DALAM mengharung kepayahan menyempurnakan tugasan, pelajar sekolah dan universiti tentu gembira sekiranya ada satu mesin boleh menyiapkan kerja rumah untuk mereka, cukup dengan menekan butang tertentu.
Beberapa belas tahun lepas, itu mungkin hanya fantasi remaja dan kanak-kanak, tetapi kini teknologi berkenaan sudah wujud dan sampai ke hujung jari dengan nama ChatGPT.
Hanya lima hari selepas dilancarkan pada 30 November lalu, lebih sejuta pelanggan memberikan sambutan hangat menggunakan perisian berkenaan. Sekadar perbandingan, untuk meraih sejuta pengguna, Facebook memerlukan masa 10 bulan, sementara Instagram pula lima bulan.
ChatGPT ialah program perisian komputer berasaskan laman sesawang masih percuma. Asalnya, ia dibangunkan mulai 2018 oleh satu badan bukan berasaskan keuntungan, OpenAI dengan dokongan bilioner Elon Musk.
Sekarang, sebahagian syarikat itu dimiliki Microsoft dan perisiannya sudah mula dikomersialkan. Contohnya, aplikasi dalam Apple App Store mengenakan bayaran sekitar 50 sen ke RM5 sehari, tertakluk kepada pakej langganan. Sekejap sahaja lagi dijangka ada perisian serupa atau copycats.
ChatGPT boleh menyahut sebarang pertanyaan atau arahan, yang jawabannya dijana dalam bentuk teks dan karangan. Ia boleh digunakan dalam pelbagai bahasa, termasuk Melayu dan Indonesia.
Misalnya, apabila saya menaip prompt 'apakah IKIMfm', ChatGPT menjawab dengan spontan dalam 70-perkataan: 'IKIMfm adalah sebuah radio yang dimiliki oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), sebuah institut penyelidikan dan pendidikan yang berfokus pada agama Islam. IKIMfm didirikan pada 1995 dengan tujuan untuk menyampaikan informasi dan ilmu pengetahuan tentang Islam kepada masyarakat Malaysia. Radio ini menyiarkan berbagai jenis program, seperti ceramah agama, tausiyah, muzik religi, dan lain-lain. Selain itu, IKIMfm juga menyiarkan berita terkini dan informasi lainnya yang berkaitan dengan Islam dan kebudayaan Malaysia.'
Perhatikan bagaimana ChatGPT berupaya memaparkan tahun penubuhan IKIMfm dan menggunakan istilah 'tausiyah'! Demikianlah juga apabila saya bertanya mengenai perbezaan antara kebebasan bersuara dengan fitnah, ChatGPT menjawab dengan memetik Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 499 Kanun Keseksaan.
Jawab sebarang masalah
Pelbagai ulasan daripada ramai profesor dan tokoh tersohor mengakui kualiti karangan ChatGPT dalam banyak bidang agak hebat, menarik lagi mengagumkan setara dengan karangan jelas, lengkap dan tepat.
ChatGPT juga mampu menjawab dan mengarang apa masakan boleh dihasilkan dengan bahan mentah dan ramuan kita senaraikan. Kita juga boleh mengarahkan ChatGPT mengarang teks ucapan atau pidato.
Yang menariknya, teknologi ini boleh memberikan jawapan agak khusus dengan arahan tertentu. Contohnya, kita boleh mengarahkan ia menulis lirik lagu mengecam rasuah dalam gaya lagu Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah atau P Ramlee dan dalam gaya bahasa Amir Hamzah atau Hamzah Fansuri; maka ia akan menjana lirik mirip gaya lagu dikehendaki.
ChatGPT boleh menulis tweet, jenaka, karangan berbentuk dialog, iklan, pesanan teks, ulasan mengenai restoran, kod program komputer, nasihat profesional dan pelbagai lagi.
Setiap kali penggunanya menekan butang kiriman, perisian itu akan belajar menganalisis keseluruhan maklumat terdapat dalam internet dan menjana satu jawapan tersendiri hingga menyebabkan tidak ada dua jawapan sama. Disebabkan setiap hasil jawapannya asli, maka ia sukar dikesan perisian anticiplak.
Adalah diakui masih banyak kelemahan teknologi ini. Umpamanya, ia belum mampu mengarang karya canggih, seperti novel, cereka dan makalah ilmiah kesarjanaan yang memetik sumber rujukan secara penuh serta jitu. Harus diingat teknologi memecut dengan pantasnya dan kelemahan hari ini dijangka dapat diatasi dalam tempoh setahun.
Perisian amat bagus, pantas dan sangat murah ini akan menyusup ke sekolah serta universiti dan sampai ke tangan pelajar yang ingin mengelak daripada membuat kerja rumah dan karangan. Tempoh pembelajaran di universiti banyak dihabiskan untuk menghasilkan esei, latihan ilmiah, tesis dan disertasi.
Namun, bayangkan kalau seseorang mampu menjana penulisan bermutu dengan menggunakan sistem kecerdasan buatan (AI), timbul pertanyaan apa gunanya menghabiskan masa di institusi pengajian selama empat tahun dan membelanjakan wang banyak untuk mendapatkan sekeping ijazah?
Walaupun teknologi ini membolehkan pelajar memiliki masa lebih untuk kegiatan lain, ramai pengkaji khuatir mereka akan dewasa menjadi seorang kurang mahir untuk mengungkapkan fikiran dan perasaan sendiri serta kurang berkesan dalam komunikasi sesama insan.
Hindar plagiarisme
Pada 4 Januari lalu, Jabatan Pelajaran New York mengehadkan capaian ChatGPT daripada internet dan peranti di sekolah awam demi menghindarkan plagiarisme serta kesan negatif terhadap pendidikan. Pada 10 Januari pula, akhbar The Guardian melaporkan universiti di Australia terpaksa mengubah kaedah peperiksaan dan penilaian pelajarnya, termasuk lebih banyak secara ujian bertulisan tangan menggunakan pen dan kertas bukan komputer.
Sebenarnya lebih jauh daripada itu, pada masa hadapan, pekerjaan membabitkan penulisan akan semakin berkurangan. Dengan teknologi terbaru ini, orientasi penulisan adalah ke arah robotik sifatnya. Persis pengamatan Dr Jeffrey Schatten dalam rencananya di The Chronicle of Higher Education, pengurusan input and output atau arahan dan penghasilan Generative Pre-trained Transformer (GPT) itu saban waktu semakin automatik dan makin kurang memerlukan pekerja manusia.
Pemenang Anugerah Nobel, Prof Paul Krugman dalam rencana berjudul Does ChatGPT Mean Robots Are Coming For the Skilled Jobs? disiarkan The New York Times meramalkan kerja membabitkan penghuraian maklumat (data analysis), penulisan penyelidikan dan laporan (research and report writing) akan amat terkesan dengan teknologi terbaru ini.
Kesimpulannya, kemajuan tidak berkesudahan perisian canggih sentiasa menimbulkan cabaran dan peluang, sama ada kebaikan mahupun keburukan. Maka itu institusi pemikiran, sosiopolitik, pendidikan dan kesenian kita perlulah sentiasa bersiaga dan mencermati isu dan kemelut teknologi bakal mendepani masyarakat.
Penulis adalah Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)