Pelbagai skandal salah guna kuasa dan rasuah berprofil tinggi berlaku hingga persepsi korupsi terhadap negara ini seperti direkodkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menggambarkan seolah-olah Malaysia saban tahun semakin korup daripada kedudukan 51 pada 2019; 57 (2020) dan 62 (2021).
Walaupun CPI bukanlah indikator sebenar kerana sekadar persepsi, ia satu-satunya penunjuk diterima pakai di seluruh dunia bagi menilai persepsi korupsi dan integriti.
Pada 2021, Malaysia menduduki tangga ke-62 daripada seluruh negara dinilai dengan beberapa negara di Afrika seperti Namibia pada kedudukan ke-58; Rwanda (52) dan Botswana (45) menunjukkan prestasi jauh lebih baik, manakala negara jiran, Singapura memperlihatkan kecemerlangan dan integriti tinggi apabila menduduki tangga ke-4 sebagai negara paling kurang korupsi berdasarkan penilaian terhadap 180 negara.
Apakah dimaksudkan integriti sebenarnya? Dari segi etimologi, ia berasal daripada kalimah Perancis Lama sekitar 1400 lalu, iaitu integrité, yang mengambilnya daripada bahasa Latin, integer dan kemudiannya integritatem (integritas).
Ia membawa maksud 'tidak bersalah, suci bersih dan asli' dan 'sempurna, bulat serta lengkap.' Sekitar abad ke-15, ia mula menerima makna lebih meluas hingga berkembang menjadi konsep menggambarkan 'prinsip moral dan peribadi luhur serta jujur membabitkan kebenaran dan keadilan dalam bermuamalat.'
Kita juga akan temui perkataan 'integer' dalam matematik yang dulunya diterjemahkan sebagai 'nombor bulat' untuk membezakan dengan nombor bersifat pecahan. Justeru, kalau ditujukan kepada manusia, ia juga sebenarnya menggambarkan 'manusia bulat' dari segi prinsipnya yang memiliki peribadi utuh dan tidak boleh dipecahkan. Jelas sekali dalam tradisi masyarakat Barat, integriti menjadi sifat terpenting bahkan menduduki tangga atas sekali antara nilai dan sifat mulia dituntut terhadap individu.
Dalam tradisi Islam, darjat tertinggi boleh dimiliki insan selain kenabian dan kerasulan yang menjadi pilihan mutlak Allah SWT, ialah al-Siddiq. Inilah darjat dan kualiti insan bertakwa tertinggi mampu dicapai seorang hamba Allah SWT seperti gelaran pernah diberikan kepada Sayidina Abu Bakar al-Siddiq.
Dalam al-Quran, Allah SWT menyebut: "Dan sesiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama orang dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi, siddiqiin dan orang syahid serta orang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang taat)." (An-Nisa': 69)
Berdasarkan ayat ini, urutan kemuliaan manusia bertakwa itu bermula Nabi (dan Rasul), kemudian Siddiq, Syuhada' dan Solihin. Justeru, seseorang berintegriti sebenarnya memiliki ciri orang al-Siddiq, iaitu ciri orang memiliki tahap ketakwaan tertinggi mampu dicapai.
Sifat pemimpin al-Siddiq
Imam al-Ghazali dalam karya agungnya, Ihya Ulum al-Din dan begitu juga ulama lain dalam kitab mereka menyebut beberapa aspek perlu ada bagi seseorang pemimpin digelar sebagai insan al-Siddiq.
Pertama, bebas daripada salah guna kuasa. Jika korupsi dimaksudkan sebagai menerima atau memberi rasuah atau apa jua bentuk wang atau sumber pendapatan haram, maka al-Siddiq bebas daripada semua itu sama ada suatu menyalahi undang-undang atau sekadar salah dari segi moral dan etika, bahkan tidak menerima hadiah terkait kedudukan jawatannya atau pemberian mempunyai niat di sebaliknya.
Kedua, tidak menyalah guna kuasa. Kuasa bagi pemimpin sering memukau dan menipu hingga ada menggunakan kuasa diperoleh sementara itu untuk kepentingan diri dan meraih laba buat diri sendiri atau kaum kerabat dan kroni. Al-Siddiq ialah individu menggunakan kuasa demi kemaslahatan dan manfaat negara.
Ketiga, menjauhi nepotisme dan kronisme. Pelantikan individu tertentu hendaklah berdasarkan kelayakan, bukan kerana ada hubungan kekeluargaan (nepotisme) atau persahabatan (kronisme) hingga sanggup melantik walaupun dalam kalangan tidak berkelayakan.
Keempat, benar dalam niat. Pemimpin al-Siddiq memiliki niat benar, iaitu sepanjang masa mencari keredaan Allah SWT semata-mata melebihi daripada mencari keredaan manusia. Seandainya dalam usaha mencari keredaan Allah SWT itu, ia tidak disukai rakyatnya, maka ia akan tetap teruskan dan begitulah sebaliknya apabila sesuatu diinginkan rakyatnya menyalahi keredaan Allah SWT, maka ia pasti tidak akan membenarkannya.
Kelima, benar dalam percakapan. Apa jua pemimpin al-Siddiq janjikan pada masa lalu, beliau akan tunaikan apabila berkemampuan dan diberi kekuasaan. Beliau hendaklah memastikan hanya bercakap dan berjanji sesuatu mampu dilaksanakan, bukannya berjanji bulan dan bintang tidak mampu digapai. Orang mengkhianati janjinya akan digelar orang munafik, pembohong, penipu dan pengkhianat.
Keenam, benar dalam tindakan. Individu itu mestilah berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin tanpa mengira sama ada usahanya itu diperhatikan manusia atau tidak, dipuji atau dilupakan kerana apa dilakukan hanyalah semata-mata mencari keredaan Allah SWT.
Walaupun tiada sesiapa memerhati usaha kerjanya, individu itu tetap gigih bekerja demi kerana Allah SWT, bukannya untuk kandungan (content) bagi dimuat naik dalam media sosial dan ditularkan untuk menunjukkannya pemimpin gigih bekerja.
Ketujuh, benar dalam keazaman. Individu itu memiliki sifat benar keazamannya bagi memastikan kebaikan, keadilan dapat ditegakkan dalam ruang lingkup kemampuan dimiliki walaupun hingga terpaksa mengorbankan diri sendiri bagi memastikan keadilan terlaksana.
Tiada kuasa mampu melemahkan keazamannya kerana mencapai keadilan dan kebaikan bertunjangkan keimanannya kukuh terhadap Allah SWT dan mencari keredaan-Nya semata.
Justeru, kita katakan 'integriti' dalam tradisi Barat menduduki darjat atas sekali dari segi nilai peribadi dituntut terhadap seseorang apatah lagi daripada pemimpin. Dalam ajaran Islam pula, insan memiliki peribadi unggul sebegitu merangkumi aspek integriti selayaknya digelar sebagai insan al-Siddiq (benar) dalam serba-serbi.
Masyarakat Islam hari ini sesungguhnya mendambakan orang mukmin berintegriti tinggi seperti Rasulullah SAW sendiri. Begitu juga tokoh seperti Sayidina Abu Bakar al-Siddiq dan Khalifah Umar Ibnu Abdul Aziz. Masyarakat umumnya pula inginkan insan terkenal berintegriti seperti Martin Lurther King, Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela agar muncul kembali memimpin dunia ini.
Penulis adalah Felo Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)