Jumaat, 13 Januari 2023 | 12:25pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Audit dalaman organisasi kurangkan risiko pekerja rasuah

Tidak dinafikan, apabila mendengar sahaja perkataan audit, ramai individu teruta- ma yang diaudit berasa tidak selesa dan resah, seolah-olah proses audit ini hanya mahu mencari kesalahan seseorang dan satu bentuk penganiayaan.

Perspektif negatif seperti ini sekiranya terus membina, ia hanya menakutkan pekerja dan menyebabkan audit dalaman dianggap bertentangan dengan pihak diaudit.

Kenapa audit dalaman itu penting? Audit dalaman adalah satu fungsi bebas, memberi kepastian dan khidmat perundingan secara objektif untuk menambah nilai serta mempertingkatkan tahap operasi organisasi.

Ia juga berperanan membantu sesebuah organisasi mencapai matlamatnya melalui pendekatan sistematik dan berdisiplin untuk menilai serta menentukan keberkesanan semua proses kawalan dan tadbir urus.

Audit dalaman berkembang menjadi aktiviti sangat profesional menjangkaui penilaian kecekapan dan keberkesanan semua aspek operasi organisasi termasuk kewangan serta bukan kewangan.

Bagi membantu proses penambahbaikan ini, Institut Integriti Malaysia (IIM) menyediakan runding cara Anti-Bribery Management System (ABMS) ISO 30071:2016, mengandungi latihan khas berkenaan audit dalaman, khusus bagi pembangunan ABMS mengikut piawaian antarabangsa.

ABMS adalah satu produk untuk mencegah, mengesan dan menangani kes rasuah dalam sesebuah organisasi, menggunakan pendekatan pencegahan awal dengan mengenal pasti risiko rasuah terhadap individu di sesebuah organisasi berdasarkan fungsi sesebuah jabatan, unit atau bahagian bagi menutup ruang membasmi kegiatan rasuah.

Bantu organisasi berkembang maju 

Antara manfaat ABMS adalah mengurangkan risiko amalan rasuah pada peringkat dalaman dan luaran, di samping memberikan impak positif terhadap prestasi organisasi termasuk penjimatan kos operasi, pengurusan aduan, perolehan dan tadbir urus.

Pelaksanaan ABMS bagi sesuatu organisasi juga dapat meningkatkan keyakinan pelanggan, pelabur dan juga pihak berkepentingan.

Persis kata cendiakawan, ABMS ISO 30071:2016, mengandungi latihan khas berkenaan audit dalaman ini sedikit sebanyak membantu organisasi berkembang maju dalam membantu pencegahan dan membendung kegiatan rasuah berlaku.

Selari dengan usaha menggalakkan pembangunan ABMS dipertingkat oleh organisasi awam dan swasta, IIM turut mewujudkan inisiatif seperti Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA).

AIGA adalah satu anugerah bagi memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam dan swasta yang menzahirkan komitmen serta kebertanggungjawaban memperkasakan pembudayaan dan pengamalan integriti, tadbir urus terbaik serta inisiatif antirasuah dalam organisasi.

Ia secara langsung menggalakkan usaha pematuhan audit terlaksana dengan lebih berkesan.

Pendedahan dan kesedaran terhadap kepentingan penerapan nilai integriti dalam diri setiap individu juga perlu diberi perhatian khusus.

Jika tidak dipraktikkan secara berterusan dan tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak, nilai ini akan semakin terkubur.

Jika semua pihak berganding bahu ibarat 'bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni', sudah pasti akan dapat melahirkan warga Malaysia yang kaya dengan sifat integriti.

Dalam sebuah hadis sahih diriwayatkan Bukhari dan Muslim menjelaskan hati atau jantung ini antara organ penting dalam jasad manusia kerana ia menentukan sama ada baik atau buruknya jasad (akhlak) seseorang itu.

Daripada Nu'man Basyir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda maksudnya: "Ketahuilah pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah ia adalah hati".

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM)

Berita Harian X