Isnin, 30 Januari 2023 | 10:00am

Tindakan disiplin, pecat ahli lumrah politik kepartian

CAKAP serupa bikin. Itu yang Belalang lihat apabila UMNO melaksanakan 'pembersihan' parti dengan memecat dan menggantung keahlian beberapa pemimpinnya. Agenda pembersihan parti ini disuarakan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 pertengahan bulan ini. Hasilnya, Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar adalah pemimpin ikonik dipecat selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bermesyuarat malam kelmarin.

MKT dan Lembaga Disiplin UMNO mempunyai alasan kukuh membuat keputusan itu, sekali gus menunjukkan kepemimpinan tertinggi parti itu tidak berkompromi dalam isu pelanggaran disiplin ahlinya, termasuk pemimpin lama atau mempunyai aura tersendiri. Keputusan terbaru UMNO ini menimbulkan reaksi pelbagai dan Belalang lihat kenyataan atau komen ditulis di media sosial sama ada ahli atau bukan ahli parti lebih banyak menghentam berbanding menyokong. Namun, luahan dan ulasan di media sosial tidak boleh dijadikan pendirian mutlak ramai pihak tidak bersetuju dengan keputusan MKT.

Walaupun angin persepsi memaparkan lebih banyak pihak menolak daripada menyokong keputusan MKT itu, kepemimpinan UMNO dikatakan terpaksa melakukannya kerana ia menyentuh isu pelanggaran disiplin. Belalang difahamkan, ada dalam kalangan ahli MKT cuba mempertahankan rakan mereka yang dikenakan hukuman, tetapi akhirnya terpaksa akur dengan keputusan majoriti.

Muka depan BH Ahad semalam.
Muka depan BH Ahad semalam.

Cuma, bagi kalangan ahli UMNO yang berhaluan moderate atau sederhana, mereka melihat keputusan itu agak keterlaluan kerana dibimbangi mempengaruhi sokongan pengundi Melayu, terutama kepada penyokong UMNO kepada parti itu yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN). Lebih jauh lagi, ada beranggapan demokrasi dalam UMNO semakin pudar dengan keputusan MKT itu kerana ia turut dilihat sebagai strategi pucuk pimpinan menghalang berlakunya pertandingan jawatan tertinggi pemilihan parti pada 18 Mac nanti. Umum mengetahui beberapa pemimpin yang dihukum pernah menyuarakan hasrat untuk merebut jawatan tertinggi parti, termasuk Presiden dan Timbalan Presiden. Kini, pemilihan parti mungkin akan berlangsung secara aman dan tenang.

Apa yang Belalang fikirkan kini, apakah langkah seterusnya akan diambil sosok dikenakan hukuman ini sama ada akan berehat buat sementara waktu, menyertai parti lain atau menubuhkan parti baharu lagi? Adakah akan menyeberang ke parti lain atau kekal menjadi bekas ahli UMNO seperti Tan Sri Annuar Musa. Ada ramai juga bekas pemimpin UMNO mampu bertahan dalam medan politik selepas dipecat atau memilih keluar daripada parti.

Ada yang berjaya menjadi pengerusi parti, presiden parti, pernah dan sudah menjadi Perdana Menteri atau masih menjadi menteri. Natijahnya, bukan UMNO sahaja pernah membuat pembersihan parti, bahkan parti lain turut melakukannya seperti PKR dan DAP. Maknanya, apa yang dilakukan UMNO ini bukan sesuatu mengejutkan apatah lagi menggemparkan, sebaliknya Belalang lihat ia sebahagian daripada amalan demokrasi berpolitik. Pemimpin datang dan pergi, hilang akan berganti dan parti tetap berdiri. Itulah lumrah dalam kancah politik kepartian.

Berita Harian X