DALAM era digital, saban hari kita mendengar penghinaan dilakukan pihak tertentu sama ada individu atau pertubuhan terhadap pihak lain dengan pelbagai motif tersendiri. Adakalanya penghinaan ini membabitkan unsur perkauman dan keagamaan.
Ini kerana kedua-dua unsur ini adalah umpan berkesan dalam tindakan provokatif untuk tujuan memancing emosi dan tindak balas pihak menjadi mangsa penghinaan.
Apabila pihak menjadi sasaran penghinaan bertindak balas, ia akan dilabel sebagai bersifat perkauman, ekstrem dan pelbagai label negatif kerana melakukan reaksi balas akibat 'termakan umpan'.
Tindakan provokatif ini selari dengan strategi 'framing' (memerangkap) dan tindak balas daripada mangsa akan dimanfaatkan pihak melakukan provokasi untuk mencipta persepsi negatif terhadap mangsa.
Isu penghinaan berkaitan kaum dan agama ini bukan hanya membabitkan kes dilaporkan dalam negara sahaja, malah terdapat di luar negara.
Antara kes penghinaan berkaitan perkauman adalah melabelkan Melayu sebagai malas dan bodoh, mengaitkan tulisan jawi dengan pornografi dan penghinaan terhadap institusi beraja dan Yang di-Pertuan Agong.
Provokasi dalam hal agama Islam dan simbol agama pula adalah penghinaan terhadap kalimat Allah SWT, menghina Nabi Muhammad SAW, menghina imej Kaabah, memijak dan membakar al-Quran dan mempermainkan azan dan banyak lagi.
Tindakan provokatif bermotifkan politik
Isu penghinaan terhadap Islam kembali panas apabila ekstremis di Sweden membakar Kitab Suci al-Quran dan disusuli dengan pelbagai tindakan provokatif bermotifkan politik.
Bagaikan 'api disiram dengan minyak', isu ini mendapat reaksi pantas umat Islam di seluruh dunia. Pelbagai bentuk reaksi balas dilakukan.
Antaranya mengecam tindakan pembakaran al-Quran, mengadakan tunjuk perasaan dan kempen memboikot produk keluaran Sweden di negara Islam. Tindakan ekstremis di Sweden membakar al-Quran menyakiti umat Islam keseluruhannya. Lantas ia membangkit emosi dan reaksi umat Islam.
Jika tidak berhati-hati, umat Islam akan terjerat dengan perangkap ekstremis ini sehingga menyebabkan umat Islam dan Islam dilabel sebagai rasisme, tidak bertamadun, tidak bertoleransi, tidak meraikan kebebasan bersuara, malah dituduh sebagai pelampau dan pengganas.
Rantaian tindak balas ini dibimbangi meningkatkan lagi Islamofobia di negara Barat. Apa yang ditakuti, ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan melakukan keganasan terhadap mangsa tidak berdosa dan kemudian menyamar sebagai orang Islam.
Juga dibimbangkan ada orang Islam yang melampaui batas menghalalkan darah dengan sewenang-wenangnya. Akibatnya, perangkap naratif keganasan ini akan menambah jurang dan konflik antara peradaban Islam dan Barat. Akhirnya orang Islam menjadi mangsa.
Lazimnya, golongan melakukan provokatif melalui pendekatan penghinaan terhadap unsur keagamaan dan perkauman ini sering mempertahankan tindakan serta perbuatan mereka atas dasar kebebasan bersuara dan hak asasi manusia.
Golongan ini berpendirian hanya mereka bebas untuk bersuara atas nama kebebasan dan pada masa sama menafikan hak serta kebebasan mangsa untuk mempertahankan diri, agama dan pegangan hidup.
Justeru, bagaimana reaksi perlu ditonjolkan Muslim apabila Islam, rasul kesayangannya dan Kitab Suci dihina? Apakah hanya sekadar mengambil pendekatan berlapang dada, berkecuali dan tidak peduli tanpa rasa malu atau mengambil pendekatan apologetik.
Bagi Muslim, kesucian al-Quran perlu dipertahankan daripada sebarang bentuk penghinaan pihak tidak bertanggungjawab. Sekiranya seorang Muslim tidak ada rasa marah dengan penghinaan terhadap kesucian al-Quran, mungkin ada sesuatu perlu disemak kembali.
Allah SWT menjanjikan balasan terhadap golongan menghina Allah dan Rasul-Nya sama ada melalui perkataan atau perbuatan dengan balasan seksaan di dunia dan akhirat.
Dalam hal ini, Allah SWT berfirman dalam surah al-Ahzab, ayat ke-57 bermaksud: "Sesungguhnya orang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat, menyediakan untuk mereka azab seksa menghinakan".
Cetus rantaian konflik
Justeru, tindakan provokasi pihak bukan Islam dengan membakar al-Quran adalah perbuatan dilarang serta bertentangan dengan usaha mempromosikan keamanan sejagat.
Ketika dunia melangkah ke fasa digital, malangnya terdapat kelompok masih menggunakan agama sebagai modal untuk merosakkan keharmonian beragama dalam arus globalisasi.
Sikap pengecut dan provokatif ini tidak memberi manfaat terhadap peradaban manusia, malah boleh mencetuskan rantaian konflik dan permusuhan berpanjangan antara Islam dan bukan Islam.
Mendepani cabaran dan provokasi seperti ini, setiap Muslim perlu ada rasa sensitiviti agama dan rasa disakiti apabila Allah, Rasul dan al-Quran dihina serta diperkotak-katikkan musuh Islam atas nama kebebasan bersuara.
Namun begitu, orang Islam perlu bertindak dengan waras, berpandukan keluhuran undang-undang dan panduan agama supaya apa juga tindakan dilakukan tidak merosakkan umat dan agama sehingga menyebabkan 'kerana nila setitik, rosak susu sebelanga'.
Apa yang penting, umat Islam tidak terperangkap dengan umpan provokatif musuh Islam sehingga melakukan perkara di luar batasan norma undang-undang dan nilai agama.
Umat Islam perlu berpada-pada bertindak bagi mengelakkan Islam dan umatnya dilabel sebagai agama pelampau dan menyokong keganasan bagi memadamkan bara Islamofobia dicetuskan golongan anti-Islam.
Penulis adalah Prof Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)