DALAM konteks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pengertian rasuah adalah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan boleh berbentuk wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah atau diskaun.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menekankan rasuah tetap rasuah tidak kira bagaimana seseorang itu memilih untuk menggambarkannya kerana undang-undang jelas mentakrifkan apa dimaksudkan rasuah, termasuk dengan pembelian undi.
Katanya lagi, sama ada ia 'sedekah' atau 'sumbangan', undang-undang menganggapnya sebagai rasuah dibayar kepada pengundi, tidak kira sama ada pengundi memintanya atau tidak.
Sesuatu pemberian bagi meraih undi di dalam pilihan raya sebagai sedekah adalah salah dari segi undang-undang dan boleh merugikan negara serta masyarakat.
Seksyen 10 (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKP) 1954 mentakrifkan secara terperinci perbuatan rasuah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya dilakukan secara langsung atau tidak langsung calon atau wakil bagi pihaknya.
Sudah tentu, mana-mana orang juga turut terbabit memberi wang untuk meraih undi calon tertentu adalah salah dari segi AKP 1954 dan boleh disiasat SPRM, tambahan lagi transaksi berlaku ketika pilihan raya. Apatah lagi dikatakan pengundi dipaksa bersumpah dengan nama Allah untuk mengundi seseorang calon.
Seperkara yang perlu menjadi ingatan adalah jika gagal melapor pemberian, janji atau tawaran, individu terbabit boleh denda tidak melebihi RM100,000 dan penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya mengikut bawah Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009.
Hakikatnya, SPRM menyiasat kes rasuah berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, bukan hanya tertakluk kepada pemahaman atau intepretasi peribadi.
Setiap kertas siasatan akan diangkat kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti sebelum pendakwaan di mahkamah. Keputusan mutakhir setiap kes perbicaraan akan diputuskan hakim.
Kegiatan rasuah dalam politik memberi impak kepada negara. Rakyat sangat berharap Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu bebas amalan rasuah atau politik wang. Kini SPRM membuka kertas siasatan ke atas individu terbabit dalam pemberian dan penerimaan rasuah ketika PRU15 tempoh hari.
Sepatutnya rasuah politik ini tidak berlaku di negara ini, selain menyalahi undang-undang, ia juga satu dosa mengikut syariat Islam. Rasuah juga menyebabkan ketidakadilan kerana menyebabkan calon layak dan berwibawa diketepikan. Mengikut teori demokrasi, antara mekanisme rakyat boleh membendung tingkah laku elit rasuah ialah menerusi pilihan raya.
Tanggungjawab membendung rasuah dalam pilihan raya terletak kepada ketua parti bertanding. Jika mana-mana parti masih memilih memberi wang kepada pengundi untuk memenangi pilihan raya, maka masalah rasuah politik tidak selesai sampai bila-bila.
Sentuh integriti individu
Rasuah lebih menyentuh integriti individu jika dibandingkan dengan sistem kemasyarakatan dan kenegaraan. Doktrin agama tidak boleh mengekang amalan rasuah seseorang. Integriti adalah sesuatu yang dimiliki atau tidak dimiliki.
Tetapi yang memiliki integriti belum tentu tidak mengambil rasuah jika ketahanan dalaman jiwa dipengaruhi oleh kehidupan mewah, walaupun melalui pendapatan haram.
Pengundi dan golongan muda mempunyai peluang membuat pembetulan diperlukan negara. Justeru, mereka tidak boleh membiarkan sistem dan diri rosak kerana terbelenggu serta menggadai maruah dengan sedikit bayaran, tetapi dalam jangka panjang ia merosakkan negara serta 'menyulitkan' rakyat.
Secara keseluruhan, Malaysia adalah negara makmur, namun isu rasuah dan penyelewengan masih lagi berleluasa serta sukar dibendung. Terdapat ahli politik korup, memperkayakan diri masing-masing sedangkan mereka ini sepatutnya menterjemahkan nilai Islam dalam kancah politik.
Pemimpin Islam perlu mengelakkan diri daripada terbabit dengan rasuah bukan kerana takut kepada SPRM semata-mata, tetapi kerana takut kepada Tuhan (God-fearing). Malangnya orang mendakwa takut kepada Tuhan, masih memperkayakan diri dengan hasil haram.
Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), parti yang menang diharap dapat membentuk kerajaan berintegriti, stabil dan terus bersama-sama rakyat memerangi rasuah, memperbaiki ekonomi, kos sara hidup demi masa depan negara dan generasi akan datang.
Penulis adalah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM)