Jumaat, 23 Disember 2022 | 12:00pm
Penduduk menaiki bot melihat kediaman mereka ditenggelami banjir di Kampung Durian Mentangau, Dungun. - Foto Ghazali Kori
Penduduk menaiki bot melihat kediaman mereka ditenggelami banjir di Kampung Durian Mentangau, Dungun. - Foto Ghazali Kori

Langkah 'hidup bersama banjir' strategi meminimumkan impak

Perubahan iklim, perubahan guna tanah dan perbandaran pesat berterusan di kawasan terdedah banjir akan terus meningkatkan risiko bencana itu yang lebih melampau.

Kejadian banjir kerap menggambarkan keperluan mendesak untuk mengambil tindakan berani dan transformatif untuk mengurangkan risiko bencana, sekali gus membina daya tahan banjir masyarakat.

Pantai Timur Semenanjung mempunyai sejarah banjir panjang dan berulang saban tahun disebabkan pengaruh monsun timur laut yang banyak membawa hujan. Terkini, banjir melanda Terengganu dan Kelantan bukan sahaja mendatangkan kerosakan harta benda serta tanaman, malah turut menyebabkan beberapa rumah di Besut hanyut dibawa arus.

Setakat semalam, seramai 34,383 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Terengganu dan Kelantan (30,107). Rekod hujan daripada Public Infobanjir menunjukkan stesen hujan di Kampung Besut, Setiu menerima hujan sehingga 532 milimeter pada 18 Disember, diikuti 321 milimeter (19 Disember).

Jumlah hujan dua hari, iaitu 853 milimeter melebihi purata hujan Disember kira-kira 500 milimeter. Sementara itu, ada kawasan di Bachok menerima hujan melebihi 950 milimeter dalam dua hari sama. Jumlah ini melebihi rekod tertinggi dicatatkan di Selangor ketika bencana banjir besar pada Disember tahun lalu, iaitu 581 milimeter dalam masa dua hari dan hampir menyamai rekod hujan tertinggi dicatatkan ketika banjir Kelantan 2014, iaitu lebih 900 milimeter dalam masa dua hari.

Hujan mencurah dengan agak luar biasa di sesuatu tempat kini mungkin akan menjadi fenomena biasa saban tahun. Kawasan yang dahulunya tidak pernah banjir kini terdedah juga kepada risiko banjir. Bagi kawasan perbandaran, kejadian banjir kilat mungkin akan mengakibatkan impak lebih besar dan agak huru-hara disebabkan kenaikan air ke kawasan perniagaan, perumahan serta perindustrian berkepadatan tinggi.

Namun, bagi kawasan luar bandar atau bandar kecil terjejas seperti di Pantai Timur ini, suasana dilihat lebih bersedia dan 'tenang' menghadapi musibah banjir. Keadaan ini mungkin disebabkan fenomena banjir ini yang memang sudah dijangka akan berlaku menyebabkan masyarakat lebih berdaya tahan (resilien) dalam menghadapi banjir.

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul, kedudukan Semenanjung dikelilingi lautan, luruan monsun dan pergolakan atmosfera serta keadaan tidak menentu berikutan kesan perubahan iklim memerlukan tahap kesiapsiagaan dan daya tahan masyarakat lebih tinggi terhadap bencana banjir.

Kerajaan digesa menyediakan tebatan banjir lebih mapan, pada masa sama, konsep living with floods boleh juga dilaksanakan demi meningkatkan daya tahan masyarakat dalam menghadapi musibah ini.

 Kawal selia sungai, saliran 

Secara tradisinya, percubaan mengurangkan risiko banjir tertumpu pada langkah seperti mengawal selia sungai dan saliran supaya sentiasa berupaya mengalirkan lebihan limpahan air, pembinaan benteng serta empangan dan kolam takungan banjir.

Negara kita juga ada projek tebatan mega seperti Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) yang terbukti dapat menyelamatkan Kuala Lumpur daripada banjir kilat lebih teruk.

Di Tokyo, terdapat terowong aliran banjir bawah tanah terbesar di dunia mampu menampung hingga 200 tan air pada satu-satu masa, manakala Belanda yang kebanyakan kedudukan tanahnya lebih rendah daripada paras laut dan kira-kira dua pertiga dari kawasannya terdedah kepada banjir dari laut serta sungai, membina banyak benteng, penghalang, empangan dan pam sebagai struktur tebatan banjir.

Selain usaha pembangunan infrastruktur aliran dan tebatan banjir ini, faktor penyebab banjir lain juga wajar dipantau dengan tegas dan efektif terutama aktiviti penggondolan hutan di kawasan tinggi berisiko.

Langkah itu bertujuan untuk mengurangkan, mengelakkan banjir atau sekurang-kurangnya mengurangkan kekerapannya. Selain strategi kawalan banjir, masyarakat kita terutama di luar bandar yang kebiasaannya ada halaman rumah, boleh melaksanakan strategi meminimumkan impak banjir, dengan langkah 'hidup bersama banjir.'

Menerusi pendekatan ini, banjir 'dibenarkan' dalam keadaan tertentu kawasan, pada masa sama, impak buruk banjir (kerosakan) diminimumkan dengan tahap kesiapsiagaan lebih baik. Antara pengurangan impak banjir adalah membina rumah tinggi seperti rumah orang dahulu dengan bahagian bawah rumah yang minimum penggunaannya bagi membenarkan air membanjiri tanpa merosakkan harta benda rumah.

Selain itu, konsep rumah terapung boleh dilaksanakan dengan rumah diletakkan di atas tapak diperbuat daripada struktur pontun terapung (floating pontoon). Amerika Syarikat (AS) dan Belanda memperkenalkan 'rumah amfibia' yang boleh bergerak ke atas hingga lima meter ketika banjir dan turun semula apabila air surut. Rumah itu dipasang dalam dok dengan empat tiang menghalangnya daripada terapung bersama banjir, memastikan ia hanya bergerak ke atas dan ke bawah.

Baru-baru ini, seorang penduduk Kampung Tebak, Kemaman, A Bakar Che Ahmad bertindak bijak dengan melaksanakan inovasi terhadap rumahnya menggunakan 69 tong plastik berfungsi sebagai pelampung bagi memastikan rumah terapung dan tidak ditenggelami air ketika banjir. Bahkan rumah itu boleh terapung pada ketinggian 5 meter.

Selain itu, pengaliran dan pelencongan air limpahan banjir ke kawasan kurang berisiko seperti padang permainan, kawasan lapang, kurang kepadatan, tanah terbiar dan tidak berpenduduk boleh juga diusahakan. Sekiranya saliran perparitan dan sungai sudah tidak mencukupi, kawasan kurang berisiko ini boleh dibanjiri dahulu dengan kawalan keselamatan baik, sementara menunggu air surut.

Bencana banjir sudah semakin pasti menjadi acara tahunan di Pantai Timur. Curahan hujan sangat lebat di Terengganu dan Kelantan baru-baru ini adalah contoh fenomena agak luar biasa yang semakin menjadi biasa dan kerap berlaku. Di samping usaha kerajaan melaksanakan projek tebatan banjir lebih mapan dan efektif, rakyat kini semakin bijak dan bersiap siaga dalam menghadapi banjir. Usaha bersepadu semua pihak boleh ditingkatkan dalam pelaksanaan strategi living with floods agar impak banjir tidak terlalu dirasai dan merugikan.

Penulis adalah Profesor Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Kolej Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X