmu asas matematik, kejuruteraan dan fizik graduan melalui PdP ini mengundang sedikit kebimbangan.
Mungkin sudah tiba masanya penggiat industri Malaysia mengikut jejak syarikat Jepun dalam pengambilan pekerja terutama pekerja baharu iaitu berdasarkan sistem Pengambilan Berasaskan Potensi (PBH).
Pengambilan pekerja berasaskan PBH ialah syarikat Jepun mengambil kakitangan berdasarkan kemahiran insaniah dan personaliti berbanding kemahiran asas.
Calon tidak dinilai berdasarkan kesesuaian mereka untuk peranan tertentu, tetapi lebih memfokuskan kepada calon mempunyai potensi boleh diasah syarikat selepas diambil bekerja.
Namun jika ada industri hanya melihat kepada 'graduan premium', maka kacamata penilaian itu perlu ditambah baik. Mustahil untuk industri hanya mengharapkan usaha mendidik kepada cikgu, pensyarah dan Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) saja.
Apa yang penting, industri dan majikan perlu yakin kepada bakal graduan pasca pandemik kerana mereka memiliki nilai tambah bersesuaian seiring dengan perkembangan pola ekonomi Malaysia dan dunia.
Penyelaras Innovation Lab, Universiti Teknologi MARA (UiTM)