Memiliki pekerjaan stabil menjadi impian setiap graduan kerana ia mustahak bagi membantu mereka menampung dan mencapai kesejahteraan hidup untuk memiliki kemudahan perumahan, kenderaan dan khidmat kesihatan.
Namun, mutakhir ini masalah pengangguran graduan masih berlaku dan sering dikaitkan dengan pelbagai faktor, termasuk pemilihan kerja dan sikap graduan, kemelesetan ekonomi serta kesan pandemik COVID-19.
Graduan seharusnya peka terhadap realiti dan kekangan yang ada dengan bersiap siaga melengkapkan diri bagi mendepani cabaran pekerjaan pada masa depan
Berdasarkan kajian, graduan universiti harus melengkapkan diri dengan keperluan penting berikut, iaitu kemahiran teknologi seiring era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), kemahiran insaniah dan kemahiran keusahawanan.
Jika dilihat ketika pandemik melanda, industri masih menawarkan peluang pekerjaan adalah yang berkaitan teknologi maklumat (IT), perkilangan, perbankan, perniagaan runcit dan penjagaan kesihatan.
Pada masa sama, kebanyakan syarikat mula memberi tumpuan kepada kaedah teknologi dan pendigitalan dalam menjalankan perniagaan.
Pengetahuan dan penguasaan dalam kemahiran ini didapati sangat relevan bagi membantu graduan mendepani cabaran pekerjaan kompetitif masa depan. Graduan juga perlu cakna perkembangan kepintaran buatan (AI) dan impak kepada pekerjaan terkini.
Oleh itu, keperluan melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi dalam talian dan internet benda (IoT) menjadi amat penting dalam mendepani cabaran pekerjaan masa kini dan hadapan.
Kemahiran insaniah pula merangkumi aspek kemahiran generik. Secara umum, tidak terdapat definisi tepat bagi terma kemahiran insaniah, namun sering dikaitkan dengan penampilan personaliti individu, berfikiran kritis, bijak berkomunikasi, pandai bergaul di tempat kerja, berdaya tahan dan berinovatif.
Kajian merekodkan terdapat ramai kalangan lepasan pengajian tinggi tidak mempunyai set kemahiran insaniah mencukupi, mengakibatkan mereka gagal memasuki sektor tenaga kerja.
Keusahawanan masih jadi pilihan
Kebanyakan graduan baharu didapati mementingkan diri, tidak dapat menyesuaikan diri kerja berpasukan dan berhasrat dinaikkan pangkat ke jawatan kanan tanpa mempamerkan kualiti kepemimpinan diperlukan.
Laporan Pemantauan Keusahawanan Global 2020/2021 menunjukkan kerjaya keusahawanan masih menjadi pilihan walaupun dunia dilanda pandemik COVID-19.
Keusahawanan adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara kerana mampu merangsang pelaburan, mencipta peluang pekerjaan dan menyumbang peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Disamping itu, keusahawanan memupuk sikap inovatif serta berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat kurang bernasib baik dalam pasaran buruh.
Namun, kini cabaran terbesar dihadapi kebanyakan kerajaan di seluruh dunia adalah proses peralihan daripada ekonomi tradisional kepada ekonomi baharu yang menitikberatkan keperluan usahawan dilengkapi kemahiran teknologi serta digital.
Maka, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melancarkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi (PTK IPT) 2021-2025 bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar dan lepasan pengajian tinggi.
Dasar Keusahawanan Nasional 2030 juga diperkenalkan bagi tujuan memperkukuh dan meningkatkan inisiatif serta program sedia ada untuk melonjakkan aktiviti keusahawanan di Malaysia.
Pelbagai usaha dirancang termasuk program pembangunan, pembiayaan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan dan pembinaan kapasiti, infrastruktur, pemindahan teknologi, akses pasaran, usahawan sosial serta pengantarabangsaan.
Justeru, pelajar IPT perlu cakna dengan peluang ini dan pelbagai usaha lebih agresif perlu diusahakan IPT bagi meningkatkan minat serta keberkesanan bidang keusahawanan dalam kalangan pelajar termasuk meningkatkan kolaborasi dengan syarikat swasta dan kerajaan.
Apa yang penting, tiga kemahiran ini dilihat sebagai persediaan sangat penting kepada graduan untuk kekal relevan dalam mendepani cabaran pekerjaan pada masa depan.
Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)